Kabinet perlu membincangkan Batu Sumpah Keningau dan ketiga-tiga janjinya mengenai kebebasan beragama, hal ehwal tanah dan adat istiadat Orang Asal sebagai agenda Jawatankuasa Khas MA63 pada hari Rabu ini
Sistem tenaga solar untuk Tamu Sangadau di Kepayan ini adalah bukti komitmen DAP dan Warisan Plus untuk membantu kehidupan seharian rakyat dalam negara.
Semalam, Jabatan Statistik telah mendedahkan yang Sabah mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi dalam negara kita, pada kadar 19.5 peratus, sedangkan kadar kemiskinan kebangsaan hanya berada pada kadar 5.6%, dan hampir 40 peratus golongan Orang Asal dalam negeri Sabah berstatus miskin atau berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Tongod, Pitas, dan Kota Marudu adalah antara beberapa daerah yang termiskin dalam negara kita dengan kadar kemiskinan sekitar 50 peratus.
Kedudukan Sabah diikuti oleh Kelantan yang berada di tempat kedua dengan kadar kemiskinan setinggi 12.4 peratus, dan kemudiannya oleh Sarawak dengan 9 peratus kadar kemiskinan.
Persoalannya, mengapakah Sabah, yang merupakan salah satu negeri yang paling kaya dengan hasil sumber asli seperti minyak, gas, balak, dan tanah yang subur, menjadi negeri termiskin dalam negara selepas 57 tahun Malaysia ditubuhkan?
Jika tidak ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan pentadbiran yang baik menjadi agenda utama dalam enam dekad yang lepas, hasil-hasil negeri Sabah yang kaya ini semestinya akan dapat dilihat daripada kadar kemiskinan di Sabah, di mana Sabah sebagai salah sebuah negeri yang terkaya dengan hasil, seharusnya mempunyai kadar kemiskinan di bawah kadar purata kebangsaan 5.6%.
Tetapi, kadar kemiskinan di Sabah berada pada kadar 19.5% peratus, dengan hampir 40 peratus populasi Orang Asal di Sabah hidup bawah garis kemiskinan.
Pada hari Rabu lepas, semasa negara kita menyambut Hari Malaysia pada 16 September, Perdana Menteri telah menghilangkan dirinya daripada menghadiri acara peringatan Batu Sumpah Keningau, jika tidak, beliau sudah akan melakarkan sejarah sebagai Perdana Menteri pertama dalam sejarah yang mengiktiraf Batu Sumpah ini.
Sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Sibu untuk satu lagi acara sambutan Hari Malaysia di mana beliau mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 untuk membincangkan isu-isu yang masih belum selesai berkenaan dengan perjanjian tersebut.
Namun, buat pertama kali dalam sejarah negara kita, pengumuman Jawatankuasa yang sepenting ini tidak dibuat bersama dengan pengumuman ahli-ahlinya -- menunjukkan yang yang penubuhan jawatankuasa ini hanyalah satu wayang politik dan Perdana Menteri sendiri tidak serius dengan jawatankuasa ini.
Adakah mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini akan memutuskan hal keahlian Jawatankuasa ini bagi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam perkara ini?
Tambahan lagi, ketiadaan Muhyiddin pada acara peringatan Batu Sumpah Keningau pada Hari Malaysia yang lepas, sedangkan papan tanda mengumumkan kehadiran Perdana Menteri telah pun dinaikkan, menimbulkan persoalan kepada keseriusan kerajaan Perikatan Nasional dalam mempertahankan ketiga-tiga janji Batu Sumpah ini; “Ugama Bebas Dalam Sabah”, “Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah” dan “Adat Istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan”.
Adakah Kabinet pada hari Rabu ini juga akan mengambil keputusan penting untuk meletakkan Batu Sumpah Keningau sebagai sebahagian daripada agenda Jawatankuasa Khas MA63?
Adakah Timbalan Menteri dalam kerajaan PN, Dr Jeffrey Kitingan bersedia untuk berjanji yang perkara ini akan dilakukan oleh Kabinet pada hari Rabu ini?
Memandangkan Jeffrey telah menerima memorandum daripada ketua masyarakat KDM pada acara peringatan tersebut, untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, memorandum ini juga patut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini dan Jeffrey perlu memastikan yang Kabinet akan menjadikan Batu Sumpah Keningau sebagai salah satu agenda utama Jawatankuasa Khas MA63.
Untuk selama lebih daripada setengah abad, selain daripada oleh seorang dua ahli politik Sabah, Batu Sumpah Keningau telah dilupakan sama sekali baik dalam kalangan pemimpin Sabah mahupun pemimpin kebangsaan, sehinggalah saya sendiri melawat Keningau dalam bulan Mac 2010 bersama dengan dua orang Ahli Parlimen DAP ketika itu, Teo Nie Ching dan Lim Lip Eng bersama-sama dengan satu-satunya ADUN DAP Sabah, Jimmy Wong.
Sehingga hari itu, saya sendiri tidak pernah terdengar mengenai Batu Sumpah Keningau ini kerana ia tidak pernah disebut mahupun dibangkitkan oleh mana-mana Ahli Parlimen Sabah di Parlimen.
Pada Batu Sumpah Keningau ini, diukirkan jaminan bersejarah kepada rakyat Sabah, terutamanya yang berada di pedalaman, semasa menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 -- mengenai kebebasan beragama, hal ehwal tanah akan selama-lamanya menjadi bidang kuasa kerajaan negeri, dan hak-hak adat akan sentiasa dihormati dan dipelihara oleh kerajaan.
Selepas lawatan saya pada bulan Mac 2010 ini, saya dapati jelas sekali yang janji-janji yang terukir pada Batu Sumpah ini tidak dikotakan sepenuhnya.
Oleh itu, saya telah menjadi Ahli Parlimen pertama yang membangkitkan isu Batu Sumpah Keningau ini Parlimen, dan sejak hari itu, Ahli Parlimen DAP daripada Sabah secara konsisten telah membangkitkan isu ini.
Kami juga telah melancarkan kempen Kesedaran Batu Sumpah, di mana kata-kata ulung penulis Czech, Milan Kundera “Perjuangan manusia melawan kuasa adalah perjuangan ingatan melawan lupa” menjadi cogan kata kempen ini.
Saya berharap, pada hari Rabu ini, satu lagi sejarah bakal dilakarkan dengan Kabinet meletakkan Batu Sumpah Keningau ini sebagai salah satu agenda utama Jawatankuasa Khas MA63.
Adakah Muhyiddin dan Jeffrey Kitingan akan memastikan perkara ini berlaku pada hari Rabu ini dan mengumumkannya selepas mesyuarat Kabinet?