PBS patut tutup kedai sahaja jika parti tersebut sudah ke tahap terpaksa menggadaikan kerusi di mana Parti tersebut mula ditubuhkan dan terpaksa mengakui yang STAR mempunyai pengaruh yang lebih kuat di Tambunan berbanding mereka

Saya terkejut dan agak marah apabila mendengar yang PBS telah memberikan Tambunan, tempat penubuhan parti tersebut pada tahun 1985 kepada STAR dan mengakui yang STAR mempunyai pengaruh yang lebih kuat berbanding mereka dalam satu perjanjian persefahaman yang disusun oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Saya bukanlah seorang ahli PBS, tetapi pada tahun 1985 dan 1986, saya telah berucap di dalam dan di luar Parlimen menyatakan sokongan kepada PBS, dan pada masa itu, Tambunan menjadi perbualan hangat di seluruh negara sebagai sebuah tempat di mana rakyat biasa bangkit melawan kezaliman dan penindasan.

Bagaimanakah PBS mampu untuk melepaskan sahaja tempat sepenting ini?

Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, yang UMNO patut tutup kedai sahaja di Kedah, Kelantan, dan Terengganu jika sekutu mereka, PAS tidak mahu berbincang mengenai perkongsian kerusi dalam tiga negeri yang mereka kawal tersebut, ramai rakyat Sabah juga percaya yang PBS patut tutup kedai juga jika parti tersebut sanggup melepaskan Tambunan, pusat penubuhan yang penting kepada Parti tersebut.

Semasa memberikan ucapan di Kiulu, Joseph Pairin Kitingan mengatakan yang PBS ditubuhkan oleh beliau dan telah naik berkuasa untuk melawan sebuah kerajaan yang “zalim” dan menindas.

Perkara ini berlaku pada tahun 80an, terutamanya pada tahun 1985 dan 1986, selepas Pilihan Raya Kecil Tambunan yang terkenal di seluruh negara.

Seperti yang dikatakan Joseph Pairin, terdapat sekatan terhadap kebebasan beragama dan kedatangan beramai-ramai pendatang tanpa izin.

Beliau memperingatkan: “Rakyat berasa tidak senang. PBS diwujudkan oleh rakyat untuk melawan kekejaman dan ketidakadilan.”

Tetapi, itu cerita 35 tahun yang lalu. Hari ini, PBS sendiri telah berubah menjadi parti yang zalim dan tidak adil.

Kerana itulah PBS sanggup mengorbankan kerusi keramat Tambunan, demi sebuah persefahaman dengan STAR yang disusun oleh Hamzah Zainuddin. Perkara ini pastinya menjadi satu titik hitam yang memalukan buat parti tersebut.

Saya berasa sedih melihat kenaikan dan kejatuhan PBS seperti yang ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya yang ditandingi PBS sepanjang 35 tahun yang lepas.

Pada hari kegemilangan PBS di antara tahun 1985 ke 1990, PBS memenangi 25 kerusi DUN dalam pilihan raya tahun 1985, 34 kerusi dalam pilihan raya tahun 1986, dan 36 kerusi dalam pilihan raya tahun 1990. Sejak daripada tahun 1990, parti tersebut mula merosot.

Dalam Pilihan Raya 1994, PBS hanya memenangi 25 kerusi, yang kemudiannya terus berkurangan kepada 17 kerusi pada tahun 1999, 13 kerusi pada tahun 2004, 12 kerusi pada tahun 2008, 7 kerusi pada tahun 2013, 6 kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2018, dan kini mengorbankan kerusi keramatnya, Tambunan pada tahun 2020 kepada STAR.

Joseph Pairin mempunyai dua peluang untuk memperbetulkan keadaan dalam politik Sabah, tetapi beliau telah gagal.

Beliau merupakan Ketua Menteri Sabah untuk tempoh selama 10 tahun di antara tahun 1985 sehingga 1994 dan menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah di bawah kerajaan UMNO pada tahun 2004 sehingga 2018.

Apakah yang telah beliau lakukan sepanjang memegang jawatan-jawatan ini selama 25 tahun untuk menyelesaikan masalah-masalah yang telah lama membelenggu Sabah seperti pendatang tanpa izin?

Memandangkan kedua-dua adik beradik Pairin, Joseph dan Jeffrey ini pernah menuduh satu sama lain sebagai mengkhianati kepentingan komuniti KDM (Kadazan, Dusun, dan Murut) berkenaan dengan isu pendatang tanpa izin, adakah persefahaman ini menunjukkan yang mereka bersetuju kedua-dua mereka kini telah mengkhianati komuniti KDM?

Jika adik beradik Pairin ini benar-benar jujur dalam mempertahankan kepentingan Sabah dan komuniti KDM, mereka seharusnya berkerjasama dan menempelak tindakan salah Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri yang mengugut untuk tidak mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin jika Pengerusi UPKO Wilfred Tangau menang mengalahkan Ketua Perhubungan PBS Joniston Bangkuai di kerusi DUN Kiulu.

Joseph dan Jeffrey sepatutnya berkerjasama demi kepentingan komuniti KDM dan semua rakyat Sabah dan memberitahu Hamzah -- tanpa mengira sesiapa pun yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ini -- yang Kerajaan Persekutuan tidak boleh menyalahgunakan kuasanya dan perlu melaksanakan tanggungjawabnya berkenaan dengan hal pendatang tanpa izin.

Amat menyedihkan melihat Joseph dan Jeffrey bersatu untuk mempertahankan penyalahgunaan kuasa demi seorang Menteri Dalam Negeri yang bercita-cita untuk pada suatu hari nanti menjadi Perdana Menteri.

Sepertimana perbuatan mengorbankan kerusi keramat Tambunan, perkara ini memberikan satu perasan pengkhianatan kepada hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Mereka berdua telah menuduh satu sama lain sebagai menjadi pak turut kepada pimpinan dan kepentingan Malaya. Mengapa kini mereka menurut kehendak bos baharu mereka daripada Malaya yang merupakan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin?

Masanya telah tiba untuk rakyat bangkit, bukan sahaja dalam kalangan komuniti KDM, tetapi semua rakyat Sabah, baik Suluk, Bajau, atau pun Cina, untuk berkejasama membina sebuah Sabah Baharu dan Malaysia Baharu.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri