Adakah Bung Moktar menentang prinsip Rukun Negara dalam kempen pilihan rayanya apabila bila mempersoalkan slogan “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti” yang digunakan dalam papan tanda kempen Shafie Apdal?
Saya terkejut dengan tindakan Pengerusi UMNO Sabah yang berhasrat untuk menjadi calon Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin, yang membantah penggunaan slogan “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti” yang digunakan pada papan tanda kempen Shafie Apdal.
Perkara ini amat mengecewakan dan tragis, terutamanya apabila kita baru sahaja meraikan sambutan Jubli Emas Rukun Negara sebagai asas pembinaan negara bangsa untuk Sabah dan Malaysia.
Jika Kerajaan Malaysia benar-benar mengikuti kelima-lima prinsip Rukun Negara ini sebagai asas pembinaan negara bangsa, Sabah tidak akan terus didiskriminasikan sehingga berlakunya kejadian di mana salah satu negeri yang terkaya di Malaysia mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi dalam negara kita -- di mana kadar kemiskinan di Sabah mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan!
Prinsip-prinsip Rukun Negara ini mengajar rakyat Malaysia untuk percaya kepada Tuhan, untuk setia kepada Raja dan Negara, mehormati keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, serta untuk bersopan dan bertatasusila.
Jika kelima-lima prinsip ini dijunjung oleh semua rakyat Malaysia dan juga kerajaan, baik sama ada kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, pastinya akan terdapat perpaduan negara, keharmonian antara kaum dan agama, pentadbiran yang baik dan tidak korup, dan negara kita akan terus maju cemerlang dalam misi kita untuk menjadi negara berkelas dunia dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia.
Setakat ini, mereka yang menentang prinsip-prinsip Rukun Negara ini hanya berbuat demikian secara tersorok, mengelakkan sebarang perhatian awam mengenai pendirian mereka ini.
Namun, para penentang prinsip Rukun Negara ini semakin hari semakin lantang dan terbuka dalam penolakan mereka terhadap prinsip-prinsip ini, seperti yang disaksikan melalui tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terpaksa mengelakkan dirinya daripada menjawab persoalan saya, sama ada kesemua Menteri Kabinet beliau menerima dan menjunjung kelima-lima prinsip Rukun Negara ini sebagai asas pembinaan sebuah negara bangsa.
Pilihan Raya Negeri Sabah ini adalah pilihan raya pertama dalam negara kita di mana seorang calon yang juga merupakan Pengerusi UMNO Sabah, yang bercita-cita untuk menjadi Ketua Menteri Sabah, secara terang-terangan menentang prinsip Rukun Negara dengan mempersoalkan slogan “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti” yang digunakan oleh Shafie Apdal.
Adakah tindakan Bung Moktar dalam mempertikaikan Rukun Negara ini disokong oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dan semua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO serta Barisan Nasional?
Apakah yang boleh dijangkakan oleh rakyat Sabah daripada UMNO Sabah dan BN apabila mereka secara terang-terangan menentang slogan “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti”?
Adakah rakyat Sabah bakal melihat sebuah Sabah dan Malaysia tanpa Tuhan yang berpecah belah jika Bung Moktar menjadi Ketua Menteri pada 26 September ini?