Satu Pilihan Raya Negeri Sabah yang bukan sahaja akan menentukan siapakah yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah, tetapi juga Perdana Menteri Malaysia

Para pengundi di Sabah akan keluar mengundi hari ini, bukan sahaja untuk menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah, tetapi juga Perdana Menteri untuk Malaysia.

Tidak ada mana-mana Perdana Menteri dalam sejarah yang berkempen sekuat Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ini.

Beliau tidak pernah melawat Sabah dalam tempoh enam bulan pertama pemerintahan rampasan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.

Tetapi, demi PRN Sabah ini, beliau telah melawat Sabah sebanyak empat kali, pertamanya sebelum kempen PRN bermula, pada 29 dan 30 Ogos, dan tiga kali selepas kempen PRN bermula, di antara 12 ke 26 September.

Dalam proses tersebut, Muhyiddin telah mengangkat kepentingan PRN Sabah ini ke taraf kepentingan kebangsaan, terutamanya selepas sidang media khas Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan tidak sah Muhyiddin ini telah pun tumbang memandangkan beliau (Anwar) kini mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Satu perkara yang pelik telah berlaku dalam PRN Sabah -- Muhyiddin tidak mendapat sokongan daripada semua parti politik yang membentuk kerajaan pintu belakang beliau.

Perkara ini dapat dilihat dengan amat jelas sekali dengan ketiadaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin dalam ceramah umum terakhir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Sendil, Petagas, pada malam Khamis.

Muhyiddin mahukan Hajiji Noor untuk menjadi Ketua Menteri Sabah jika Shafie Apdal berjaya ditumbangkan, tetapi UMNO Sabah mahu Bung Moktar untuk mengetuai kerajaan sebagai Ketua Menteri.

Pertelingkah, pergaduhan, dan percanggahan dalam “gabungan dalam gabungan” GRS ini berterusan daripada Hari Penamaan Calon, sehinggalah ke Hari Mengundi, walaupun terdapat usaha untuk mencapai persefahaman di antara PBS dan STAR yang diusahakan oleh Setiausaha Agung Bersatu, merangkap Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, yang terpaksa merayu kepada parti-parti GRS untuk kekal fokus dalam mengurangkan pertembungan mereka dalam 15 kerusi yang ditandingi.

Tetapi, “gencatan senjata” yang telah dipaksa ke atas PBS dan STAR -- yang menyebabkan PBS terpaksa menyerah kalah di kerusi keramat penubuhan Parti tersebut, Tambunan, yang telah menaikkan Parti tersebut dalam pilihan raya pada tahun 1984 sebagai melawan kerajaan yang zalim dan menindas -- telah pun gagal.

Perkara ini menandakan kenaikan dan kejatuhan PBS dan sejauh mana PBS sanggup berkorban, termasuklah kerusi penubuhannya, hanya demi untuk mendapatkan beberapa kerusi!

Beberapa Ahli Parlimen UMNO pula telah mengatakan yang mereka tidak akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, mengatakan “Tidak kepada Anwar! Tidak kepada DAP!”

Dulu, saya tidak faham mengapa pemimpin UMNO ini mempunyai kebencian yang mendalam kepada DAP -- tetapi kini saya faham, kerana DAP ini mendedahkan perbuatan rasuah, kleptokrasi, dan kakistokrasi UMNO.

Kerana inilah mereka bersungguh-sungguh mencuba untuk mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan pelbagai pertuduhan yang dibuat-buat, supaya mereka boleh memberitahu orang ramai, yang pemimpin DAP ini tiada bezanya dengan para pemimpin UMNO.

Nasihat terakhir saya kepada para pengundi di Sabah: Selamatkan Sabah, Selamatkan Malaysia! Selamatkan Malaysia, Selamatkan Sabah!

Masa hadapan Sabah dan Malaysia terikat bersama dan tidak boleh dipisahkan.

Seperti yang tertera dalam papan tanda kempen Shafie Apdal: “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti!”

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri