Muda adalah satu cara pemikiran -- terdapat keperluan mendesak untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira umur, jantina, kaum, agama, mahupun geografi, untuk bersatu membina satu Sabah baharu dan Malaysia Baharu

Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq kerana berjaya menunjukkan yang negara kita memerlukan satu cara pemikiran yang baharu, yang kita perlu untuk tidak melihat warna kulit dan tidak boleh terikat dengan cara lama dalam membina negara, dan kita tidak boleh mengikat diri kita sendiri dengan pembahagian perkauman dan keagamaan.

Syed Saddiq sedang menubuhkan satu parti politik orang muda.

Namun, muda ini adalah satu cara pemikiran. Terdapat orang muda yang tersekat dengan pemikiran lama dan orang tua dengan idea yang segar dan baharu.

Oleh itu, muda ini tidak boleh didefinasikan melalui umur semata-mata.

Apa yang Malaysia perlukan sekarang adalah perpaduan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira umur, jantina, kaum, agama, mahupun geografi, untuk membina satu Sabah Baharu dan Malaysia Baharu.

Pilihan Raya Negeri Sabah ini menonjolkan dua kumpulan utama yang berbeza, Warisan Plus yang menekankan perpaduan dan keterangkuman masyarakat majmuk Sabah dan Malaysia dan di pihak satu lagi pula, “gabungan dalam gabungan” PN, BN, dan PBS dengan 3P pertelingkahan, perselisihan, dan perpecahannya.

“Gabungan dalam gabungan” di Sabah ini penuh dengan pertelingkahan dan percanggahan sesama sendiri, dibanjiri dengan jumlah katak politik yang memecahkan rekod -- sehingga terdapat 447 calon yang bertanding untuk 73 kerusi, yang pastinya akan meletakkan Sabah ke dalam Guinness Book of Records untuk satu pencapaian yang tidak akan dibanggakan oleh rakyat Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin maju Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor untuk menjadi calon Ketua Menteri gabungan mereka. Namun begitu, sentimen ini tidak dikongsi oleh ahli-ahli “gabungan dalam gabungan” ini memandangkan UMNO Sabah pula mahukan Pengerusi mereka, Bung Moktar Radin sebagai calon Ketua Menteri Sabah.

Jika Bung Moktar menjadi Ketua Menteri Sabah pada 26 September ini, rakyat Sabah hanya akan mampu tertunduk malu, kerana Sabah akan dipimpin oleh seorang pemimpin bermulut kasar, yang selalu menyumpah dengan perkataan empat huruf, seorang pemimpin yang terkenal sepanjang kerjaya politiknya sebagai seorang yang sering menghina martabat dan peranan wanita dalam masyarakat.

Dalam usaha mengejar perpaduan, pemimpin Warisan Plus, Shafie Apdal telah menggunakan slogan “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti” dan “Marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama” tetapi slogan ini jelas ditentang oleh “gabungan dalam gabungan” PN, BN, PBS yang diketuai oleh Bung Moktar.

Mesej yang dibawa oleh Warisan Plus adalah mesej perpaduan, manakala mesej yang dibawa oleh “gabungan dalam gabungan” PN-BN-PBS adalah mesej perpecahan dan pembahagian.

Amat jelas sekali, kombinasi yang mana yang akan menjaga kepentingan rakyat Sabah.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri