Adakah saya sekarang akan dituduh sebagai seorang jaguh pendatang tanpa izin kerana saya berkempen untuk calon Warisan yang merupakan seorang pemimpin DAP juga, Peter Saili di Bingkor, seperti mana saya dituduh sebagai punca rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur sedangkan saya berada di Sabah semasa kejadian tersebut berlaku?

Kali pertama saya melawat Sabah adalah pada tarikh bersejarah 13 Mei 1969, dan lima puluh tahun kemudian, saya dituduh pula sebagai menjadi punca berlakunya rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur dan mengetuai satu perarakan haram di jalan-jalan di Kuala Lumpur, sedangkan saya berada di Sabah ketika itu.

Saya sedang memberikan ucapan kepada sebuah perhimpunan awam yang dihadiri ramai di Kota Kinabalu pada waktu petang 13 Mei 1969 tersebut, sehinggalah seseorang daripada belakang pentas datang membisikkan kepada saya mengenai kejadian yang berlaku di Kuala Lumpur -- itu adalah kali pertama saya mengetahui mengenai kejadian ini.

Dalam perhimpunan di Kota Kinabalu tersebut, saya telah mengkritik cara pemerintahan autokratik Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mustapha, dan beliau kemudiannya telah mengeluarkan satu arahan untuk mengusir saya daripada Sabah pada pagi keesokan hari.

Saya terlepas penerbangan saya dari Kota Kinabalu pada tengahari tersebut, tetapi saya bertuah kerana terlepas penerbangan ini, kerana terdapat sekumpulan orang Bajau yang telah ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk “menamatkan” saya kerana saya telah mengkritik hero mereka, Tun Mustapha dalam perhimpunan awam di KK tersebut.

Saya terpaksa untuk tinggal sehari lagi di Kota Kinabalu dan mengambil penerbangan pulang pada 15 Mei 1969.

Memandangkan Kuala Lumpur berada di bawah perintah berkurung, saya berada di Singapura selama tiga malam, di mana saya terus berhubungan dengan ahli keluarga dan para pemimpin parti. Mereka telah menasihatkan saya untuk tidak pulang memandangkan nama saya ada dalam senarai untuk ditangkap. Saya katakan pada mereka yang saya tidak akan pulang, tetapi saya memberitahu diri saya yang saya perlu pulang ke tanah air secepat mungkin kerana saya tidak boleh hanya menoleh kebelakang sedangkan negara sedang dilanda masalah memandangkan saya baru sahaja dilantik sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka pada 10 Mei 1969 lepas.

Tanpa memberitahu keluarga saya, saya telah membeli tiket penerbangan pulang pada 18 Mei dan saya telah ditahan sejurus selepas keluar daripada kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang di mana saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 18 bulan.

Memori ini kembali sebentar tadi semasa saya tertanya-tanya, sama ada saya kini akan dituduh sebagai seorang jaguh pendatang tanpa izin kerana saya telah berkempen untuk calon Warisan dan pemimpin DAP Peter Saili di Bingkor, sepertimana saya dituduh sebagai punca rusuhan 13 Mei 1969 sedangkan saya berada di Sabah ketika itu?

Lawatan kedua saya ke Sabah adalah pada tahun 1977, selepas parti Tun Mustapha, USNO ditumbangkan oleh Parti Berjaya pada tahun 1976 dan selepas “tragedi 666” di mana sebuah pesawat Nomad terhempas berdekatan dengan Lapangan Terbang Kota Kinabalu, mengorbankan pimpinan tertinggi Berjaya, termasuklah Tun Fuad dan Peter Mojuntin.

Saya melawat Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau pada tahun 1977 dan telah memberikan amaran mengenai tiga masalah yang mula muncul di Sabah -- berkenaan jenayah dan keselamatan rakyat Sabah, rasuah, dan masalah pendatang tanpa izin.

Jika kerajaan Sabah ketika itu telah mendengar amaran saya mengenai masalah ini, Sabah tidak akan berada dalam keadaan seperti hari ini sebagai negeri dengan kadar kemiskinan tertinggi dalam negara pada kadar 19.5% sedangkan purata kebangsaan hanyalah 5%.

Pada tahun 1977, jumlah pendatang tanpa izin dianggarkan berada sekitar 140,000 orang, namun 40 tahun kemudian, jumlah ini dianggarkan sekitar 1.2 juta ke 2 juta orang!

Namun, Ketua Menteri Sabah semasa itu, Harris Salleh, tidak gembira dengan amaran saya dan sekali lagi saya telah diharamkan daripada melawat negeri Sabah.

Joseph Pairin Kitingan mempunyai dua peluang untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin, pertamanya semasa beliau menjadi Ketua Menteri di antara tahun 1985 sehingga 1994, dan kali kedua semasa beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri pada tahun 2004 sehingga tahun 2018.

Tetapi, Joseph Pairin gagal untuk menyelesaikan masalah ini dalam masa 25 tahun beliau bertugas sebagai Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri dan beliau dituduh oleh adik beliau sendiri sebagai seorang yang terlalu rapat dengan UMNO, terutamanya mantan Ketua Menteri UMNO, Musa Aman.

Tetapi, Jeffrey juga gagal menyelesaikan masalah ini sedangkan beliau kini merupakan seorang Timbalan Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional, dengan PAS dan UMNO sebagai dua parti utama PN.

Saya terkejut apabila saya mendapati yang ramai orang di Keningau percaya yang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada di Batu Sumpah, Keningau pada Hari Malaysia 16 September yang lepas untuk memberikan perhormatan kepada Batu Sumpah Keningau dan ketiga-tiga janji “Ugama Bebas Dalam Sabah”, “Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah” dan “Adat Istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan”.

Muhyiddin tidak pernah ke Keningau pada Hari Malaysia memandangkan beliau berada di Sibu pada hari tersebut untuk satu lagi sambutan Hari Malaysia di mana beliau mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas MA63 untuk membincangkan isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Saya tahu kerana saya telah menonton video acara peringatan Batu Sumpah Keningau tersebut, di mana Jeffrey telah menerima memorandum untuk diserahkan kepada Perdana Menteri daripada ketua masyarakat KDM.

Adakah Jeffrey akan memastikan memorandum ini dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini supaya Kabinet akan meletakkan Batu Sumpah Keningau dan janji-janjinya sebagai salah satu agenda utama Jawatankuasa Khas MA63?

Jika Peter Saili dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor, beliau akan berkerjasama dengan para pemimpin DAP lain seperti Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jania Lasimbang, Senator Adrian Lasimbang, Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual, dan para pemimpin DAP yang lain untuk mendapatkan penyelesaian jangka masa panjang dalam kerajaan negeri Warisan Plus, tanpa perlu berkawan dengan UMNO mahupun PAS.

Pilihan Raya Negeri Sabah akan berlangsung dalam tempoh empat hari lagi. PRN ini berlaku kerana kegagalan rancangan Muhyiddin yang gagal. Kejayaan Musa Aman untuk mendapatkan 13 orang “katak politik” adalah untuk merampas kerajaan negeri dan beliau tidak menjangkakan sebuah pilihan raya.

Simbol yang digunakan Perikatan Nasional, yang bukannya satu logo, tetapi hanyalah perkataan “Perikatan Nasional” menjadi bukti yang Muhyiddin tidak bersedia untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri ini.

Shafie telah maju satu langkah kehadapan dalam usaha menyelamatkan Sabah. Marilah rakyat Sabah semua bersatu padu dalam memberikan Shafie kemenangan kedua ke atas Muhyiddin dengan memberikan mandat yang kuat kepada Warisan Plus, bukan sahaja untuk membentuk kerajaan negeri, tetapi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga supaya budak “katak politik” ini dapat dihapuskan.

Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini, satu lagi drama politik mengenai berapa lama Muhyiddin boleh kekal sebagai Perdana Menteri akan bermula.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri