Perdana Menteri perlu menerangkan bagaimanakah kerajaan Perikatan Nasional ini boleh dipercayai jika pihak Polis tidak mampu mengambil tindakan terhadap seorang Menteri yang melanggar SOP kuarantin Covid-19?
Pemimpin UMNO Sabah, Bung Moktar Radin telah meminta rakyat Sabah untuk memberikan UMNO peluang kerana UMNO dan BN telah berubah dan kini komited kepada pentadbiran yang lebih adil, telus, dan boleh dipercayai.
Semasa pelancaran manifesto Aku Janji UMNO dan BN, Bung Moktar yang terkenal dengan mulutnya yang kasar dan perbuatan menghina Parlimen dengan kata-kata yang tidak sopan, terutamanya terhadap wanita, telah mengatakan yang UMNO dan BN telah berubah kerana mereka mahukan rakyat untuk menyokong mereka.
Saya inginkan katakan kepada Bung Moktar: Jangan anggap semua orang bodoh!
UMNO hanya boleh dilihat sebagai telah berubah jika parti tersebut berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya untuk satu kaum, pada masa yang sama, mengutuk keras skandal 1MDB, rasuah, dan segala bentuk penyalahgunaan kuasa.
Adakah UMNO, atau sekurang-kurangnya UMNO Sabah, mampu melakukan semua ini sebelum 26 September?
Apa yang ketara adalah apabila kenyataan Bung Moktar mengenai UMNO telah berubah ini tidak mendapat sokongan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mahupun mana-mana pemimpin UMNO yang lain daripada Semenanjung Malaysia.
Adakah Bung Moktar cuba mengatakan yang UMNO Sabah boleh mengatasi keputusan UMNO Malaysia dan membangunkan DNA baharu yang tidak wujud dalam UMNO Malaysia?
Bagaimanakah rakyat mahu percaya yang UMNO telah berubah, sedangkan UMNO, termasuklah UMNO Sabah, masih terpersona dengan mentaliti “Cash is King” sehingga mereka semua terpanggil dengan seruan kempen “Malu Apa Bossku”?
Adakah UMNO Sabah akan membuktikan keseriusannya dalam mahu berubah kepada cara berfikir dan beroperasi yang baharu, dan bersedia untuk beralih arah dan meminta bekas Perdana Menteri tersebut untuk fokus kepada kes 1MDB-nya di Kuala Lumpur dan tidak turun berkempen di Sabah kerana perkara ini hanya memalukan UMNO Sabah?
Perkembangan terbaru dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ini adalah pengumuman daripada PBS yang mengatakan mereka kini adalah rakan PN, tetapi tidak akan menyertai gabungan PN.
Adakah PBS mengatakan yang mereka tidak akan menyokong sebarang cadangan untuk Bung Moktar menjadi Ketua Menteri Sabah?
Jika PBS pun tidak percaya yang Bung Moktar dan UMNO Sabah telah berubah, mengapa pula rakyat Sabah perlu percaya yang Bung Moktar dan UMNO Sabah telah berubah dan “dilahirkan semula” dengan lebih baik?