Seruan kepada semua pengundi di Sabah untuk menghargai setiap undi mereka -- kerana undian ini adalah untuk menggerakkan angin perubahan di Sabah dan Malaysia

Sabah telah mencatatkan rekod baharu dengan mempunyai lebih daripada 447 calon daripada 16 parti politik dan 56 calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-16.

Terdapat pertembungan lebih dua penjuru di semua kerusi, pertembungan terendah adalah tiga penjuru, dan yang tertinggi dengan 11 calon bertembung untuk mendapatkan kerusi Bengkoka di Kudat.

Selain itu, terdapat 15 pertembungan lima penjuru, 26 pertembungan enam penjuru, 13 pertembungan tujuh penjuru, enam pertembungan lapan penjuru, dan tiga pertembungan sembilan penjuru.

Ini bukan sahaja rekod baharu untuk Malaysia, tetapi mungkin juga rekod baharu dunia dan Sabah mungkin layak untuk menyertai Guinness Book of Records walaupun perkara ini bukanlah sesuatu untuk dibanggakan.

Apakah tujuan jumlah calon yang memecahkan “rekod” dalam PRN Sabah ini?

Objektifnya jelas. Pembiaya kejadian ini cuba untuk memecah-belahkan undi dalam PRN Sabah ini pada 26 September, supaya tidak ada mana-mana parti mahupun pakatan yang boleh menubuhkan kerajaan, langsung memberikan peluang kepada “katak-katak” politik ini untuk mendapatkan harga tertinggi bagi sokongan mereka.

Dalam senario seperti ini, Sabah akan terjerumus ke dalam satu tempoh ketidakstabilan, ketidaktentuan, dan kucar-kacir, yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada kepentingan dan hak rakyat Sabah.

Situasi ini akan memberikan peluang kepada katak-katak politik dan tuan mereka yang akan mencuba untuk menentukan masa depan rakyat Sabah, dan bukannya rakyat Sabah sendiri.

Oleh itu, amatlah penting untuk semua pengundi di Sabah menghargai setiap satu undi mereka dan tidak membazirkan undi ini, kerana undian bukan sahaja untuk diri mereka, tetapi juga untuk generasi anak dan cucu mereka yang akan datang.

Kita tidak boleh memperjudikan masa depan dan hak anak dan cucu kita.

Saya kini hampir mencecah 80 tahun, dan saya juga berasa kecewa dan putus asa dalam bulan Februari tahun ini, apabila mandat lima tahun Pakatan Harapan yang berteraskan integriti, reformasi institusi, keadilan, dan kemakmuran untuk semua dirampas hanya selepas 22 bulan.

Saya juga berkongsi perasaan pesimis ramai rakyat Malaysia yang merasakan masa depan negara kita gelap.

Saya juga tertanya, adakah usaha perjuangan politik saya selama 55 tahun untuk integriti, kebebasan, keadilan, dan perpaduan di Malaysia telah menjadi sia-sia?

Adakah kita semua telah gagal dalam usaha kita untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal, sebuah kleptokrasi, sebuah kakistokrasi?

Tetapi, mampukah kita untuk berputus asa dan melupakan masa depan anak dan cucu kita?

Perkara ini memberikan saya semangat dan harapan untuk masa depan negara. Jika kita boleh menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang kelihatan kebal dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, saya pasti kita mampu mengembalikan semula mandat berteraskan integriti, perpaduan, kebebasan, keadilan, dan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia yang dirampas oleh kerajaan pintu belakang “Langkah Sheraton” pada bulan Februari awal tahun ini.

Jika kita dapat memastikan yang Warisan Plus tidak sahaja menang di Sabah untuk menubuhkan kerajaan, tetapi menang dengan majoriti dua-pertiga untuk menghentikan budaya “lompat katak” dan membawa era kestabilan politik di Sabah, perkara ini akan membawa angin perubahan, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di keseluruhan Malaysia.

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah akan menjadi penentu hasil Pilihan Raya Umum ke-15, di mana mandat untuk perubahan, integriti awam, reformasi institusi, keadilan, dan kebebasan untuk semua rakyat Malaysia yang diberikan pada PRU14 dapat dikembalikan dan bakal menjadi agenda kerajaan persekutuan baharu di Malaysia.

Perikatan Nasional yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Hajiji Noor untuk menjadi Ketua Menteri baharu Sabah selepas pilihan raya. Barisan Nasional tidak bersetuju tetapi Presiden BN, Ahmad Zahid Hamidi tidak berani untuk mengumumkan hasrat mereka untuk melihat Bung Moktar Radin sebagai calon Ketua Menteri mereka.

Marilah para pengundi Sabah, undi supaya Shafie Apdal dapat terus menjadi Ketua Menteri Sabah pada 26 September ini!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri