Saya melawat tempat istimewa dalam politik, Tambunan, semasa Anwar mengadakan sidang media tengahari beliau mengenai mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk menjadi Ahli Parlimen

Saya sedang melawat satu tempat yang istimewa dalam politik negara, Tambunan, semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media tengahari beliau mengenai beliau mempunyai cukup sokongan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Kali terakhir saya berjumpa Anwar adalah sebelum saya ke Sabah berkempen untuk calon-calon Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, di mana Anwar telah mengatakan kepada saya yang beliau tidak berhubungan dengan mana-mana pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Zahid Hamidi mahupun mana-mana pimpinan PAS dalam cubaan untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang telah dirampas melalui konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 yang telah menumbangkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang baru berusia 22 bulan.

Saya telah berada di Sabah sejak 14 September dan tidak berhubungan dengan Anwar sepanjang tempoh ini. Sidang media Anwar hari ini datang sebagai kejutan kepada saya, seperti mana ia mengejutkan orang lain.

Pelbagai banyak pergerakan-pergerakan politik yang sedang berlaku dalam negara kita sekarang, dan Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini hanyalah permulaan kepada suatu pergerakan politik yang lebih lagi pada peringkat kebangsaan.

Apa yang diketahui ramai adalah hakikat yang ramai para pemimpin UMNO sedang mahukan pilihan raya umum, kerana mereka percaya dengan bantuan PAS, mereka boleh mendapatkan semula kawalan dan hegemoni kerajaan persekutuan, malah, kerusi Perdana Menteri juga.

Mereka tidak mempunyai sebarang hormat terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang Perdana Menteri, yang pastinya menyedari hakikat yang beliau akan menjadi korban pertama dalam sebarang pilihan raya umum mengejut memandangkan tidak ada sesiapa pun yang akan menyokong beliau selepas pilihan raya ini.

Malah, dalam Bersatu sendiri, terdapat pemimpin politik yang sedang memerhati jawatan Perdana Menteri.

Namun, perkembangan politik semasa sedang berlaku dengan sangat pantas.

UMNO mungkin akan menyedari yang PAS akan keberatan untuk mengerakkan jentera politik mereka, memandangkan PAS kini melihat diri mereka sebagai “king maker” dalam arena politik negara, di mana pilihan politik mereka tidak terikat hanya kepada berkerjasama dengan UMNO, memandangkan kini Muhyiddin dan Bersatu juga memerlukan kerjasama PAS untuk terus kekal wujud.

Perkembangan politik selepas Pilihan Raya Negeri Sabah masih lagi merupakan satu usaha yang belum selesai -- yang semestinya akan dipengaruhi oleh keputusan PRN Sabah pada hari Sabtu ini.

Tugas segera kita adalah untuk memastikan kemenangan Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada hari Sabtu ini, bukan sahaja untuk membentuk kerajaan negeri dengan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri, tetapi untuk mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga bagi menamatkan budaya politik katak, bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara.

Saya melawat Tambunan kerana saya terkejut melihat tindakan PBS yang menyerah kalah di Tambunan kepada Star, sedangkan Tambunan ini adalah tempat lahir PBS.

Saya telah katakan yang bukanlah ahli PBS, tetapi saya sendiri berasa terkejut dan marah dengan tindakan pimpinan PBS yang memalukan sehingga sanggup untuk mengorbankan kerusi keramatnya demi untuk memenangi beberapa kerusi DUN -- satu perkara yang amat berbeza berbanding dengan zaman kegemilangan PBS pada tahun 80an.

Pada tahun 1984, Joseph Pairin Kitingan telah dipaksa untuk meletakkan jawatan sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, memaksa berlakunya Pilihan Raya Kecil Tambunan yang bersejarah, yang diiringi dengan Deklarasi Tambunan, di mana pengundi di Tambunan menjadi wira negara dengan cara yang demokratik melawan kerajaan negeri Sabah yang zalim dan menindas.

Joseph meraih 3,685 undi, berbanding dengan calon Berjaya yang hanya mendapat 637 undi.

Pada tahun 1985 dan 1986, saya telah memperjuangkan Joseph Pairin dan PBS di dalam dan di luar Parlimen, dan kini saya berasa terkejut dan dikhianati apabila pimpinan PBS sanggup mengorbankan kerusi Tambunan ini hanya demi untuk mendapatkan beberapa kerusi DUN dalam PRN Sabah 2020.

Joseph Pairin Kitingan telah mendapat dua peluang untuk membetulkan perkara yang salah, pertamanya semasa beliau menjadi Ketua Menteri selama 10 tahun antara tahun 1985 sehingga 1994 dan kedua semasa beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri selama 15 tahun, antara tahun 2004 sehingga 2018, di mana beliau telah gagal untuk menyelesaikan masalah rasuah, pendatang tanpa izin, dan isu kebebasan beragama, yang merupakan sebab asal PBS ditubuhkan.

Sebaliknya, dengan menjadi Timbalan Ketua Menteri kepada seorang Ketua Menteri UMNO, beliau telah menamatkan sistem giliran jawatan Ketua Menteri di antara tiga komuniti utama di Sabah, dengan komuniti KDM yang paling terjejas akibat perkara ini.

Kini, PBS telah menyerah kalah di Tambunan.

Apa yang perlu berlaku pada hari Sabtu ini adalah penegasan mengenai kepentingan prinsip dan kepentingan rakyat yang perlu menjadi pendorong utama dalam politik, bukannya kepentingan peribadi sendiri mahupun parti.

Saya amat kecewa dengan mesyuarat Kabinet hari ini yang telah gagal untuk mengambil keputusan penting untuk menjadi Batu Sumpah Keningau dan ketiga-ketiga janjinya berkaitan dengan kebebasan beragama, hal ehwal tanah sebagai hak kerajaan negeri dan perlindungan adat istiadat buat selama-lamanya, sebagai agenda utama Jawatankuasa Khas MA63 yang diumumkan oleh Muhyiddin di Sibu pada Hari Malaysia.

PBS akan datang dan pergi, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan -- dan kerana inilah perlunya ada satu sokongan yang kukuh untuk calon-calon Warisan Plus pada hari Sabtu ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri