Parlimen perlu dipanggil bersidang untuk membahaskan strategi terbaik untuk melawan gelombang keempat wabak Covid-19 kerana kita tidak sepatutnya terus melakukan kesilapan dalam memerangi wabak ini sebagai negara dengan prestasi terburuk

Parlimen perlu dipanggil bersidang untuk membahaskan strategi terbaik untuk melawan gelombang keempat wabak Covid-19 kerana kita tidak sepatutnya terus melakukan kesilapan dalam memerangi wabak ini sebagai negara dengan prestasi terburuk.

Kawasan serantau Asia Timur dan Pasifik adalah salah satu titik cerah dalam usaha melawan wabak Covid-19, tidak seperti prestasi buruk di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, dan kejayaan ini memberikan banyak pengajaran tentang bagaimana wabak ini dapat dibendung tanpa impak yang besar kepada ekonomi dalam era wabak yang teruk.

Namun Malaysia menjadi satu pengecualian kepada perkara ini memandangkan kita mencatatkan prestasi yang buruk berbanding dengan negara-negara lain di kawasan serantau.

Dalam penerbitan terkini laporan Indeks Ketahanan Covid Bloomberg yang diterbitkan pada 25 Mac, Malaysia sekali lagi berada di belakang kedudukan Singapura, Taiwan, Korea Selatan, China, Jepun, Thailand, Hong Kong, dan Vietnam dalam prestasi negara kita melawan wabak Covid-19.

Proklamasi Darurat dan penggantungan sidang Parlimen yang dilakukan bukanlah satu tindakan yang dibuat berasaskan sains, tetapi berasaskan politik, kononnya untuk melawan wabak Covid-19 dalam negara kita.

Namun, kegagalan kita untuk mengawal penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 dengan menurunkan kadar peningkatan harian ke julat dua angka seperti pada bulan Ogos tahun lepas dan pada masa yang sama berhadapan dengan risiko gelombang keempat yang mungkin lebih buruk menjadi bukti kegagalan strategi kita.

Satu artikel dalam media rasmi yang bertajuk “Malaysia di Persimpangan Covid-19” berkata mengenai kelambatan program vaksinasi kebangsaan.

Mengapakah negara kita masih di “Persimpangan Covid-19” dan “di ambang gelombang keempat” setahun selepas wabak ini bermula dan mengapakah program vaksinasi kita bergerak lambat?

Sebulan yang lepas, saya telah cadangkan kepada Kabinet untuk mencari jawapan kepada dua permasalahan -- mengapa Malaysia berhadapan dengan gelombang penularan Covid-19 terpanjang di dunia dan bagaimana untuk menjayakan program vaksinasi Covid-19 menjelang sambutan Hari Malaysia.

Namun perkara ini tidak diendahkan.

Malah Kabinet juga telah mengabaikan nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang mengatakan Parlimen boleh dipanggil bersidang semasa darurat.

Memandangkan terdapat kemungkinan negara kita dilanda gelombang keempat wabak Covid-19 sebelum kita berjaya mengawal gelombang ketiga wabak ini, adakah Kabinet akan menasihati Yang di Pertuan Agong pada hari Rabu depan untuk memanggil sidang Parlimen dengan agenda khusus untuk membahaskan cara untuk mengekang penularan wabak Covid-19 ini?

Adakah kita akan melihat mana-mana menteri meletakkan jawatan sebagai tanda protes atas keengganan Kabinet untuk membincangkan masalah ini dalam mesyuarat Kabinet pada hari Rabu minggu hadapan?

Kita tunggu dan lihat.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri