Mengapa terdapat keengganan daripada memberikan rakyat gambaran sebenar mengenai lawatan dan peningkaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin dan ahli rombongan beliau?

Kegagalan Rukun Negara selepas 50 tahun -- bukti terbesarnya adalah Kabinet semasa, di mana hanya segelintir menterinya melihat identiti mereka lebih sebagai seorang rakyat Malaysia dahulu berbanding dengan identiti kaum ataupun agama mereka, dan bukan sebaliknya.

Adakah Kabinet bersedia untuk mengadakan satu acara awam di mana setiap Menteri Kabinet mengisytiharkan penerimaan tanpa syarat mereka terhadap kelima-lima prinsip Rukun Negara sebagai asas pembinaan negara bangsa Malaysia, dan bahawa mereka semua adalah rakyat Malaysia dahulu, dan kemudiannya identiti kaum dan agama masing-masing?

Sepuluh tahun lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengatakan yang beliau adalah seorang Melayu dahulu, kemudiannya barulah seorang rakyat Malaysia. Adakah beliau telah berubah dengan perkembangan zaman untuk menjadi seorang rakyat Malaysia dahulu dan kemudiannya seorang Melayu? Adakah beliau kini seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia ataupun hanya untuk sekumpulan kaum?

Tidak pernah lagi berlaku dalam 63 tahun sejarah negara kita, terdapat sebegitu banyak mesej-mesej negatif dan juga kejadian-kejadian yang bertentangan dengan tema Hari Kebangsaan “Malaysia prihatin” dan prinsip-prinsip Rukun Negara yang disaksikan seperti berikut:

  1. Kemunculan kempen dan mentaliti “Malu Apa”;
  2. Langkah Sheraton yang telah menubuhkan kerajaan “pintu belakang” ;
  3. Kedatangan semula rasuah dan kleptokrasi, di mana ahli profesional dalam syarikat milik kerajaan digantikan dengan ahli Parlimen PN, bersama dengan penyebaran mentaliti “berhak” dalam kalangan kroni politik seperti yang ditunjukkan oleh seorang timbalan menteri yang meminta surat sokongan supaya anaknya dilantik ke dalam lembaga pengarah sebuah GLC;
  4. Seorang Ahli Parlimen PAS yang telah mengeluarkan kritikan tidak berasas terhadap agama Kristian dan kemudiannya enggan memohon maaf di atas perbuatannya yang menghina Rukun Negara di ambang sambutan Jubli Emasnya ini;
  5. Seorang ahli politik Bersatu yang mencabuli dua cita-cita Rukun Negara, “perpaduan negara” dan “satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak” apabila beliau menyeru supaya sekolah vernakular ditutup -- dengan harapan tindakan ini boleh menaikkan nama beliau;
  6. Rancangan buruk di kawasan kebun durian di Pahang untuk menafikan keadilan terhadap pekebun durian dan pada masa yang sama cuba menggambarkan mereka sebagai melawan prinsip kedua Rukun Negara, “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”.

Yang Dipertuan Agong telah menekankan yang kelima-lima prinsip Rukun Negara ini membentuk satu formula untuk membolehkan pelbagai kaum, agama, budaya, dan bahasa untuk mengatasi perbezaan di antara satu sama lain untuk hidup bersama dalam keadaan yang aman dan harmoni, terdapat suara-suara sumbang yang berlawanan dengan ajaran agama dan moral yang kini semakin kuat yang cuba mengatakan walaupun perbuatan rasuah itu buruk dan perlu dijauhi, seorang pemimpin beragama Islam yang terlibat dengan rasuah perlu disokong berbanding dengan pemimpin bukan Islam yang bersih dan jujur.

Walaupun Perdana Menteri telah mengatakan walaupun Perikatan Nasional tidak mempunyai apa-apa manifesto pilihan raya, ini tidak bermakna ia tidak mempunyai akauntabiliti.

Pertamanya, bagaimanakah Muhyiddin boleh dengan sewenang-wenangnya mengabaikan Manifesto PRU14 Pakatan Harapan sedangkan beliau adalah salah seorang arkitek utama Pakatan Harapan pada masa itu?

Keduanya, jika kerajaan Perikatan Nasional ini masih memegang kepada prinsip akauntabiliti, mengapa beliau hanya berdiam diri terhadap keenam-enam kejadian yang mencabuli semangat Rukun Negara di atas?

Dua “tahniah” untuk Muhyiddin.

Pertamanya kerana mempunyai seorang Menteri yang tanpa segan silu melanggar SOP kuarantin Covid-19 dan mencipta sejarah dengan mempunyai hampir 51,000 orang menandatangi petisyen supaya beliau meletakkan jawatan.

Keduanya, di atas hasil dapatan kajian Merdeka Centre yang mendapati beliau mempunyai tahap sokongan setinggi 69 peratus. Kajian tersebut mendapati walaupun 9 daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera daripada Sabah dan Sarawak berpuas hati dengan Perdana Menteri, 65% orang India dan hanya 33% peratus orang Cina yang berpuas hati dengan beliau.

Muhyiddin telah mengaku yang pentadbiran beliau berhadapan dengan ujian terbesar dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Beliau mengatakan krisis seperti ini tidak pernah lagi berlaku di Malaysia mahupun di mana-mana negara lain, tetapi dengan ketabahan kerajaan, sokongan daripada petugas barisan hadapan, kakitangan awam, dan sukarelawan, berserta dengan disiplin rakyat, negara kita mampu berhadapan dengan cabaran ini.

Saya tidak bersetuju. Wabak Covid-19 ini telah memberikan ruang kepada kerajaan Muhyiddin untuk menyorokkan kelemahan dan perbalahan dalamannya, kerana kebanyakkan rakyat Malaysia menyokong usaha kerajaan untuk melawan bencana ini.

Kerajaan Muhyiddin pada mulanya telah tersilap dalam mengendalikan wabak ini, sehingga berlakunya gelombang kedua wabak ini yang memuncak pada 3 April.

Jika tidak kerana Langkah Sheraton, tidak sepatutnya terjadi gelombang kedua ini dan tidak perlulah kawalan pergerakan di seluruh negara.

Kita bernasib baik kerana berjaya mengekang penularan gelombang kedua wabak Covid-19 ini, walaupun seperti kebanyakkan negara di seluruh dunia, kita harus sentiasa bersedia untuk sebarang penularan semula wabak ini -- kejadian gelombang kedua untuk kebanyakkan negara, tetapi satu gelombang ketiga untuk Malaysia.

Thailand telah melaporkan sifar jangkitan tempatan untuk tempoh 100 hari berturut-turut -- satu kejayaan yang belum dapat dilihat di Malaysia.

Thailand merupakan negara pertama di luar China yang melaporkan jangkitan Covid-19 pada bulan Januari tahun ini. Negara tersebut telah mencatatkan 3,425 jangkitan dengan 58 kematian berbanding dengan angka 9,360 kes dan 128 kematian di Malaysia. Dengan jumlah penduduk yang lebih kecil, kita seharusnya mempunyai rekod yang lebih baik berbanding dengan Thailand.

Namun masa depan negara tidaklah segelap yang dibayangkan, dan saya bersemangat selepas membaca sepucuk surat daripada alumni Maktab Tentera Diraja, Yusof Hashim kepada rakan sekelas beliau sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Yusof menulis:

“Pertamanya, saya rakyat Malaysia, dan keduanya saya seorang Melayu. Saya berdoa kepada Tuhan setiap hari, dan saya percaya pada akhirat di mana kita semua akan diminta untuk menjelaskan apa yang kita lakukan atau tidak lakukan semasa kita masih hidup.

"Tetapi saya tidak terlalu beragama atau menjauhi agama. Saya tidak senang dengan bagaimana agama saya dirampas untuk tujuan politik, dan saya marah dengan orang-orang yang melakukannya. Saya juga marah dengan para penipu yang menggelar diri mereka sebagai pemimpin kita.

“Saya tidak gembira dengan Arabisasi Malaysia yang berbilang kaum dan budaya. Dan saya marah dengan penghinaan penduduk luar bandar Melayu oleh ahli politik tanpa integriti, tanpa kehormatan, tanpa kejujuran dan tanpa hati nurani ...

"Jika anda memilih untuk berdiam diri, dan mati tanpa hati nurani terhadap keadaan negara yang kita tinggalkan untuk cucu-cucu kita, dan cucu-cucu mereka, itu adalah pilihan anda. Saya memilih untuk mengatakan apa yang saya rasakan dan walaupun secara bersendirian saya mungkin tidak dapat mengubah sesuatu, saya harap dengan meluahkan fikiran saya, cukup ramai orang yang akan tergerak hati nurani mereka, dan sejumlah kita mungkin cukup ramai untuk mengatasi jumlah hati yang telah mati. Dan mudah-mudahan, mereka tersedar ini akan cukup ramai untuk membawa perbezaan.

"Sebagai permulaan, polisi tindakan afirmatif ini telah berjalan terlalu lama. Walaupun ia telah membantu ramai orang Melayu, ianya ibarat pedang bermata dua, ia mula membawa lebih banyak keburukan kepada orang Melayu daripada menolong mereka. Polisi ini telah membawa mentaliti memerlukan tongkat di kalangan kita orang Melayu, sehinggakan inisiatif dan semangat keusahawanan terbantut di kalangan orang Melayu. Kita jadi takut terhadap risiko. Orang-orang kita sekarang telah percaya bahawa kita tidak dapat mencapai apa-apa tanpa bantuan pemerintah. Kaum kita telah menjadi objek ejekan oleh orang Cina yang lebih berjaya tanpa bantuan. Marilah kita memisahkan kaum kita dari tindakan afirmatif ini.

"Mari kita terapkan meritokrasi. Kita perlu berkerja keras dan merasai beberapa kegagalan, untuk kita belajar berjalan tanpa memerlukan tongkat.

"Dasar tindakan afirmatif, semasa pertama kali diperdebatkan selepas hari-hari gelap 13 Mei, adalah tindakan yang tepat. Tetapi setengah abad kemudian, dasar ini telah melahirkan kader pemakan sewa dan ahli politik Melayu, yang memanfaatkan polisi ini untuk memperkayakan diri mereka secara haram dan tidak bermoral.

“Atas nama menolong orang Melayu, GLC dan syarikat milik kerajaan telah menjadi instrumen untuk mencuri dan mengeluarkan wang dari kantung awam. Kedudukan ketua-ketua GLC dan syarikat milik kerajaan ini secara sistematik tidak diberikan kepada orang-orang yang berkebolehan dan berkelayakan, tetapi dijadikan ganjaran yang kepada ahli politik untuk memikat mereka untuk melompat dari satu pihak ke pihak lain.

"Di samping itu, jawatan-jawatan ini juga ditayang di depan ramai pegawai kanan kerajaan untuk melibatkan mereka dalam skema jahat untuk menghabiskan wang negara. Dalam perbicaraan seorang mantan Perdana Menteri, kita dapat dengar bagaimana pegawai kanan kerajaan dengan lemah lembut melaksanakan perintah PM, tanpa melakukan semak imbang yang sepatutnya.

"Tidak diragukan lagi mereka memerhatikan gelaran dan jawatan yang selesa di GLC dan syarikat milik kerajaan ini sebagai rancangan pasca-persaraan perkhidmatan awam.

"Saya percaya syarikat milik kerajaan dan GLC harus diswastakan. Kerajaan sepatutnya fokus hanya kepada pentadbiran, dan sektor swasta harus dibenarkan untuk menjalankan perniagaan. Perkara ini akan menghapuskan peluang ahli politik untuk menggunakan syarikat milik kerajaan dan GLC sebagai alat politik.

"Kesan penyakit ini begitu kuat sehingga hari ini, sehingga sekarang kita dicerca sebagai negara dengan kleptokrasi terbesar di seluruh dunia. Bahkan, selepas seorang mantan Perdana Menteri kita dihukum kerana melakukan kesalahan, para pemakan dedak yang terjangkit masih mencium tangannya dan menjerit, “nak malu apa?”, semasa beliau meronda negara dengan ditemani pengawal polis . Apa yang telah terjadi pada mereka ini?

"Saya bekerja dalam industri minyak, dan saya tahu bahawa Norway dan kita mula mengembangkan industri minyak dan gas kita pada waktu yang sama. Sebenarnya, kedua-dua Norway dan Malaysia mempunyai ukuran simpanan hidrokarbon yang hampir sama di bawah tanah dan laut kita.

"Tetapi sementara Norway menguruskan anugerah mereka dengan teliti, dan hari ini mereka memiliki salah satu dana terbesar di dunia hasil sumber minyak dan gas, melebihi nilai satu trilion USD, Malaysia mempunyai hutang negara melebihi satu trilion."

... Dan banyak lagi.

Surat ini telah menyegarkan saya, untuk menggerakkan semula perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia dan mengesahkan kepercayaan saya bahawa Malaysia boleh berubah untuk menjadi lebih baik.

Marilah kita semua, sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, jantina, atau pun umur, untuk kekal komited terhadap perjuangan untuk sebuah negara berkelas dunia yang bersatu-padu dengan menggembelengkan nilai dan aset daripada kepelbagaian kaum, agama, budaya, dan bahasa yang bertemu di Malaysia ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri