Malaysia bukan sahaja salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam tahun pertama era pra-vaksinasi Covid-19, tetapi juga bakal dilihat sebagai antara negara dengan prestasi terburuk dalam tahun kedua era vaksinasi Covid-19
Malaysia bukan sahaja salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam tahun pertama era pra-vaksinasi Covid-19, tetapi juga bakal dilihat sebagai antara negara dengan prestasi terburuk dalam tahun kedua era vaksinasi Covid-19.
Kita perlu berusaha untuk mengubah hala tuju negara kita untuk menjadi negara dengan prestasi Covid-19 yang lebih baik dalam usaha melawan wabak ini.
Kita tidak mahu hashtag #KerajaanGagal yang tular di Twitter semalam, menunjukkan kekecewaan rakyat terhadap kegagalan dan kakistokrasi kerajaan Perikatan Nasional dalam mengendalikan perkara-perkara daripada hal Covid-19 sehinggalah kepada ekonomi negara menjadi perbualan media antarabangsa.
Kawasan serantau Asia Timur dan Pasifik adalah salah satu titik cerah dalam usaha melawan wabak Covid-19, tidak seperti prestasi buruk di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, dan kejayaan ini memberikan banyak pengajaran tentang bagaimana wabak ini dapat dibendung tanpa impak yang besar kepada ekonomi dalam era wabak yang teruk.
Namun Malaysia menjadi satu pengecualian kepada perkara ini memandangkan kita mencatatkan prestasi yang buruk berbanding dengan negara-negara lain di kawasan serantau.
Dalam penerbitan terkini laporan Indeks Ketahanan Covid Bloomberg yang diterbitkan pada 25 Mac, Malaysia sekali lagi berada di belakang kedudukan Singapura, Taiwan, Korea Selatan, China, Jepun, Thailand, Hong Kong, dan Vietnam dalam prestasi negara kita melawan wabak Covid-19.
Kini, dunia sedang memasuki fasa baru melawan wabak ini dengan era vaksinasi, dan situasinya kelihatan sudah berubah.
AS dan UK kini dilihat sedang mendahului dunia dengan kempen vaksinasi mereka, sedangkan sesetengah negara Asia-Pasifik yang sebelum ini dipuji atas usaha membendung penularan kini ketinggalan di belakang, dengan negara kita ketinggalan agak jauh.
Malaysia berada di tempat ke-45 di dunia dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi, berada di tempat yang tidak menyenangkan, seperti dalam jadual berikut:
Negara | Jumlah Kes Terkumpul | |
19. | Indonesia | 1,594,722 |
27. | Filipina | 914,971 |
38. | Jepun | 520.745 |
45. | Malaysia | 370,528 |
62. | Myanmar | 142,617 |
86. | Korea Selatan | 112,789 |
95. | China | 90,466 |
102. | Singapura | 60,769 |
111. | Thailand | 39,038 |
144. | Hong Kong | 11,636 |
162. | Kemboja | 5,480 |
177. | Vietnam | 2,772 |
192. | Taiwan | 1,070 |
207. | Laos | 54 |
Namun, menurut Bloomberg Vaccine Tracker, lebih daripada 860 juta dos telah diedarkan di sekitar 155 buah negara di seluruh dunia, tetapi di Malaysia, hanya 1.3 peratus rakyat telah diberikan vaksin sepenuhnya, manakala 2.1 peratus penduduk di Malaysia telah diberikan satu dos vaksin, berbanding dengan negara-negara lain seperti berikut:
Negara | Peratus Penduduk | |
diberikan 1+ dos | Vaksin sepenuhnya | |
AS | 38.5 | 24.3 |
UK | 48.8 | 13.4 |
Israel | 59.0 | 54.9 |
Singapura | 19.8 | 9.4 |
Indonesia | 4.0 | 2.2 |
Malaysia | 2.1 | 1.3 |
Filipina | 1.0 | 0.2 |
Kita perlu menyegerakan program vaksinasi kebangsaan memandangkan mempunyai sejumlah besar penduduk yang tidak divaksinasi dalam dunia di mana wabak Covid-19 ini terus bermutasi dan muncul dengan bentuk baharu adalah satu perkara yang amat merbahaya.
Kerana inilah Parlimen perlu dipanggil bersidang segera, memandangkan kita berhadapan dengan kemungkinan gelombang keempat wabak Covid-19, sedangkan kita masih belum berjaya mengawal gelombang ketiga wabak ini yang telah berlarutan selama lapan bulan -- dengan menurunkan kadar peningkatan harian kepada julat dua angka seperti pada bulan Ogos tahun lepas.
Semalam, kadar peningkatan harian kes Covid-19 mencecah kadar tertinggi baharu, dengan 2,551 kes -- dengan Sarawak mendahului dengan 960 kes.
Kita berhadapan dengan perkembangan pengedaran vaksin yang terlalu perlahan dan semua Ahli-ahli Parlimen perlu mencari cara, bukan sahaja untuk menjayakan program vaksinasi Covid-19 kebangsaan, tetapi juga mempercepatkannya menjelang sambutan Hari Malaysia, supaya kehidupan normal dan pemulihan ekonomi dapat dimulakan secepat mungkin.