Hapuskan “katak” dan budaya buruk “melompat parti” di Sabah untuk membawa era baharu politik jujur

Tidak pernah berlaku dalam sejarah lima dekad yang lepas, terdapat sebegitu ramai calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri -- seramai 447 calon yang bertanding di 73 kerusi, dengan satu kerusi yang berhadapan dengan persaingan 11 penjuru, satu kerusi dengan 10 penjuru, tiga kerusi dengan sembilan penjuru, lima kerusi dengan lapan penjuru, 13 kerusi dengan persaingan tujuh penjuru, 26 kerusi dengan enam penjuru, dan 15 kerusi dengan persaingan lima penjuru.

Tetapi di Sabah, bukan individu sahaja yang boleh menjadi katak politik, tetapi juga parti politik.

Memang benar, PRN ini adalah peluang untuk semua bertanding, tetapi perkara ini juga menonjolkan apa yang perlu menjadi objektif utama PRN Sabah 2020 ini -- untuk menghapuskan “katak politik” sama ada dalam bentuk individu mahupun parti politik dan juga politik kotor “melompat parti” di Sabah dan Malaysia, serta untuk membawa era baharu politik berasaskan iltizam dan kejujuran.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan yang jika pihak gabungan pembangkang di negeri tersebut menang dan bersetuju, Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor akan menjadi Ketua Menteri Sabah.

Namun perkara ini pantas disanggah oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas sekali, kedua-dua Perikatan Nasional dan Barisan Nasional tidak mempunyai calon Ketua Menteri Sabah yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, tidak seperti gabungan Warisan-Plus yang memberikan sokongan yang jelas dan padu kepada Shafie Apdal untuk terus menjadi Ketua Menteri.

Bagaimanakah boleh terdapat perbalahan lagi dalam kalangan Perikatan Nasional, BN, dan PBS dalam PRN Sabah yang membawa kepada pelanggaran perjanjian yang dipersetujui pada hari Khamis lepas yang kemudiannya meningkatkan jumlah pertembungan daripada 11 kerusi kepada 17 kerusi?

Persoalan utamanya adalah, adakah budaya “katak” politik di Sabah dan Malaysia ini dapat dihapuskan menjelang pilihan raya negeri Sabah yang bakal berlangsung pada 26 September ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri