Hamzah Zainuddin patut dipecat daripada jawatan Menteri Dalam Negeri jika benar beliau telah mengugut untuk tidak mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin jika Wilfred Tangau tidak dikalahkan dan Ketua Perhubungan PBS Joniston tidak dipilih semula di Kiulu

Datuk Seri Hamzah Zainuddin patut dipecat daripada jawatan Menteri Dalam Negeri beliau jika benar beliau telah mengugut untuk tidak mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin sekiranya Wilfred Tangau, Pengerusi UPKO, tidak dikalahkan dan Ketua Perhubungan PBS, Joniston Bangkuai, tidak dipilih semula untuk kerusi DUN Kiulu dalam PRN Sabah.

Untuk berlaku adil kepada Hamzah, beliau patut diberikan peluang untuk memberikan penjelasan mengenai perkara ini.

Tetapi persoalan yang lebih utama adalah, sama ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berani untuk memecat Hamzah yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu, memandangkan kerapuhan jawatan Perdana Menteri beliau sendiri.

Muhyiddin akan hilang jawatan Perdana Menterinya jika beliau memecat Hamzah -- menunjukkan betapa lemahnya Muhyiddin sebagai seorang Perdana Menteri.

Perkara ini amat jelas kerana penyalahgunaan kuasa oleh Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri ini adalah untuk memujuk PBS supaya menarik semula beberapa calon mereka bagi memberikan kelebihan kepada Star dan Jeffrey Kitingan untuk mengurangkan perbalahan dalaman di dalam “gabungan dalam gabungan” PN-BN-PBS.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri