Pilihan Raya Negeri Sabah -- pilihan raya teraneh dalam sejarah Malaysia

Pilihan Raya Negeri Sabah semasa adalah pilihan raya yang teraneh dalam sejarah negara kita.

Pertamanya kerana mempunyai jumlah calon yang tertinggi, dengan 447 calon bertanding untuk 73 kerusi, dengan satu kerusi yang menyaksikan pertembungan 11 dan 10 penjuru, tiga kerusi dengan pertembungan sembilan penjuru, lima kerusi dengan pertembungan lapan penjuru, 13 kerusi dengan pertembungan tujuh penjuru, 26 kerusi dengan pertembungan enam penjuru, dan 15 kerusi dengan petermbungan lima penjuru.

Kedua, pilihan raya ini menyaksikan penyertaan tertinggi daripada golongan katak politik, yang menantikan saat untuk menyerlah dan menawarkan diri mereka kepada mana-mana pembida tertinggi jika keputusan pilihan raya ini tidak memberikan majoriti yang jelas kepada mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan negeri.

Ketiga, kumpulan pembangkang yang tidak tersusun melawan Warisan Plus yang mempunyai program yang jelas, bukan sahaja untuk memenangi majoriti daripada 73 kerusi ini, tetapi dua-pertiga daripada kesemua kerusi untuk menjamin kestabilan politik di Sabah. Sedangkan pihak pembangkang di Sabah tidak mampu untuk membezakan di antara kawan dengan lawan, gagal untuk bersetuju dengan manifesto Aku Janji mereka, malah, tidak dapat bersetuju mengenai calon Ketua Menteri mereka. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Datuk Hajiji Noor untuk menjadi calon Ketua Menteri Sabah mereka tetapi UMNO dan PBS tidak bersetuju. Bung Moktar daripada UMNO Sabah sendiri berharap untuk menjadi calon Ketua Menteri mereka manakala PBS masih lagi berahsia mengenai calon Ketua Menteri mereka.

Keempat, dalam PRN Sabah ini, kita dapat lihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang paling kuat berkempen berbanding dengan mana-mana pemimpin pembangkang yang lain, seakan-akan masa depan politik beliau bergantung kepada keputusan pilihan raya ini sedangkan beliau tidak mempunyai impak yang besar kepada pilihan raya ini.

Kelima, isu yang telah dilupakan selama empat puluh ke lima puluh tahun telah dibangkitkan semula, seperti MA63 dan Batu Sumpah Keningau, di mana buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang Perdana Menteri Malaysia memberi penghormatan terhadap Batu Sumpah Keningau ini. Namun, adakah Muhyiddin akan membawa intipati dan tiga janji-janji Batu Sumpah Keningau -- “Ugama Bebas Dalam Sabah”, “Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah” dan “Adat Istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan” -- ini ke dalam Parlimen bersama dengan satu usul yang mengisytiharkan pengiktirafan dan pengotaan janji-janji ini oleh pihak kerajaan?

Keenam, kita ada seorang ahli politik yang beraspirasi untuk menjadi Ketua Menteri Sabah, sedangkan beliau sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan rasuah, di mahkamah yang sama dengan seorang pemimpin negara kita sedang memegang rekod berhadapan dengan jumlah tuduhan rasuah terbanyak, yang mempunyai moraliti yang boleh diringkaskan dengan tiga perkataan: “Malu Apa Bossku?”. Inilah Aku Janji sebenar pihak pembangkang Sabah.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri