Saya akan bertanding dalam pemilihan CEC DAP tetapi saya tidak menyasarkan apa-apa kedudukan penting dan saya bersedia untuk dikalahkan dalam pemilihan parti yang saya telah dedikasikan 55 tahun hidup saya untuk mengejar Impian Malaysia

Saya akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada bulan Jun tahun ini dan saya bersedia untuk dikalahkan dalam pemilihan parti yang saya telah dedikasikan 55 tahun hidup saya untuk mengejar Impian Malaysia.

Saya tidak mengejar apa-apa kedudukan kepimpinan barisan hadapan.

Saya mahu menegaskan bahawa DAP tidak membawa apa-apa agenda untuk menyah-Cina, nyah-Melayu, nyah-India nyah-Kadazan, atau nyah-Iban mana-mana orang. Sebaliknya, kita mahu rakyat Malaysia untuk menerima hakikat bahawa kita semua mempunyai pelbagai identiti -- kaum, agama, bahasa, budaya, kawasan -- tetapi apa yang paling utama sekali adalah kita semua rakyat Malaysia.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk K. Y. Chan dan Tony Pua, Ahli Parlimen DAP Damansara untuk idea membuka Teater Impian ini yang telah diusahakan oleh mereka selama dua tahun atas dasar cinta, solidariti, idealisme, dan patriotisme di tanpa memberitahu saya sehinggalah bulan lepas, sebelum pelancaran Teater Impian ini.

Teater Impian ini menangkap intipati perjuangan kita selama setengah abad yang lepas, dalam mengejar Impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bahasa, agama, mahupun kawasan, untuk bersatu padu menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Terdapat banyak pihak dalam negara ini yang mahu melihat saya dimusnahkan dan Impian Malaysia dikalahkan.

Saya telah katakan dalam 55 tahun perjuangan politik saya yang saya lahir, membesar, dan akan mati di Malaysia. Saya tidak pernah jangkakan yang saya mencapai umur sehingga 80 tahun. Tetapi satu perkara itu pasti, saya akan mati di Malaysia, dan bukannya mana-mana negara lain.

Bulan lepas, terdapat Sidang Kemuncak Alaska dan pertembungan bersejarah di antara China dan Amerika Syarikat, dengan laporan mengenai jumlah populasi diaspora China -- satu kumpulan diaspora terbesar di dunia, dengan hampir 70 juta orang dengan latar belakang yang sangat pelbagai.

Namun, orang Cina Malaysia tidak dikira sebagai sebahagian daripada diaspora China ini, memandangkan kami semua adalah sebahagian daripada Diaspora Malaysia -- yang terbentuk bukan sahaja daripada kalangan orang Cina, tetapi juga Melayu, India, Kadazan, dan Iban.

Saya telah melawat banyak negara, termasuklah beberapa lawatan ke China, tetapi saya tidak pernah merasakan seperti berada di rumah kecuali apa bila saya berada di Malaysia.

Saya orang Cina di Malaysia, seperti mana rakyat Malaysia yang lain dari latar belakang kaum, agama, bahasa, budaya, atau kawasan, untuk dilayan seperti rakyat Malaysia kelas pertama. Inilah satu-satunya cara untuk memenuhi Impian Malaysia.

Saya mahu supaya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bahasa, agama, atau kawasan, untuk boleh memenuhi potensi mereka di Malaysia tanpa perlu berpindah ke negara lain untuk berbuat demikian, baik ke United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, atau Amerika Syarikat, untuk hanya menghebatkan negara-negara ini dan bukannya Malaysia.

Saya mahu mereka untuk kekal di Malaysia untuk menjadikan negara kita hebat dan bertaraf dunia!

Saya telah melawat Sekinchan empat hari yang lalu pada hari Ahad.

Lima tahun yang lalu, pada 18 Jun 2016, Pakatan Harapan telah kalah teruk di dua pilihan raya kecil Parlimen -- satu di Sungai Besar dan satu di Kuala Kangsar.

Calon Pakatan Harapan di Sungai Besar, Azhar Abdul Shukor daripada Amanah telah kalah dengan majoriti sebanyak 9,191 undi sementara di Kuala Kangsar, Ahmad Termizi Ramli daripada Amanah telah kalah dengan 6,969 undi.

Terdapat perasan suram dan putus asa dengan harapan untuk perubahan politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang perlu diadakan dalam tempoh dua tahun sebelum Mei 2018.

Malah, pihak kerajaan semasa itu sangat yakin dengan kemenangan dalam kedua-dua PRK ini sehingga ia mengambil beberapa langkah untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam minggu-minggu selepas PRK ini, termasuklah dengan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada UMNO dan menggantung keahlian Datuk Seri Shafie Apdal; penggantian besar-besaran dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang melibatkan dua pegawai tinggi SPRM; dan penangkapan Setiausaha Agung DAP yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu di atas dua pertuduhan yang direka.

Dalam PRK Sungai Besar, DAP kalah dalam kawasan DUN Sekinchan yang disandang oleh Yang di Pertua Dewan Negeri Selangor semasa, Ng Suee Lin, yang telah memenanginya untuk tempoh tiga penggal -- kemenangan pertama dengan majoriti tipis 344 undi pada tahun 2004, kemenangan kedua dengan majoriti yang lebih tipis 190 undi pada PRU 2008, dan kemenangan ketiga dengan majoriti selesa 2,239 undi pada PRU 2013.

Namun, tidak sampai dua tahun kemudian, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, kita berjaya mengubah perasaan suram dan kecewa pada Jun 2916 kepada arus perubahan apabila kita mengejutkan dunia dengan peralihan kuasa secara aman dan demokratik buat pertama kali selepas enam dekad negara ditubuhkan.

Kita kini berada di tahap rendah yang sama seperti mana pada Jun 2016 dengan rakyat Malaysia berhadapan dengan perasaan kekecewaan dan putus asa dengan proses politik.

Cita-cita dan jangkaan daripada PRU14 untuk mengembalikan negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia -- dalam kata-kata Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu” -- masih tidak dapat dicapai.

Daripada mendapat reformasi institusi reformasi dan perubahan politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan selama lima tahun untuk menetapkan hala tuju negara kita sebagai negara yang hebat, kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan hanya selepas 22 bulan melalui konspirasi Langkah Sheraton, yang membawa masuk sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik yang telah menggantung sidang Parlimen demi kelangsungan hidupnya.

Bolehkah kita menghidupkan semula harapan dan aspirasi Impian Malaysia untuk negara kita menjadi negara hebat bertaraf dunia dengan memastikan PRU 15 berjaya memenuhi harapan yang dirampas selepas PRU 14 yang lalu?

Saya katakan ya. Kita pernah lakukannya sebelum ini. Waktu yang paling gelap sekali adalah jam-jam sebelum subuh. Apa yang kita perlukan adalah keyakinan, stamina, komitmen, dan ketabahan untuk mengejar cita-cita Impian Malaysia ini.

Saya telah katakan yang kita perlu mempelajari pengajaran daripada 22 bulan Pakatan Harapan mentadbir.

Salah satu pengajaran yang penting adalah untuk menyedari kuasa penipuan, berita palsu, dan maklumat palsu di media sosial yang boleh mewujudkan satu “realiti baharu” yang berbeza sama sekali dengan perkara yang sebenarnya.

Sebagai contoh, masih ramai yang termakan penipuan yang kononnya saya telah mengatakan seseorang itu perlu mempelajari jawi untuk menjadi rakyat Malaysia, atau kononnya bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengatakan yang beliau bukanlah seorang Cina apabila beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Ataupun penipuan bahawa Pakatan Harapan telah menangkap 12 orang atas pertuduhan berkaitan dengan Tamil Tiger (LTTE) atau enggan untuk mengiktiraf UEC.

Saya telah mengatakan kepada dua orang ADUN kami, P. Gunasekaran dari Negri Sembilan dan G. Saminathan dari Melaka yang bahawa usaha DAP dalam kerajaanlah yang telah membawa kepada pembebasan mereka pada penghujung bulan Februari 2020, jika tidak mereka pastinya akan ditahan lebih lama lagi sekiranya mereka tidak dibebaskan sebelum Langkah Sheraton.

Mengenai persijilan UEC, Buku Harapan mengatakan:

“Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.”

Dalam pemukiman DAP pada tahun 2019, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengatakan yang kerajaan Pakatan Harapan komited kepada janji untuk mengiktiraf sijil UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian awam, selepas kajian dijalankan.

Namun, kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai lima tahun untuk memenuhi janji-janjinya memandangkan kerajaan ini telah ditumbangkan hanya selepas 22 bulan melalui Langkah Sheraton.

Terdapat mereka yang menggesa supaya kita kembali ke masa lampai, semasa mana DAP hanyalah merupakan sebuah parti pembangkang.

Salah satu pengajaran daripada 22 bulan menjadi kerajaan adalah dengan menjadi kerajaan, kita boleh membawa perubahan.

Kita perlu berazam untuk kembali mendapatkan kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan penuh kepada Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gerakan Impian Malaysia ini mesti diteruskan, berdasarkan prinsip bahawa kuasa perlu digunakan untuk menyatukan rakyat Malaysia, untuk memastikan keperluan kita semua dijaga untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dari segi ekonomi dan pekerjaan, pendidikan, perumahan, kesihatan, pengangkutan, alam sekitar, hormat terhadap kepelbagaian agama dan budaya, demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang, doktrin pemisahan kuasa, tadbir urus yang baik, integriti awam, kebebasan akhbar, dan hak asasi manusia dapat dipenuhi untuk membolehkan kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan kita perlu menolak prinsip “mendapatkan kuasa hanya kerana kuasa”.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri