Seruan untuk Muhyiddin menganjurkan kursus khas “Rukun Negara dan Sensitiviti” untuk para menteri dan timbalan menteri beliau supaya insiden-insiden seperti yang berlaku kepada Veveonah dan pelanggaran SOP Covid-19 tidak berulang lagi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menganjurkan satu kursus khas mengenai “Rukun Negara dan Sensitiviti” untuk para menteri dan timbalan menteri beliau supaya insiden-insiden seperti yang berlaku kepada Veveonah dan pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 tidak berulang lagi.

Amat mengejutkan apabila insiden yang berlaku kepada Veveonah ini telah mendedahkan bagaimana dua orang timbalan menteri ini telah terputus hubungannya dengan kehidupan harian rakyat biasa.

Selain daripada melepaskan tanggungjawab terhadap kenyataan beliau kepada Ahli Parlimen Kudat merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin masih belum menjelaskan pelbagai alasan yang diberikan beliau dalam beberapa hari yang lepas, mulanya di dalam Dewan Negara dengan menuduh Veveonah menipu mengenai terpaksa tinggal di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet selama 24 jam untuk menduduki peperiksaan; kemudiannya menarik semula tuduhan ini dalam hari yang sama; sebelum mengulangi semula tuduhan ini semalam, sambil menyalahkan Timbalan Menteri Kewangan.

Ahli Parlimen Kudat merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri telah mengulangi tuduhan yang sama di dalam laman Facebook beliau dan berkongsi satu laporan kononnya daripada seorang ketua kampung tempatan yang mengatakan Veveonah tidak tinggal di kampung pedalaman di Pitas. Seorang “dekan” Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tidak dinamakan juga telah mempersoalkan kewujudan peperiksaan atas talian semasa insiden ini berlaku.

Tapi kemudiannya, Abdul Rahim telah memadam catatan Facebook beliau ini selepas menerima kritikan. Perkara ini menunjukkan yang Timbalan Menteri Kewangan ini tidak bersedia untuk mempertahankan catatan Facebook beliau ini; dan menunjukkan yang Timbalan Menteri ini juga gagal untuk menyedari isu sebenar mengenai jurang digital dalam negara kita.

Malah, kedua Timbalan Menteri ini seharusnya berterima kasih kepada Veveonah kerana membangkitkan isu mengenai jurang digital di kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia, dan bukannya terjebak dalam aktiviti buli-siber.

Perkara ini menunjukkan kepada kita semua yang kita mempunyai dua orang Timbalan Menteri yang tidak berani untuk mempertahankan tuduhan mereka dan mereka tidak menghormati Parlimen sebagai satu tempat yang mulia, bukan tempat untuk berkongsi imaginasi liar mereka.

Semalam, abang kepada Veveonah, Mekvin Mosibin telah mengongsikan pandangan beliau mengenai kontroversi ini apabila beliau menulis di Facebook:

““na Si YB Abdul Rahim Bakri dapat info atau maklumat dari si Kg. Sapatalang,,,, yang bernama Elwin Madisa ---- Alahai,,,,, adoiiii sakit otak ku ,,, Yang kau tanya dan ambil penerangan dengan si Elwin@Orong tu kenapa,,,, Ketua kampung inilah dulu Suami Isteri pengurus bahagian JKKK di Kg. Sapatalang yang mengusir Bapa saya,,, Sedang kan Ketua Kampung yang bernama Elwin Madisa tu bukan orang Asal Kg. Sapatalang,,, yang bukan asal kg. Sapatalang pula yang usir Bapa saya keluar dari Kampung Sapatalang,, Sedangkan Bapa saya orang Asal Kg. Sapatalang. Maklumat semua ini saya tidak puas hati dan tidak tepat apa yang kau dapat tu YB,,, Kalau tidak tahu masalah Kampung dan suka suka masuk campur ,,, Naaa inilah YB ,, Nadalan sudah kau jadi YB sampai kau tidak tahu apa-apa,,, main rambang saja buat konten.

“Saya kasi tahu kau YB,,, Mama saya mengandung samapai saya lahir dan membesar di kampung Sapatalang,,, last Family saya disana penghujung tahun 2006 ke 2007,,, Pindah ke KPD sebab Bapa saya kerja sebagai kuli kuli boss saja,, kau apa tahu,, saya pun masa tu masuk tingkatan 1 ke SMK Pitas dan syukur saya sebab dekat dengan sekolah sama kos pun kurang,,, lagi satu konten mu ini YB,,, Kau kata kami tiada rumah sana Kg. Sapatalang. Yaaa Memang tiada sebab sudah roboh,, sudah uzur,,, Bekas rumah kami di Simpang Masuk Kg. Sapatalang dulu,,, Dulu dulu mana ada jiran dekat,,, semua berjauhan dan masih lagi berhutan tebal,,, yaaa...Itu hal Family saya la,,, bukan selama-lamanya menetap di Daerah Pekan Pitas,,,, Lagi satu kesusahan keluarga terpaksa mendekati Sekolah di SMK Pitas dan Sk. Pekan Pitas untuk mengurangkan kos Minyak ulang alik,,, YB kau pikir kami kaya ka berduit mau beli minyak,,, Kalau jalan Aspal balik Kampung okay la,,, Ni Grabol hadoiiii,,, Banyak kali Bapa saya pandu motor eksiden saja sebab jalan berlubang,,,, kalau hujan licin,,, apa tu YB.... Turun padang kau YB time hujan rasakan jalan tu masuk simpang Rosob ke Kg. Bilangau Kecil, Bilangau Besar dan ke Kg. Dandun,,, jangan pakai kereta,,, Pakailah motor kapcai ya,,, orang kg kan pakai motor kapcai,, mana la mampu beli motor mahal ka kereta mahal.,,,”

Apakah jawapan Abdul Rahim? Padam catatan Facebook beliau?

Kursus khas mengenai “Rukun Negara dan Sensitiviti” untuk para menteri dan timbalan menteri beliau adalah amat penting memandangkan sudah berlaku terlalu banyak kesilapan yang jengkel dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan menteri dan timbalan menteri, seperti pelanggaran SOP Covid-19, penghinaan kepada agama Kristian, dakwaan “air suam merawat Covid-19”, dakwaan yang “Malaysia mempunyai 15 negeri” dan ada “500 negara” di seluruh dunia, begitu juga dengan kejadian-kejadian menteri “Doraemon” dan “Tik-tok” yang telah memburukkan Kabinet Muhyiddin.

Adakah Muhyiddin akan mengadakan kursus ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri