Adakah kegagalan Wawasan 2020 untuk membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu, dengan masyarakat yang maju, demokratik, beretika, liberal, saintifik dan penyayang, merupakan satu kegagalan akibat ekstremisme atau kegagalan untuk bersederhana di Malaysia?
Selepas pertemuan pemimpin Melayu DAP bersama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, Adun DAP Ketari Young Syefura Othman menulis di Twitter:
“Sempat juga kongsi dengan Tun bahawa DAP ni memang ekstrem sikit dalam isu demokrasi, kebajikan rakyat dan tadbir urus kerajaan.”
Terdapat dua peristiwa lain semalam yang menarik perhatian saya:
Pertama, artikel kolumnis Mariam Mokhtar, yang bertajuk; "Kesatuan Melayu: fakta atau fantasi?"
Kedua, kisah menyentuh hati Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim, menolong seorang gelandangan beberapa hari selepas menolong seorang ibu yang diusir keluar dari rumahnya bersama dengan 10 orang anak.
Saya dikejutkan dengan satu persoalan: Adakah kegagalan Wawasan 2020 untuk membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu, dengan masyarakat yang maju, demokratik, beretika, liberal, saintifik dan penyayang, merupakan satu kegagalan akibat ekstremisme atau kegagalan untuk bersederhana di Malaysia?
Ketika kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem ekonomi, pendidikan, kehakiman dan perkhidmatan awam kita, malah bidang sukan kita, adalah antara yang terbaik di dunia, tetapi dalam tempoh enam dekad yang lepas kita telah ketinggalan berbanding dengan kebanyakkan negara-negara lain dalam bidang-bidang ini, sebaliknya menjadi terkenal di seantero dunia dengan gelaran "kleptokrasi yang terburuk" yang membawa malu kepada maruah tokoh-tokoh awal negara kita.
Saya menyokong Wawasan 2020 kerana ia mewujudkan Impian Malaysia untuk Malaysia menjadi negara hebat bertaraf dunia -- dengan masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai identiti kepelbagaian kaum, bahasa, agama, budaya dan wilayah tetapi disatukan oleh satu ikatan yang sama, bahawa mereka pertamanya adalah rakyat Malaysia yang sebelum identiti etnik, agama, budaya atau wilayah mereka yang berbeza.
Kerana itulah, Wawasan 2020 untuk Bangsa Malaysia yang bersatu!
Ketika kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem ekonomi, pendidikan, kehakiman dan perkhidmatan awam kita, malah bidang sukan kita, adalah antara yang terbaik di dunia, tetapi dalam tempoh enam dekad yang lepas kita telah ketinggalan berbanding dengan kebanyakkan negara-negara lain dalam bidang-bidang ini, sebaliknya menjadi terkenal di seantero dunia dengan gelaran "kleptokrasi yang terburuk" yang membawa malu kepada maruah tokoh-tokoh awal negara kita.
Pilihan Raya Umum ke — 14 adalah tanda aras tertinggi dalam mengejar Impian Malaysia, kerana ia merupakan usaha luar biasa rakyat Malaysia yang dengan keazaman terhadap Impian Malaysia untuk menebus kegagalan berdekad — dekad dan berusaha memenuhi impian Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman agar Malaysia dapat menjadi "sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu".
Tetapi harapan dan impian rakyat Malaysia untuk Malaysia Baharu seperti yang dinyatakan dalam Buku Harapan — manifesto pilihan raya umum 2018 gabungan Pakatan Harapan — dimusnahkan apabila Kerajaan Pakatan Harapan digulingkan melalui konspirasi Langkah Sheraton selepas hanya 22 bulan mentadbir negara, sekali gus melihat terbentuknya kerajaan pintu belakang yang tidak sah yang seterusnya menggantung Parlimen kerana tidak yakin ia akan terus mendapat sokongan majoriti ahli parlimen di Parlimen.
Daripada melakukan pembaharuan institusi dan perubahan politik, ekonomi, sosial dan pendidikan selama lima tahun untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, kita tiba-tiba terjerumus ke dalam senario pasca-PH dengan negara kini bergerak ke ambang kakistokrasi, sementara berhadapan dengan polarisasi perkauman dan agama yang terburuk setelah bertahun-tahun berdepan tanpa henti penyebaran berita palsu, pembohongan, kepalsuan dan maklumat yang tidak benar yang direka bertujuan untuk menimbulkan rasa takut, tidak percaya dan kebencian di antara pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya di negara ini.
Perlukah kita berputus asa dengan Impian Malaysia?
Atau perlukah kita mengejar lagi Wawasan 2020 sebagai Wawasan 2050 untuk membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu, dengan masyarakat yang maju, demokratik, beretika, liberal, saintifik dan prihatin sehingga Malaysia dapat mengambil tempatnya dalam komuniti negara-negara antarabangsa sebagai sebuah negara yang bertaraf dunia?
Selagi mana rakyat Malaysia tidak termakan umpan-umpan yang mengatakan mana-mana kaum atau agama berhadapan dengan risiko kepupusan -- kerana tidak ada kaum atau agama dalam masyarakat majmuk Malaysia yang ingin menghilangkan kaum atau agama yang lain -- dan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama boleh memberi tumpuan kepada berkongsi jalan tengah menjadikan Malaysia sebuah negara besar bertaraf dunia yang memberikan kualiti hidup yang lebih baik dalam pendidikan, ekonomi, kesihatan awam, perumahan dan persekitaran kepada semua rakyat Malaysia, maka Impian Malaysia masih hidup dan kekal relevan.
Cabaran terbesar hari ini adalah bagaimana kita dapat menghidupkan kembali, memberi inspirasi, dan menggerakan semula harapan dan inspirasi dalam Impian Malaysia agar negara kita menjadi sebuah hebat bertaraf dunia dengan memastikan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 menjadi satu usaha kerjasama hebat kita semua untuk memenuhi harapan-harapan dalam PRU-14 untuk membawa reformasi dan menyelamatkan negara.