Seperti mana SOP harus dipatuhi jika kita hendak menang melawan Covid-19, terdapat juga SOP untuk membina Sabah dan Malaysia yang berjaya -- perpaduan dan keterangkuman semua, bukannya politik beracun dan negatif yang memperalatkan kaum dan agama
Seperti mana kita mempunyai SOP yang mesti dipatuhi untuk memastikan kita menang melawan wabak Covid-19, terdapat juga SOP yang perlu diikuti jika kita mahu membina sebuah Sabah dan Malaysia yang berjaya -- SOP ini berteraskan kepada perpaduan dan keterangkuman semua dan bukannya melalui politik beracun dan negatif yang memperalatkan kaum dan agama melalui penyebaran berita palsu dan penipuan dengan tujuan untuk menyebarkan kebencian dan ketakutan dalam masyarakat kita.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, Warisan Plus mempunyai sebuah manifesto yang menggariskan SOP untuk sebuah Sabah Baharu di mana Sabah tidak akan dikenali lagi sebagai negeri termiskin dalam negara selepas 57 tahun penubuhan Malaysia -- satu kedudukan yang lebih teruk berbanding dengan Kelantan yang merupakan negeri termiskin di Semenanjung Malaysia. Di mana hasil-hasil negeri yang kaya ini akan digunakan untuk menambahbaik kemudahan infrastruktur di Sabah untuk menghapuskan kemunduran dalam negeri tersebut dan bukannya untuk menebalkan poket-poket mereka yang korup dan berkuasa. Supaya insiden di mana Veveonah Mosibin terpaksa berada di atas pokok selama 24 jam untuk menduduki peperiksaan di atas talian tidak berulang lagi. Sebuah Sabah di mana masyarakat majmuk dengan pelbagai latar belakang etnik kaum, bahasa, agama, dan budaya hidup bersama dengan aman dan harmoni.
Kerana inilah kempen pemimpin Warisan Plus, Shafie Apdal menggunakan cogan kata yang berteraskan perpaduan dan keterangkuman semua seperti “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti” dan “Marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama”.
Bantahan daripada “gabungan dalam gabungan” PN-BN-PBS terhadap mesej perpaduan yang digunakan oleh Warisan Plus ini menjadi bukti yang mereka membawa mesej perpecahan, pengasingan, dan tidak bertoleransi, satu perkara yang sangat bertentangan dengan gaya hidup di Sabah dan Malaysia.
“Gabungan dalam gabungan” PN-BN-PBS ini masih tidak mampu menentukan siapakah yang akan menjadi Ketua Menteri jika mereka menang. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri tetapi UMNO dan BN mahukan Bung Moktar Radin.
Sedangkan tuan-tuan Malaya “gabungan dalam gabungan” PN-BN-PBS sedang bertungkus lumus untuk membawa persefahaman di antara pecahan-pecahan dalam gabungan ini sebelum hari pengundian pada 26 September ini, Warisan Plus terus mendahului dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ini, walaupun keputusan PRN ini masih samar-samar.
Apa yang jelas adalah, Warisan Plus jauh mendahului “gabungan dalam gabungan” PN-BN-PBS tetapi masih belum memegang erat 37 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Tetapi, perjalanannya masih lagi panjang untuk Warisan Plus memenangi 49 kerusi bagi mendapatkan majoriti dua-pertiga untuk menghapuskan budaya buruk “politik katak”.
Terdapat berdozen kerusi yang masih perlu dikempeni oleh Warisan Plus dan pihak pembangkang, dan setiap satu undi masih perlu diraih untuk membolehkan Warisan Plus bukan sahaja membentuk kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Shafie Apdal, tetapi untuk mendapatkan majoriti dua-pertiga bagi membolehkan budaya politik “katak” dihapuskan sama sekali di Sabah dan Malaysia.