Adakah Muktamar Tahunan PAS ke-66 akan melupakan pengingkaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin jika beliau tidak mendermakan RM50,000 kepada partinya?

Adakah Muktamar Tahunan PAS yang ke-66 ini akan melupakan pengingkaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali sejurus selepas pulang dari Turki pada 7 Julai jika beliau tidak mendermakan RM50,000 kepada partinya?

Inilah persoalan yang berlegar dalam fikiran ramai orang.

Sumbangan Khairuddin diumumkan oleh Pengerusi Tetap Muktamar Husin Ismail selepas ucapan daripada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Penganalisa politik telah menjangkakan yang muktamar PAS ini akan berbincang mengenai episod Khairuddin ini berserta dengan prestasi menteri-menteri PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional setakat ini, memandangkan rakyat tidak mempunyai keyakinan dengan kebolehan menteri-menteri PAS di dalam Kabinet, di mana para menteri dan timbalan menteri UMNO dilihat sebagai mempunyai prestasi yang lebih baik.

Tetapi, tidak ada sesiapa pun yang membangkitkan isu Khairuddin ini.

Satu lagi persoalan yang berlegar dalam fikiran ramai orang adalah kenapa pihak berkuasa memerlukan tempoh masa yang sebegitu lama untuk melengkapkan siasatan mereka terhadap pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 yang dilakukan oleh Khairuddin?

Dua minggu yang lepas, pihak Polis mengumumkan yang mereka menjangkakan siasatan kes Khairuddin ini akan selesai dalam masa terdekat, dengan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengatakan yang pihak Polis akan menyerahkan dapatan siasatan mereka ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa yang terdekat.

Pelanggaran SOP kuarantin oleh Khairuddin ini berlaku lebih daripada dua bulan yang lalu pada 7 Julai semasa beliau pulang bersama dengan keluarganya dari Turki. Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan perkara ini di Parlimen pada 18 Ogos.

Berapa lama lagikah yang diperlukan oleh pihak berkuasa sebelum tindakan boleh diambil terhadap Khairuddin?

Terdapat beberapa kepincangan besar dalam isu Khairuddin ini, yang kini menjadi contoh layanan berbeza terhadap rakyat biasa dan golongan VIP oleh kerajaan Muhyiddin.

Pada 19 Ogos, Kementerian Kesihatan mengatakan yang mereka sedang menyiasat dakwaan yang Khairuddin telah mengingkari perintah kuarantin.

Namun begitu, tiga hari kemudian, pada 22 Ogos, Kementerian Kesihatan mengeluarkan satu kenyataan mengatakan yang Khairuddin telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos.

Sehingga hari ini, masih tidak ada sebarang jawapan sama ada kompaun ini dikenakan selepas daripada tarikh 7 Ogos, mahupun mengenai bila RM1,000 ini dibayar.

Walaupun Khairuddin telah memohon maaf dan berjanji untuk mendermakan gaji menteri beliau daripada bulan Mac sehingga Ogos kepada Tabung Covid-19, keikhlasan permohonan maaf beliau ini dipersoalkan apabila beliau mengatakan yang beliau tidak berbuat apa-apa kesalahan berkenaan dengan jawatan beliau.

Beliau berkata: “Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan berkaitan dengan tugas saya, perkara ini hanyalah berkaitan dengan kesilapan mengenai SOP.”

Kenyataan ini menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian Khairuddin untuk menjadi seorang Menteri dalam sebuah kerajaan yang sedang melawan wabak Covid-19.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus telah menyatakan kebimbangan beliau mengenai kegagalan kepimpinan negara dalam melawan wabak Covid-19. Beliau mengatakan:

“Kami seru para pemimpin semua negara untuk menggerakkan rancangan mereka, mengatur setiap bahagian kerajaan, bukan sahaja kementerian kesihatan -- tetapi juga keselamatan, diplomasi, kewangan, perdagangan, pengangkutan, perniagaan, informasi, dan lain-lain -- keseluruhan kerajaan perlu dilibatkan.”

Beliau juga berkata: “Kami berasa bimbang dengan tahap komitmen politik di sesetengah negara dan tindakan yang menunjukkan yang komitmen ini tidak mencapai tahap ancaman yang kita sedang hadapi: Perkara ini BUKANLAH satu latihan, sekarang BUKANLAH masanya untuk berputus asa, dan BUKAN masanya untuk alasan. Sekarang adalah masa untuk usaha menyeluruh!”

Adakah Menteri PAS ini memahami kebimbangan Dr Tedros?

Khairuddin mengingatkan saya kepada Eropah dalam Zaman Pertengahan, di mana seseorang boleh melepaskan dirinya daripada dosa dan melarikan diri daripada neraka dengan pembelian “indulgences”.

Adakah kita sudah kembali ke Zaman Pertengahan Eropah?

Khairuddin perlu dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat memandangkan beliau telah menghadiri beberapa sidang Parlimen semasa melanggar SOP kuarantin Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri