Jadikan Sekinchan titik mula gelombang baharu kempen Impian Malaysia untuk membangkitkan semula inspirasi dan menghidupkan kembali harapan serta visi untuk mengembalikan negara ke status sebagai negara hebat bertaraf dunia dalam generasi masa kini rakyat Malaysia
Lima tahun lalu, pada 18 Jun 2016, Pakatan Harapan tewas teruk dalam dua pilihan raya kecil parlimen — satu di Sungai Besar dan satu lagi di Kuala Kangsar.
Calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Sungai Besar, Azhar Abdul Shukor dari Amanah tewas dengan majoriti 9,191 undi sementara di Kuala Kangsar, Ahmad Termizi Ramli dari Amanah tewas dengan majoriti 6,969 undi.
Harapan untuk melakukan perubahan politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang perlu diadakan pada Mei 2018 dilihat semakin kelam dan suram.
Malah, kerajaan yang baharu sahaja memperoleh kemenangan besar dalam dua pilihan raya kecil parlimen dilihat mengambil beberapa langkah baru dalam dua minggu berikutnya dengan tujuan untuk mengukuhkan kuasanya:
- Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari UMNO dan penggantungan keahlian Datuk Seri Shafie Apdal;
- Tindakan berterusan terhadap mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, termasuklah penarikan semula dana kerajaan untuk Yayasan Kepimpinan Perdana;
- Penggantian besar-besaran dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan dua pegawai kanan dalam SPRM;
- Mempergiatkan kempen pembohongan, kepalsuan dan maklumat palsu terhadap DAP untuk mengambarkan ia kononnya anti-Melayu dan anti-Islam;
- Rombakan kabinet untuk membawa lebih ramai pak turut yang kesetiaannya hanya tertumpu kepada kepentingan Perdana Menteri dan bukannya kepada negara atau rakyat; dan
- Penangkapan atas dua tuduhan rasuah yang dibuat terhadap Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, Lim Guan Eng.
Pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, DAP kalah di kerusi DUN Sekinchan yang telah dimenangi oleh Speaker Selangor semasa, Ng Suee Lin selama tiga penggal — kali pertama dengan majoriti tipis 344 undi pada Pilihan Raya Umum 2004, kali kedua dengan majoriti lebih kecil iaitu 190 undi pada Pilihan Raya Umum 2008, kali ketiga dengan majoriti selesa sebanyak 2,239 undi pada Pilihan Raya Umum 2013.
Adakah DAP menuju kekalahan di DUN Sekinchan pada Pilihan Raya Umum 2017/2018 setelah Ng Suee Lin menang di situ selama tiga penggal?
Seorang penganalisis politik meramalkan akan berlaku “peralihan undi Cina” kepada Barisan Nasional dan meramalkan bahawa Pembangkang mungkin kehilangan lebih dari 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya “peralihan undi Cina” dan “aliran balik” sokongan pengundi Cina kepada UMNO/Barisan Nasional dalam pilihan raya berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar berterusan pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Kerusi ini adalah Alor Setar, Bukit Gantang, Sungai Siput, Kampar, Raub, Temerloh, Sepang, Lembah Pantai, Teluk Kemang, Bukit Katil, Bakri, dan Batu Pahat di semenanjung, Sandakan di Sabah dan Sarikei, Sibu dan Miri di Sarawak.
Namun, ketika Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia tidak hanya mengejutkan diri mereka sendiri tetapi juga dunia dengan peralihan kuasa yang berlaku secara aman dan demokratik yang julung kalinya terjadinya, dengan Pakatan Harapan memenangi sebahagian besar kerusi Parlimen “50-50″ – termasuklah Sungai Besar dengan majoriti 714 undi.
Ng Suee Lin juga memenangi Sekinchan untuk penggal keempat dengan majoriti terbesar, dengan 2,844 undi.
Sekinchan dan pilihan raya kecil berkembar pada tahun 2016 memberi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia, bahawa dalam kekecewaan dan rasa putus asa, seseorang tidak boleh mengabaikan Impian Malaysia untuk negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Suee Lin bukan sahaja membawa pertumbuhan industri pelancongan di Sekinchan dan mengubah Sekinchan menjadi sebuah kawasan kampung yang patut dicontohi di Malaysia, beliau juga telah menunjukkan bahawa Sekinchan dapat menjadi titik mula gelombang baru kempen Impian Malaysia dalam suasana politik yang acuh tidak acuh, dibelenggu rasa putus asa dan kekecewaan terhadap keadaan politik semasa, untuk menyuntik semula inspirasi dan menghidupkan kembali harapan dan visi generasi rakyat Malaysia kini untuk mengembalikan negara ke status negara hebat bertaraf dunia.
Kita sekarang berada dalam kedudukan politik seperti pilihan raya kecil berkembar pada Jun 2016, di mana terdapat perasaan putus asa terhadap masa depan politik untuk Malaysia.
Ramai yang tertanya mengenai masa depan Malaysia setelah dua kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dengan latar belakang kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Teluk Intan sebelumnya.
Adakah masih ada harapan bagi rakyat Malaysia pada Jun 2016 untuk mengharapkan perubahan politik di Putrajaya pada pilihan raya ke-14 atau bahkan dalam masa terdekat?
Haruskah kita menyerah dalam kekecewaan dan rasa putus asa sekali gus melupakan terus Impian Malaysia?
Sekinchan adalah jawapan terbaik bagi persoalan itu.
Pilihan Raya Umum ke-14 adalah merupakan penanda aras dalam mencapai Impian Malaysia, kerana ia merupakan usaha luar biasa rakyat yang menyakini Impian Malaysia untuk menebus kegagalan selama berpuluh dekad dan berusaha memenuhi harapan Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman supaya Malaysia dapat menjadi “sinar cahaya untuk dunia yang sukar dan terganggu”.
Tetapi harapan dan impian rakyat Malaysia untuk Malaysia Baharu seperti yang dinyatakan dalam Buku Harapan — manifesto pilihan raya umum gabungan Pakatan Harapan 2018 — dilambung badai yang ganas ekoran kejadian Kerajaan Pakatan Harapan digulingkan oleh konspirasi Langkah Sheraton setelah 22 bulan mentadbir negara, sekali gus membawa kepada pembentukan kerajaan pintu belakang dan tidak sah yang seterusnya bertindak menggantung Parlimen kerana tidak yakin ia dapat terus mendapat sokongan majoriti ahli parlimen di Parlimen.
Daripada melakukan pembaharuan institusi dan perubahan politik, ekonomi, sosial dan pendidikan selama lima tahun untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, kita tiba-tiba terjerumus ke dalam senario pasca-PH dengan negara kini bergerak ke ambang kakistokrasi, sementara berhadapan dengan polarisasi perkauman dan agama yang terburuk setelah bertahun-tahun berdepan tanpa henti penyebaran berita palsu, pembohongan, kepalsuan dan maklumat yang tidak benar yang direka bertujuan untuk menimbulkan rasa takut, tidak percaya dan kebencian di antara pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya di negara ini.
Cabaran terbesar hari ini adalah bagaimana kita dapat menghidupkan kembali, menginspirasi kembali dan memotivasi kembali harapan dan inspirasi dalam Impian Malaysia agar negara menjadi negara hebat bertaraf dunia dengan memastikan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 adalah satu lagi usaha luar biasa rakyat Malaysia untuk memenuhi harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu untuk melakukan reformasi.
Sebenarnya, kita telah menempuh jarak politik yang cukup jauh di Malaysia. Hanya 13 tahun yang lalu, sebelum pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008 (PRU12), jika ada orang Malaysia yang ditanya apakah ada kemungkinan untuk meramalkan pertukaran kerajaan persekutuan, jawapannya sudah tentu “Tidak”.
Namun “tsunami politik” PRU12 telah benar-benar mengubah lanskap politik, dan apa yang “tidak terfikirkan” dan “mustahil” telah diubah menjadi “dapat difikirkan”, “mungkin” dan “dapat dicapai”, dan persoalan tentang perubahan di peringkat kerajaan persekutuan telah meninggalkan persoalan yang menyentuh tentang “apakah” ke “bilakah” dan “bagaimana” dan bergerak membentuk keajaiban politik di Malaysia pada 9 Mei 2018, yang membawa kepada peralihan kuasa secara damai dan demokratik dalam enam dekad pembinaan negara Malaysia.
Cabaran terbesar Malaysia adalah menjadi negara demokratik sebenar, di mana pengundi boleh menukar parti atau gabungan politik dalam pemerintahan secara damai dan demokratik melalui peti undi, seperti demokrasi matang yang lain, tanpa mengundang bencana besar terhadap negara.
Bahkan Filipina dan Indonesia mempunyai tradisi dan amalan yang lebih demokratik daripada Malaysia, kerana rakyat Filipina dan Indonesia dapat menggunakan suara mereka untuk mengubah parti atau gabungan politik yang berkuasa tanpa melakukan kekacauan.
Sekiranya Malaysia ingin menjadi negara demokratik yang sebenar, kita mesti membongkar pelbagai mitos politik yang membiarkan politik bangsa dan agama menguasai politik di tanah air ini sejak Merdeka, terutama mitos bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa politik dan menjadi orang asing di tanah mereka sendiri sekiranya kejahatan Umno dibongkarkan, selain dakwaan yang mengatakan Islam kononnya terancam.
Ramai tokoh-tokoh Melayu terkemuka telah mengetepikan dakwaan bahawa jika Umno ditewaskan, orang Melayu akan kehilangan kuasa politik yang mana tidak dapat dipulihkan pada masa akan datang.
Ini adalah pembohongan berganda, kerana orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik, walaupun Umno diusir dari Putrajaya, seperti yang digambarkan oleh peristiwa Pilihan Raya Umum ke-14.
Islam juga tidak menghadapi ancaman eksistensial di Malaysia.
Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said atau dikenali sebagi Pak Samad beberapa tahun yang lalu mengemukakan dua soalan untuk mengungkap kebohongan mitos politik seperti itu:
“Bagaimana orang Melayu boleh terancam? Bagaimana agama (Islam) dan Melayu diancam, apabila untuk lebih lima dekad mereka yang memegang kuasa adalah orang Melayu?
“Apa yang mereka pemimpin Melayu lalukan selama lima dekad ini jika benar Melayu di bawah ancaman?”
Realiti demografi adalah jaminan yang pasti bahawa orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik, kerana orang Melayu di Malaysia akan terus menggunakan kuasa politik di Malaysia kerana tidak mungkin mereka akan kehilangan kuasa politik.
Pada tahun 1970, penduduk Malaysia terdiri daripada 44.32 peratus orang Melayu, 34.34 peratus orang Cina, 8.99 peratus orang India, 11.89 peratus bumiputera bukan Melayu, 0.67 peratus pula lain-lain.
Pada tahun 2020, peratusan orang Melayu dan orang asli telah meningkat kepada 62%, orang Cina menurun kepada 20.6%, orang India menurun kepada 6.2%, yang lain 0.9% dan bukan warganegara 10.3%.
Saya mungkin adalah ahli politik yang teruk dimomokkan di Malaysia. Saya telah dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja. Kini terdapat kempen untuk mengambarkan saya dan pemimpin DAP kononnya telah menjual hak dan kepentingan orang Cina dan India di Malaysia.
Saya tidak menyangka yang saya ini sebenarnya seorang adiwira yang mengancam hak dan kedudukan orang Melayu dan bukan Melayu di Malaysia dalam mengejar Impian Malaysia.
Kita harus menyedari perangkap era Internet, di mana berita palsu dan ucapan kebencian dapat bergabung untuk mewujudkan “realiti baru” yang bertentangan dengan kebenaran dan fakta.
Inilah sebabnya mengapa setelah kontroversi mengenai kurikulum yang disemak pada tahun 2019 mengenai Jawi di sekolah rendah Cina dan (Tamil), 95% orang Cina dan India masih belum mengetahui bahawa selama bertahun-tahun, terdapat Jawi dalam Buku Teks Bahasa Malaysia untuk murid sekolah rendah darjah lima dan bahawa kurikulum yang disemak semula untuk memperkenalkan Jawi untuk murid darjah enam telah diputuskan oleh MCA, Gerakan, MIC, SUPP dan Menteri UMNO pada September 2015.
Pemimpin MCA, Gerakan, MIC dan SUPP menjadi yang paling lantang pada tahun 2019 dalam mengecam pengenalan Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil, walaupun keputusan ini diambil oleh Menteri mereka empat tahun lalu pada tahun 2015, untuk dilaksanakan setiap tahun dalam buku teks yang disemak semula dari 2017 – 2022.
Kerajaan Pakatan Harapan membuat satu perubahan – menjadikan pengenalan Jawi di sekolah rendah Cina dan Tamil sebagai pilihan dan bukannya mata pelajaran wajib, tetapi perubahan penting ini telah hilang dalam radar pembuat fitnah yang ingin memburuk-burukkan DAP.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah dituduh pernah mengatakan bahawa beliau bukan orang Cina semasa menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2018. Beliau tidak pernah demikian sebaliknya beliau menegaskan bahawa beliau mahu menjadi menjadi Menteri Kewangan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua berbilang identiti – etnik, agama, budaya – dan Pada era-era awal penubuhan negara kita, boleh difahami jika seseorang itu melihat diri mereka pertamanya sebagai seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao dan kemudiannya barulah seorang rakyat Malaysia, tetapi sekiranya kita terus mengetepikan identiti Malaysia kita, perkara ini hanyalah menjadi bukti kegagalan proses pembinaan negara bangsa kita.
Impian Malaysia dilandaskan pada prinsip bahawa kuasa harus digunakan untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa kepentingan bersama mereka untuk memiliki kehidupan yang lebih baik dari segi ekonomi dan pekerjaan, pendidikan, perumahan, kesihatan, persekitaran dan pengangkutan, dapat dipenuhi, dan kerana itu kita mesti menolak pendirian untuk “mendapatkan kuasa semata-mata untuk kuasa”.
Semoga kita sama-sama belajar dari hari-hari paling suram pada bulan Jun 2016 dan belajar dari Sekinchan dalam melancarkan gelombang baharu gerakan Impian Malaysia!