Tahniah Veveonah -- daripada dikenali sebagai gadis yang menduduki peperiksaan di atas pokok kepada pelajar tajaan biasiswa UMS dan kemudiannya dapat makan malam dengan Perdana Menteri, tetapi adakah Muhyiddin telah menjanjikan tindakan yang lebih pantas untuk merapatkan jurang digital di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia?

Saya ucapkan tahniah kepada gadis berusia 18 tahun yang berani daripada Pitas, yang sebelum ini dikenali dengan pengalaman beliau menduduki peperiksaan di atas pokok, dan kemudiannya menjadi pelajar tajaan biasiswa di UMS, dan kemudiannya berpeluang untuk makan malam bersama dengan Perdana Menteri.

Tetapi, adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan tindakan yang lebih pantas berserta dengan lebih banyak peruntukan dana untuk merapatkan jurang digital yang dihadapi oleh penduduk di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia supaya insiden berada di atas pokok selama 24 jam untuk menduduki peperiksaan ini tidak perlu diulangi oleh mana-mana anak muda dalam negara kita?

Episod Veveonah ini adalah pembuka tirai yang paling berpatutan untuk Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, kerana perkara ini menunjukkan taraf kehidupan harian yang perit yang dihadapi oleh rakyat Sabah, setengah abad selepas pembentukan Malaysia -- mengapakah rakyat Sabah terlalu miskin dan ketinggalan dari segi infrastruktur sosio-ekonomi dan pembangunan, sedangkan Sabah adalah antara negeri terkaya dalam negara kita!

Iltizam dan keberanian Veveonah, berserta dengan perhatian yang diberikan oleh netizen terhadap video Youtube beliau yang merakamkan pengalaman beliau berada di atas pokok selama 24 jam untuk mendapatkan sambungan internet yang baik bagi membolehkan beliau menduduki satu peperiksaan atas talian ini telah ditonton lebih daripada 810,000 kali dan semestinya menjadi inspirasi kepada para belia dalam negara kita.

Veveonah memang sepatutnya mendapat perhatian di seluruh negara, malah di peringkat antarabangsa sekalipun, namun rakyat Sabah dan Malaysia berasa kecewa dengan Perdana Menteri dan Kabinet kerana tidak bertindak dengan mengumumkan sebarang program khas untuk merapatkan jurang digital di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

Apa yang lebih mengecewakan adalah apabila terdapat dua orang timbalan menteri yang telah menuduh Veveonah sebagai menipu mengenai pengalaman beliau menjawab peperiksaan di atas pokok, dan mereka ini dapat melepaskan diri daripada menerima sebarang hukuman yang setimpal dengan tindakan mereka -- seorang timbalan menteri ini hanya perlu memohon maaf di dalam Dewan Negara manakala seorang lagi timbalan menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat pula dilupakan begitu sahaja.

Muhyiddin tidak berani mendisiplinkan kedua timbalan menteri ini kerana bimbang yang beliau akan hilang kedudukannya sebagai Perdana Menteri, yang akan berlaku sekiranya kerajaan pintu belakang “Langkah Sheraton” -- sebuah kerajaan yang amat rapuh -- ini tumbang.

Kerapuhan kerajaan ini juga menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang terlemah dalam sejarah negara, di mana Menteri tidak berani mendisiplinkan timbalan mereka kerana mereka datang daripada parti yang berlainan, dan di mana Perdana Menteri juga tidak berani mendisiplinkan timbalan-timbalan menterinya kerana bimbang mengenai kelangsungan kerajaan beliau.

Muhyiddin boleh mencuba untuk meredakan seorang Veveonah Mosibin, tetapi apa yang mahu dilihat oleh Veveonah dan seluruh rakyat Malaysia adalah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh beliau dan ramai lagi di seluruh negara -- masalah jurang digital yang terlalu luas dalam negara kita.

Adakah Muhyiddin bersedia untuk memberikan penyelesaian ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri