Perdana Menteri perlu menerangkan bagaimanakah kerajaan Perikatan Nasional ini boleh dipercayai jika pihak Polis tidak mampu mengambil tindakan terhadap seorang Menteri yang melanggar SOP kuarantin Covid-19?

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah telah menasihatkan rakyat Malaysia untuk melaporkan sebarang pelanggaran SOP kuarantin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menerangkan bagaimana kerajaan Perikatan Nasional ini boleh dipercayai jika pihak Polis tidak mampu mengambil tindakan terhadap seorang Menteri yang melanggar SOP kuarantin Covid-19?

Muhyiddin kini mendakwa yang pemerintahan beliau telah melepasi ujian terbesarnya dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Beliau mengatakan yang krisis seperti ini tidak pernah berlaku lagi dalam negara kita mahupun di serata dunia, tetapi dengan kecekalan kerajaan, sokongan petugas barisan hadapan, penjawat awam, dan sukarelawan, berserta dengan disiplin rakyat, negara kita berjaya menghadapi cabaran ini.

Saya tidak bersetuju. Wabak Covid-19 ini telah memberikan ruang kepada kerajaan Muhyiddin untuk menyorokkan kelemahan dan perbalahan dalamannya, kerana kebanyakkan rakyat Malaysia menyokong usaha kerajaan untuk melawan bencana ini.

Kerajaan Muhyiddin pada mulanya telah tersilap dalam mengendalikan wabak ini, sehingga berlakunya gelombang kedua wabak ini yang memuncak pada 3 April.

Jika tidak kerana Langkah Sheraton, tidak sepatutnya terjadi gelombang kedua ini dan tidak perlulah kawalan pergerakan di seluruh negara.

Kita bernasib baik kerana berjaya mengekang penularan gelombang kedua wabak Covid-19 ini, walaupun seperti kebanyakkan negara di seluruh dunia, kita harus sentiasa bersedia untuk sebarang penularan semula wabak ini -- kejadian gelombang kedua untuk kebanyakkan negara, tetapi satu gelombang ketiga untuk Malaysia.

Thailand merupakan negara pertama di luar China yang melaporkan jangkitan Covid-19 pada bulan Januari tahun ini. Negara tersebut telah mencatatkan 3,497 jangkitan dengan 58 kematian berbanding dengan angka 10,147 kes dan 129 kematian di Malaysia.

Negara kita telah melepasi tahap 10,000 jumlah kes jangkitan terkumpul pada Hari Malaysia, 16 September -- satu rekod baharu yang tidak patut dibanggakan.

Dengan jumlah penduduk yang lebih kecil, kita seharusnya mempunyai rekod yang lebih baik berbanding dengan Thailand.

Semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac 2020, terdapat sejumlah 118,000 kes Covid-19 di 114 buah negara, dengan sejumlah 4,291 nyawa terkorban.

Kini, selepas lebih daripada enam bulan kemudian, jumlah peningkatan harian kes Covid-19 berada di tahap lebih daripada dua kali ganda jumlah kes terkumpul pada 11 Mac, dengan jumlah kes terkumpul setakat hari ini berada pada tahap 30,682,305 kes dan 955,655 kematian -- 260 dan 230 kali ganda jumlah kes terkumpul dan jumlah kematian terkumpul pada 11 Mac.

Lima negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi pada hari ini kelihatan sangat berbeza dengan lima negara teratas pada 11 Mac, negara-negara tersebut adalah:

  1. Amerika Syarikat - 6,921,034 kes - 203,106 kematian
  2. India - 5,305,475 kes - 85,625 kematian
  3. Brazil - 4,497,434 kes - 135,857 kematian
  4. Rusia - 1,091,186 kes - 19,195 kematian
  5. Colombia - 750,471 kes - 23,850 kematian

China tidak lagi berada dalam kalangan negara dengan jumlah tertinggi Covid-19, kini berada di tempat ke 41 dalam senarai ini.

Malaysia tidak boleh bereaksi dengan terlalu keras, tetapi pada dalam masa yang sama perlu sentiasa berjaga-jaga dengan wabak ini.

Tetapi, kerajaan perlu berhenti mengamalkan sikap pilih kasihnya dalam menguatkuasakan SOP Covid-19 ini, kerana kita tidak boleh mempunyai undang-undang yang berbeza untuk para menteri dan rakyat biasa.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri