Mahathir tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, namun Malaysia berhadapan dengan situasi politik yang belum pernah berlaku di mana tiada sesiapa pun memiliki sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri pertama di Malaysia yang tidak mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.
Kerana inilah Parlimen digantung sidangnya dan darurat diisytiharkan atas alasan kononnya untuk mengekang wabak Covid-19.
Perkara ini juga menjadi sebab mengapa Muhyiddin tidak mengendahkan titah Yang di Pertuan Agong pada 24 Februari lalu bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat berdasarkan nasihat Perdana Menteri.
Kabinet telah bermesyuarat sebanyak enam kali sejak Yang di Pertuan Agong menyampaikan titah nasihat tersebut, namun tidak sekali pun saranan Baginda itu dipertimbangkan.
Saya tidak bersetuju dengan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengatakan Yang di Pertuan Agong boleh memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat Perdana Menteri, namun, Muhyiddin dan barisan Kabinetnya telah melanggar kelaziman dan ketetapan Perlembagaan dengan mengabaikan titah Yang di Pertuan Agong dalam keenam-enam mesyuarat yang diadakan mereka.
Malah, saya berani untuk mengatakan yang Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya telah bertindak bertentangan dengan prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.
Tun Dr Mahathir tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, namun Malaysia berhadapan dengan situasi politik yang belum pernah berlaku di mana tiada sesiapa pun memiliki sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.
Pakatan Harapan harus memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kita harus meninggalkan “permainan angka” yang berlegar dalam lingkungan persoalan tentang pihak mana yang dapat mengumpulkan sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum seterusnya.
Saya berasa gembira semasa kunjungan ke pameran “Impian Malaysia” Teater Impian di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan harus bergerak maju ke depan, mengukuhkan idealisme rakyat dan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mempersiapkan jentera bagi berdepan medan peperangan dalam pilihan raya umum akan datang, selain berusaha mengangkat aspirasi rakyat.
Muhyiddin sebelum ini berkata bahawa tempoh darurat akan tamat pada 1 Ogos dan PRU-15 akan menyusul selepas itu.
Namun melihat pada situasi semasa, nampaknya darurat tidak akan tamat pada 1 Ogos dan PRU-15 juga tidak akan dilaksanakan pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
Muhyiddin sedang mabuk dengan kuasa mutlak tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang, dengan pewartaan satu ordinan baru yang memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk meluluskan Belanjawan Tambahan tanpa penelitian atau semakan Parlimen - meskipun pengisytiharan darurat akan berakhir dalam tempoh empat bulan dari sekarang.
Saya bersetuju dengan Anwar bahawa tidak ada alasan untuk ordinan berkenaan diluluskan kerana ia jelas tidak beretika, tidak bertanggungjawab, tidak demokratik dan bersifat diktator.
Ironinya, setelah rakyat Malaysia bersatu hati melakukan keajaiban politik dengan menolak seorang diktator kleptokratik dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018, 22 bulan kemudian rakyat Malaysia terpaksa pula berdepan dengan sebuah diktator yang mengamalkan kakistokrasi.
Belanjawan 2021 yang diluluskan empat bulan lalu telah memperuntukan dana yang mencukupi bagi mempersiapkan negara menghadapi Covid-19.
Jika ada perbelanjaan tambahan yang sah diperlukan, Muhyiddin sepatutnya menasihati Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen kerana Baginda telah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.
Tambahan pula, sebarang perbelanjaan tambahan yang diperlukan bagi membiayai usaha melawan Covid-19 pasti akan menerima sokongan padu daripada Parlimen, kerana semua Ahli Parlimen dari semua parti mahu melihat wabak Covid-19 berakhir secepat yang mungkin.
Malah, saya telah berkali-kali menggesa agar kerajaan membenarkan Parlimen untuk bersidang bagi menerapkan strategi dan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam menangani wabak Covid-19 supaya kehidupan rakyat kembali normal dan ekonomi dapat pulih seawal suku keempat tahun ini.
Hakikat rejim sedia ada yang dibentuk melalui pintu belakang dan secara tidak sah ini telah menyebabkannya tidak bertoleransi kepada perilaku-perilaku demokratik, yang menjadi sebab mengapa mandat parlimen untuk menurunkan had umur mengundi kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dalam pilihan raya yang akan datang dicabuli dan usaha pindaan perlembagaan ini disabotaj.
Boleh Muhyiddin menjelaskan, mengapa 50 tahun yang lepas, United Kingdom boleh melaksanakan mandat Parlimen untuk memberikan hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh setahun selepas undang-undang tersebut dipinda dan diberikan kelulusan Diraja, tetapi 50 tahun kemudian, di Malaysia, kita memerlukan lebih daripada tiga tahun untuk melaksanakan langkah ini?
Inilah kakistokrasi yang terburuk sekali!
Rakyat Malaysia berhadapan dengan situasi politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ditambah dengan sandiwara “Hikayat Tiga Negara” yang melibatkan Bersatu, PAS dan UMNO -- namun apa yang pasti; kerajaan pintu belakang yang dibentuk ketiga-tiga parti tersebut tidak memperjuangkan Impian Malaysia yang diidamkan rakyat.
Kita tidak boleh terleka dan terbuai dengan godaan kuasa, sebaliknya kita harus siap untuk memastikan setiap tindak tanduk kita berdasarkan prinsip dan komitmen untuk memperjuangkan keadilan, menghapuskan rasuah, mengangkat kedaulatan undang-undang dan menghormati konsep pemisahan kuasa, selain merapatkan jurang antara yang kaya dan yang miskin, malah mempertingkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia -- inilah ramuan yang diperlukan untuk menggapai Impian Malaysia!