Adham perlu berhenti bermain semantik dan fokus terhadap kadar kenaikan harian Covid-19 dan pastikan angka ini turun kepada julat dua angka, jika tidak, letak jawatan!

Menteri Kesihatan, Adham Baba, perlu berhenti memainkan hujah semantik dan sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka, jika tidak, beliau patut letak jawatan!

Beliau mengatakan yang gelombang keempat Covid-19 di Malaysia tidak akan berlaku melainkan sekiranya kes domestic dan jangkitan tempatan turun ke kadar sifar dalam gelombang ketiga semasa sebelum kadar ini kemudiannya meningkat mendadak.

Mengikut definisi gelombang keempat Adham, di mana perkara ini hanya boleh berlaku selepas kita mencatatkan sifar kes Covid-19, maka kita tidak akan melihat gelombang keempat langsung.

Bolehkah Adham menyatakan berapa hari dalam tahun lepas di mana jumlah peningkatan harian kes ini berada pada kadar sifar?

Kadar peningkatan 2,331 semalam adalah hari ketiga berturut-turut sejak kita menyaksikan pengembalian kadar peningkatan di atas julat 2,000 kes sehari.

Saya menyeru Adham untuk menghentikan permainan semantik ini kerana pendirian beliau ini hanya akan menambahkan kebimbangan kepada rakyat Malaysia yang negara kita bakal berhadapan dengan gelombang keempat sebelum kita berjaya mengawal gelombang ketiga (yang bermula pada bulan September tahun lepas dan masih merupakan salah satu gelombang penularan Covid-19 yang terpanjang di dunia) dengan menurunkan kadar jangkitan harian ke julat dua angka seperti bulan Ogos tahun lepas dan menimbulkan persoalan sama ada kita mempunyai orang yang berkebolehan untuk menghentikan trauma dan bencana yang dibawa oleh wabak ini ke negara kita.

Boleh dikatakan yang Malaysia mungkin akan berhadapan dengan nasib yang lebih baik dan terlepas daripada gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19 ini (apatah lagi gelombang keempat) sekiranya Langkah Sheraton tidak menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang sah, berkebolehan, dan demokratik pada hujung Februari 2020.

Untuk selama lebih daripada setahun, Malaysia adalah satu-satunya negara yang beroperasi tanpa seorang Menteri Kesihatan yang efektik dan berkredibiliti, yang telah melumpuhkan dirinya sendiri dengan pelbagai kesilapan, seperti “penawar air suam kepada Covid-19”, “500 negara” dan “15 negeri di Malaysia”.

Kini beliau telah melakukannya sekali lagi dengan mengatakan yang Malaysia tidak akan berhadapan dengan gelombang keempat wabak ini selagi mana peningkatan harian kes Covid-19 dalam negara belum mencatatkan sifar kes!

Betapa “bijaknya” Menteri Kesihatan kita dalam melawan gelombang keempat -- dengan mendakwa yang perkara ini tidak akan berlaku kerana gelombang ketiga masih di sini, walaupun ia mungkin akan menjadi lebih buruk.

Adakah ini jawapan terbaik Adham kepada seruan saya supaya Parlimen dipanggil bersidang semula untuk berhadapan dengan kemungkinan gelombang keempat ini?

Tidak mengejutkanlah hashtag #kerajaangagal terus tular di twitterjaya!

Rakyat Malaysia telah bangkit melawan kleptokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Kini kita perlu bangkit melawan kakistokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-15!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri