Rumusan Kempen Pilihan Raya Negeri Sabah 2020
Kempen Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan saya ingin rumuskan dengan sebab mengapa calon-calon Warisan Plus perlu diberikan sokongan penuh. Sebab-sebab ini adalah:
- Pilihan Raya Negeri Sabah ini tidak sepatutnya berlaku. Tetapi perkara ini berlaku kerana kegagalan satu cubaan untuk merampas kerajaan negeri Sabah dengan melompatkan 13 orang katak politik tanpa melalui proses pilihan raya. Tetapi, Shafie Apdal berada selangkah di hadapan katak-katak politik dan perancang rampasan kuasa ini -- maka berlakulah PRN ini. Para pengundi di Sabah perlu membuktikan yang Shafie kini berada dua langkah ke hadapan perancang rampasan kuasa ini dengan memberikan sokongan teguh bagi membolehkan Warisan Plus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua-pertiga.
- Ketidak-sediaan pembangkang, terutamanya Perikatan Nasional untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri ini, di mana PN tidak mempunyai logo untuk bertanding dalam PRN ini dan hanya menggunakan ejaan “Perikatan Nasional” sebagai simbol mereka.
- Jumlah calon tertinggi dalam pilihan raya, dengan 447 calon bertanding untuk 73 kerusi daripada 16 parti politik yang berbeza, termasuklah 56 calon bebas.
- Hanya calon-calon Warisan Plus sahaja yang mempunyai pendekatan polisi yang konsisten -- untuk membentuk kerajaan negeri Sabah yang dipimpin oleh Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah. Bukan sahaja dengan majoriti mudah 37 kerusi, tetapi dengan memenangi sekurang-kurangnya 49 kerusi untuk mendapatkan majoriti dua-pertiga kerusi DUN Sabah untuk menghapuskan budaya katak politik di Sabah dan Malaysia.
- Penggerak boneka yang paling penting dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ini bukanlah Perdana Menteri mahupun mana-mana pengerusi parti dalam “gabungan dalam gabungan” Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi seorang personaliti yang tidak bermuka dan tidak bernama yang sedang mengawal pergerakan semua katak-katak politik di Sabah.
- Penguasaan pemimpin Malaya seperti Setiausaha Agung Bersatu yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
- Tindakan PBS yang menyerah kalah di tempat penubuhan parti tersebut, Tambunan, kepada STAR dalam satu “persefahaman” yang telah dipaksa ke atas pimpinan PBS dan STAR oleh pemimpin Malaya seperti Hamzah Zainuddin. Sepuluh orang pimpinan PBS di Tambunan bersama dengan penyokong mereka telah menghentam tindakan pimpinan PBS yang menyerah kalah di Tambunan ini. Saya sendiri, yang bukannya seorang ahli PBS pun, terasa dikhianati dengan tindakan ini memandangkan saya pernah memperjuangkan PBS dan Joseph Pairin di dalam dan di luar Parlimen pada tahun 1984 - 1986. Saya percaya para pemimpin PBS dan ahli-ahli mereka di seluruh Sabah perlu menzahirkan rasa jelik dan kekecewaan mereka terhadap tindakan menyerahkan kerusi Tambunan kepada STAR ini.
- Kadar kemiskinan kronik di Sabah selepas 57 tahun menyertai Malaysia, sedangkan Sabah adalah antara negeri yang terkaya dengan hasil minyak, gas, balak, dan lain-lain lagi. Dalam kempen PRN Sabah ini, fakta mengenai kadar kemiskinan Sabah yang berada pada kadar 19.5% pada tahun 2019 telah didedahkan, dengan hampir 40% golongan Orang Asal berada di bawah paras pendapatan garis kemiskinan (PGK), berbanding dengan purata 5% kadar kemiskinan kebangsaan.
- Meletakkan Batu Sumpah Keningau dan ketiga-tiga janjinya; “Ugama Bebas Dalam Sabah”, “Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah” dan “Adat Istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan” sebagai agenda Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
- Muhyiddin telah mengangkat kepentingan Pilihan Raya Negeri Sabah ke peringkat kebangsaan, yang berkait-rapat dengan masa depan politik beliau sendiri sebagai Perdana Menteri, bersama dengan sidang media khas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mendakwa beliau kini mempunyai sokongan yang cukup untuk menjadi Perdana Menteri, menggantikan Muhyiddin.
- Membuang Sabah dan Malaysia daripada senarai negara yang terkenal dengan masalah rasuah dan pengubahan wang haram.
- Mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang menyeru rakyat Sabah untuk mengundi Warisan Plus untuk membina sebuah Sabah Baharu dan Malaysia Baharu, yang berasaskan perpaduan dan berpegang kepada kelima-lima prinsip Rukun Negara.
Terdapat pertembungan banyak penjuru di setiap kerusi DUN, yang terkecil dengan pertembungan tiga penjuru dan dengan sebelas calon bertanding di kerusi DUN Bengkoka dalam kawasan Parlimen Kudat. Selain itu, terdapat 15 pertembungan lima penjuru, 26 pertembungan enam penjuru, 13 pertembungan tujuh penjuru, enam pertembungan lapan penjuru, dan tiga pertembungan sembilan penjuru.
Perdana Menteri mahukan Hajiji Noor untuk menjadi calon Ketua Menteri mereka tetapi cadangan ini tidak disokong oleh UMNO Sabah. Rakyat Sabah hanya akan mampu tertunduk malu jika Bung Moktar yang bermulut lancang dan tidak menghormati martabat dan peranan wanita diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah.