Episod 24 jam di atas pokok Veveonah telah memberikan pendedahan kepada pentadbiran kakistokrasi Muhyiddin yang kucar-kacir, di mana tidak ada pemahaman terhadap konsep tanggungjawab bersama Kabinet dan di mana tidak ada Menteri yang berani mendisiplinkan timbalannya
Episod 24 jam di atas pokok yang dilalui oleh Veveonah ini telah memberikan kita peluang untuk melihat ke dalam pentadbiran kakistokrasi kerajaan Muhyiddin yang kucar-kacir, di mana tidak ada pemahaman konsep tanggungjawab bersama dalam Kabinet dan di mana tidak ada seorang pun Menteri yang berani mendisiplinkan timabalannya.
Inilah hasil pembentukan kerajaan pintu belakang yang oportunis dan tidak bertanggungjawab, yang dibentuk semata-mata untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dan mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, di mana rakyat mengundi untuk perubahan dan reformasi.
Seluruh negara seharusnya berbangga dengan kejayaan seorang pelajar yang berusia 18 tahun dari Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah, yang berjaya mengetengahkan isu jurang digital di Sabah, Sarawak, dan seluruh Malaysia (satu masalah yang dihadapi di seluruh dunia dan harus diselesaikan oleh kerajaan) melalui saluran Youtube beliau yang kini telah mencatatkan lebih daripada 790,000 tontonan.
Disebaliknya, apa yang kita dapat adalah satu komedi tragis yang penuh dengan ketidak-jujuran dan penipuan daripada dua orang timbalan menteri, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin di dalam Dewan Negara telah menuduh Veveonah Mosibin menipu di dalam video mengenai pengalaman beliau menduduki peperiksaan atas talian di atas pokok bagi mendapatkan sambungan internet yang baik, dan perkara ini kemudiannya disokong oleh Timbalan Menteri Kewangan yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat yang mengulangi tuduhan tidak ini di laman Facebook beliau.
Abdul Rahim kemudiannya memadan catatan Facebook ini apabila abang kepada Veveonah, Mekvin, yang mempertahankan adiknya -- menunjukkan yang Timbalan Menteri Kewangan ini tidak mampu mempertahankan pendirian beliau.
Namun, isu yang paling besar sekali adalah ciapan daripada Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang mengatakan Kabinet telah “mengambil maklum” kenyataan kedua timbalan menteri tersebut dan bersetuju yang ianya tidak tepat dan tidak patut dikeluarkan, sedangkan isu yang patut dibincangkan adalah akses internet dan infrastruktur asas, terutamanya di kawasan pedalaman.
Tiada sebarang hukuman setimpal, hanya “ambil maklum”? Lemah sungguh Kabinet ini!
Apa yang kita jangkakan daripada seorang Ahli Parlimen yang telah berkhidmat selama tiga penggal sebagai timbalan kepada seorang Menteri Kewangan yang tidak diundi, dan seorang timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia daripada UMNO yang melihat Menteri beliau sebagai seorang pengkhianat kepada perjuangan UMNO?
Perkara ini telah memberikan satu peluang untuk kita melihat ke dalam pentadbiran kucar-kacir kakistokrasi Muhyiddin, yang buat pertamanya kalinya dalam sejarah, terpaksa membincangkan salah laku timbalan-timbalan menterinya.
Inilah hasilnya apabila kerajaan ditubuhkan oleh satu gabungan oportunis dan dipimpin oleh Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah negara, di mana tidak ada pemahaman konsep tanggungjawab bersama dalam Kabinet di mana tidak ada seorang pun menterinya berani untuk mendisiplinkan timbalannya sendiri.
Kerana inilah seorang Menteri Kabinet boleh mengingkari SOP Kuarantin Covid-19 sejurus selepas pulang daripada satu lawatan ke Turki pada 7 Julai, dan kemudiannya boleh terus meneruskan kehidupan seakan-akan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana tidak ada mana-mana menteri lain yang berani membangkitkan isu ini kerana risau kerajaan mereka akan tumbang.
Hanya tindakan melampau dua orang timbalan menteri ini sahaja yang pernah dibincangkan oleh Kabinet, itupun tanpa sebarang tindakan disiplin, hanya kenyataan yang mengatakan perbuatan mereka ini “tidak tepat dan tidak patut”.
Setiausaha Agung Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin mengatakan PN adalah singkatan kepada “Penyelamat Negara”. Saya tidak percaya yang menteri dan pemimpin PN bersetuju, saya pasti mereka sedar secara dalaman yang PN adalah singkatan kepada “Pengkhianat Negara”!