Tahniah kepada Veveonah kerana menjadi topik perbincangan mesyuarat Kabinet -- malang sekali, tumpuan Kabinet bukanlah untuk membincangkan hal berkaitan kesusahan beliau menjawab peperiksaan mahupun mengenai masalah jurang digital di Sabah dan seluruh Malaysia, tetapi kelakuan dua orang timbalan menteri yang tidak dapat didisiplinkan oleh Perdana Menteri

Tahniah kepada pelajar 18 tahun daripada Pitas, Veveonah Mosibin kerana telah berjaya menjadi topik perbincangan mesyuarat Kabinet. Namun amatlah malang sekali apabila mesyuarat ini berkisarkan lebih kepada tindak laku dua orang timbalan menteri yang tidak mampu didisiplinkan oleh Perdana Menteri yang terlalu lemah dan bukannya mengenai pengalaman beliau berada di atas pokok selama 24 jam untuk menduduki peperiksaan ataupun mengenai jurang digital yang dihadapi oleh rakyat di Sabah dan seluruh Malaysia.

Dalam satu ciapan di laman Twitter tengahari tadi, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengatakan yang kabinet telah membincangkan isu mengenai pelajar daripada Sabah, Veveonah Mosibin, dan mesyuarat kabinet bersetuju yang kenyataan daripada dua timbalan menteri, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri adalah tidak tepat dan tidak patut dikeluarkan.

Adakah “menerima maklum” sahaja yang mampu dilakukan oleh Kabinet Muhyiddin apabila berhadapan dengan perbuatan tidak sopan dua timbalan menteri mereka yang telah menipu secara terang-terangan mengenai insiden ini, malah seorang timbalan menteri ini menipu di dalam Dewan Negara.

Adakah ini “norma baharu” di Malaysia dalam era Covid-19, di mana menteri dan timbalan menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak benar tanpa perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan-kenyataan tersebut?

Tindakan Kabinet yang “mengambil maklum” mengenai kejadian ini hanya menguatkan lagi kes untuk merujuk Zahidi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara atas kesalahan menyalahgunakan hak dan kebebasan yang diberikan.

Adakah kerajaan kini akan menyokong usul untuk merujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara, atau adakah kerajaan akan terus menafikan keadilan dalam insiden Veveonah ini dengan menghalang usul merujuk Zahidi ini?

Dalam tempoh beberapa hari yang lepas, rakyat Malaysia telah dihiburkan dengan komedi kesilapan dua orang timbalan menteri ini.

Agak mengejutkan apabila insiden Veveonah ini memerangkap dan mendedahkan betapa terputusnya dua timbalan menteri ini daripada realiti kehidupan seharian rakyat, terutamanya dengan golongan muda.

Selain daripada mengatakan Timbalan Menteri Kewangan yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat sebagai sumber maklumat beliau, Zahidi masih belum menjelaskan tindakan beliau dalam beberapa hari yang lepas, yang dimulakan dengan menuduh Veveonah menipu mengenai pengalaman 24 jam di atas pokok beliau untuk mendapatkan sambungan internet bagi menduduki peperiksaan atas talian; yang disusuli dengan penarikan semula tuduhan beliau pada hari yang sama; dan kemudiannya tuduhan yang sama diulangi pada hari Isnin, dengan mengatakan yang beliau mendapat maklumat daripada Timbalan Menteri Kewangan.

Manakala, Abdul Rahim Bakri pula menulis di laman Facebook beliau dengan mengulangi semula penipuan ini bersama dengan satu laporan daripada seorang ketua kampung tempatan yang mendakwa Veveonah tidak tinggal di sebuah kampung pedalaman di Pitas. Seorang “dekan” Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tidak dinamakan juga telah mempertikaikan kewujudan peperiksaan atas talian semasa insiden ini berlaku.

Siapakah “dekan” UMS ini dan mengapakah beliau menyorokkan identiti beliau?

Abang Veveonah, Mekvin Mosibin, dalam catatan laman Facebook beliau untuk mempertahankan tindakan adiknya yang memuat naik video beliau memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik untuk menduduki peperiksaan atas talian, telah mengkritik Zahidi dan menjemput Zahidi untuk melawat kampung mereka.

“Cuba datang melawat kampung hulu, mari, mari. Tapi jangan pilih kampung tertentu sahaja, lawat seluruh kawasan. Kawasan paling hulu sekali.

“Cuba rasa bagaimana pengalaman melayari internet di kawasan pedalaman.

“Dan ini baru saja internet. Kita belum masuk hal air, elektrik, jalan lagi.”

Berkata mengenai cubaan Abdul Rahim untuk mencemarkan nama baik Veveonah, Mekvin mengatakan yang Ahli Parlimen Kudat tersebut jarang sekali dilihat di Pitas dan beliau mencadangkan supaya Abdul Rahim lebih kerap turun ke lapangan.

Mengenai dakwaan yang keluarga Mosibin tidak lagi tinggal di kampung yang sama, Mekvin mengakui yang perkara tersebut adalah benar dan beliau mendakwa yang mereka telah “dihalau” oleh ketua kampung yang sama yang telah memberikan maklumat itu kepada Abdul Rahim.

“Ketua kampung ini bukan dari Kampung Sapatalang, tapi dia telah halau ayah saya sedangkan ayah saya berasal daripada kampung ini,” jelas beliau.

Kemudiannya, Abdul Rahim telah memadam catatan Facebook beliau.

Bukankah Zahidi dan Abdul Rahim seharusnya memohon maaf ke atas kesalahan mereka?

Atau mereka akan terus berlagak seperti tidak pernah berlaku apa-apa kesalahan?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri