Pilihan berada di tangan pengundi Sabah, di antara Shafie Apdal kekal sebagai Ketua Menteri, ataupun Hajiji atau Bung Moktar menjadi Ketua Menteri, ataupun ketidakstabilan politik dan huru-hara di mana katak politik akan menawarkan diri mereka kepada pembida tertinggi

Rakyat Sabah perlu membuat pilihan pada 26 September ini, sama ada mereka mahu Shafie Apdal untuk menyambung mandat beliau sebagai Ketua Menteri Sabah, ataupun sama ada mereka mahu melihat Hajiji Noor atau Bung Moktar menjadi Ketua Menteri, ataupun situasi lain yang sama buruk dengan ketidakstabilan politik, di mana katak politik menawarkan diri mereka kepada pembida tertinggi.

Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin menegaskan hari ini yang UMNO dan BN telah berubah dan kini komited terhadap pentadbiran yang lebih adil, telus, dan boleh dipercayai untuk mengotakan janji-janjinya kepada rakyat.

Semasa pelancaran manifesto Aku Janji gabungan parti politik beliau, beliau mengatakan yang UMNO Sabah dan BN telah berubah, daripada segi pimpinan, keterampilan, dan organisasinya.

Beliau berkata: “Kenapa kami berubah? Kerana kami mahu menawan hati rakyat dan meyakinkan rakyat untuk menyokong kami.”

Beliau mengatakan yang Aku Janji ini akan dikotakan 100 peratus.

Tetapi, adakah UMNO Sabah dan BN telah berubah? Apakah perbezaan Aku Janji mereka ini dengan janji-janji yang mula dibuat UMNO apabila mereka bertanding buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum di Sabah pada tahun 1994?

Mari kita semak semula janji-janji Sabah Baharu yang dibuat UMNO pada Pilihan Raya Umum 1994.

Pertamanya, UMNO menjanjikan untuk menurunkan kadar kemiskinan di Sabah daripada 33 peratus pada tahun 1994 kepada sifar menjelang tahun 2000.

Sabah adalah salah satu negeri terkaya dalam negara kita, namun selepas lebih daripada setengah abad berada di dalam Malaysia, rakyat Sabah masih berada dalam kalangan golongan termiskin di dalam negara kita, senasib dengan rakyat Kelantan. Ini bukan kemajuan, tetapi kemunduran.

Tahun 2000 telah datang dan pergi, tetapi kadar kemiskinan di Sabah kekal sebagai antara yang tertinggi dalam negara.

Janji untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah kepada sifar ini telah diperbaharui oleh UMNO di bawah pimpinan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Badawi, tetapi tahun sasarannya telah diubah kepada 2010.

Tahun 2010 juga telah datang dan pergi, malah kita sekarang berada pada tahun 2020 dan sasaran sifar kadar kemiskinan di Sabah masih tinggal angan-angan, sedangkan kadar kemiskinan di Sabah masih lagi merupakan antara yang tertinggi dalam negara.

Kedua, pada tahun 1994, UMNO menjanjikan untuk menghapuskan kadar buta huruf kepada sifar pada tahun 2000, namun seperti penghapusan kadar kemiskinan, tahun 2000 dan 2010 telah datang dan pergi dan kita kini berada di dalam tahun 2020 dan objektif ini masih kekal sebagai satu angan-angan.

Ketiga, pada tahun 1994, UMNO berjanji untuk menghapuskan rasuah di Sabah. Perkara ini juga kekal sebagai angan-angan. Malah, Sabah adalah salah sebuah negeri yang mempunyai masalah rasuah yang teruk, di mana pemimpin politik yang korup dilihat seakan-akan kebal daripada pendakwaan.

Keempat, pada tahun 1994, UMNO menjanjikan untuk memberikan setiap rakyat Sabah sebuah rumah menjelang tahun 2000. Mari kita tanyakan rakyat Sabah, sama ada setiap seorang mereka telah menerima sebuah rumah daripada kerajaan yang dipimpin UMNO, pastinya jawapannya tidak.

Kelima, pada tahun 1994, UMNO telah menjanjikan untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah. Kini, 26 tahun selepas janji ini, masalah pendatang tanpa izin kekal sebagai satu masalah yang rumit dan sukar diselesaikan. Sudah ada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah ini, namun, perkara ini masih kelihatan jauh daripada penyudahannya.

UMNO telah mengingkari setiap satu daripada janji yang dibuatnya apabila Parti tersebut mula bertanding di Sabah pada PRU 1994. Bolehkah Bung Moktar menjelaskan bagaimana UMNO dan BN hari ini telah berubah?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri