Zahidi gagal fokus kepada soalan untuk menyenaraikan kawasan di Sabah dan negeri lain yang akan menerima manfaat melalui program merapatkan jurang digital kerajaan menjelang akhir tahun ini

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin gagal memahami isu yang ditanyakan, di mana beliau diminta untuk menyenaraikan kawasan-kawasan di Sabah dan negeri-negeri lain yang akan menerima manfaat melalui usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital menjelang akhir tahun ini.

Mengapakah Zahidi masih cuba untuk mempertahankan kenyataannya pada hari Khamis lepas yang telah menuduh Vevenoah Mosibin menipu apabila Vevenoah mengatakan yang beliau terpaksa berada di atas pokok selama 24 jam untuk mendapat sambungan internet untuk menduduki peperiksaan.

Dalam mempertahankan kenyataannya ini, beliau juga telah cuba untuk menyalahkan Ahli Parlimen Kudat yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1, Abdul Rahim Karim.

Adakah Zahidi memahami yang beliau sendiri perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kenyataan yang dibuatnya di Parlimen, tanpa mengira sesiapa yang memberitahunya mengenai sesuatu perkara itu, sama ada betul atau salah.

Amat tragis nasib negara kita apabila seorang Timbalan Menteri tidak memahami perkara ini.

Pada petang Khamis lepas, Zahidi cuba untuk menjelaskan yang beliau telah menerima maklumat yang tidak benar semasa beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan Vevenoah dalam Dewan Negara pada waktu pagi hari yang sama.

Adakah Zahidi kini menarik semula pembetulan beliau dan cuba mengatakan yang Vevenoah menipu?

Saya tidak percaya yang Zahidi tahu apa yang dikatakan beliau.

Mampukah Zahidi untuk memahami masalah jurang digital dalam negara kita dan penderitaan yang dihadapi bukan sahaja oleh Vevenoah Mosibin daripada Pitas, tetapi juga oleh ramai lagi rakyat Malaysia di Sabah, Sarawak, dan seluruh Malaysia dalam zaman di mana internet menjadi salah satu keperluan penting untuk kehidupan harian.

Bolehkah Zahidi menyenaraikan kawasan-kawasan di Sabah yang akan menerima manfaat daripada program kerajaan untuk merapatkan jurang digital ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri