Adakah kita bakal melihat satu skandal dalam SPRM berkenaan dengan skandal rasuah transaksi hartanah MARA?

Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengetahui identiti “ahli politik berkuasa” yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar Australia seperti Sydney Morning Herald, The Age, dan The Sun yang disyaki terbabit dalam skandal rasuah transaksi hartanah MARA yang bernilai RM70 juta?

Jika ya, mengapa tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak SPRM terhadap “ahli politik berkuasa” ini, dan jika tidak, mengapa SPRM tidak cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada badan Polis Persekutuan Australia yang sedang menyiasat kes ini?

Perkara ini telah menjadi persoalan terbesar selepas tindakan pihak Polis Persekutuan Australia yang menyita hartanah dan wang tunai yang bernilai sebanyak AUD1.6 juta, bersama dengan pendakwaan tuduhan rasuah terhadap pemaju hartanah Australia Dennis Teen dalam bulan lepas atas dakwaan yang beliau telah membayar pegawai kerajaan Malaysia sebanyak AUD4.75 juta sebagai rasuah untuk melancarkan urusan pembelian hartanah di Melbourne oleh pihak MARA.

Wartawan Malaysiakini R Nadeswaran dalam coretan komentar beliau yang bertajuk “Mara probe Down Under - five years and still waiting” menulis yang pada bulan April 2017, Timbalan Pengerusi SPRM semasa itu, Azam Baki, telah mengatakan yang 24 orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan berkenaan dengan pemerolehan hartanah ini, dan pada 30 Nov 2017, Menteri Pembangunan Luar Bandar Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengatakan yang pihak SPRM telah hampir selesai menyiasat perkara ini.

Apakah yang telah berlaku dalam siasatan terhadap MARA yang “hampir selesai” pada tahun 2017 ini?

Rakyat Malaysia mengharapkan SPRM akan mendedahkan hasil dapatan siasatannya terhadap skandal rasuah MARA ini, jika tidak, perkara ini sendiri boleh menjadi satu skandal dalam SPRM berkenaan dengan skandal rasuah MARA ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri