Memandangkan kedua-dua beradik Pairin telah menuduh satu sama lain sebagai mengkhianati kepentingan golongan KDM berkenaan dengan isu pendatang tanpa izin, dengan persefahaman separa di antara PBS dan Star, adakah mereka bersetuju yang kedua-dua mereka telah mengkhianati kepentingan komuniti KDM?

Tinggal empat hari lagi sebelum hari pengundian, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah bersetuju dengan persefahaman separa bermula dengan pengelakkan pertembungan di sekurang-kurangnya dua kerusi.

Memandangkan kedua-dua adik beradik Pairin, Joseph dan Jeffrey ini pernah menuduh satu sama lain sebagai mengkhianati kepentingan komuniti KDM (Kadazan, Dusun, dan Murut) berkenaan dengan isu pendatang tanpa izin, adakah persefahaman ini menunjukkan yang mereka bersetuju kedua-dua mereka kini telah mengkhianati komuniti KDM?

Keduanya, mereka berdua telah menuduh satu sama lain sebagai menjadi pak turut kepada pimpinan dan kepentingan Malaya. Mengapa kini mereka menurut kehendak bos baharu mereka daripada Malaya yang merupakan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin?

Jika adik beradik Pairin ini benar-benar jujur dalam mempertahankan kepentingan Sabah dan komuniti KDM, mereka seharusnya berkerjasama dan menempelak tindakan salah Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri yang mengugut untuk tidak mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin jika Pengerusi UPKO Wilfred Tangau menang mengalahkan Ketua Perhubungan PBS Joniston Bangkuai di kerusi DUN Kiulu.

Joseph dan Jeffrey sepatutnya berkerjasama demi kepentingan komuniti KDM dan semua rakyat Sabah dan memberitahu Hamzah -- tanpa mengira sesiapa pun yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ini -- yang Kerajaan Persekutuan tidak boleh menyalahgunakan kuasanya dan perlu melaksanakan tanggungjawabnya berkenaan dengan hal pendatang tanpa izin.

Amat menyedihkan melihat Joseph dan Jeffrey bersatu untuk mempertahankan penyalahgunaan kuasa demi seorang Menteri Dalam Negeri yang bercita-cita untuk pada suatu hari nanti menjadi Perdana Menteri.

Joseph Pairin kini mengakui bahawa Star adalah lebih kuat daripada PBS di Tambunan dan Bingkor -- kedua-dua kerusi yang merupakan tempat kelahiran PBS.

Adakah Joseph telah merenung mengenai kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan mereka sehingga PBS kehilangan sokongan masyarakat di tempat penubuhan parti tersebut? Berapa banyak lagi kerusi yang akan dikorbankan oleh Joseph dan PBS kepada Jeffrey dan Star?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri