Mengapa terdapat keengganan daripada memberikan rakyat gambaran sebenar mengenai lawatan dan peningkaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin dan ahli rombongan beliau?

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menolak untuk memberikan respons mengenai satu pertuduhan terhadap Kementerian Kesihatan yang dipersalahkan atas kejadian di mana seorang Menteri Kabinet, Khairuddin Aman Razali yang telah mengingkari SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas pulang daripada satu lawatan ke Turki.

Saya menyokong Dr Noor Hisham dalam perkara ini, kerana persoalan tersebut ada soalan politik yang tidak sepatutnya dijawab oleh mana-mana penjawat awam, tetapi perlu dijawab oleh pemimpin politik. Kerana inilah saya telah bertanya secara khusus kepada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba untuk menjelaskan sama ada benar Kementerian Kesihatan bersalah seperti yang dituduh oleh pemimpin PAS dan sama ada kesenyapan mereka dalam perkara ini menjadi tanda persetujuan yang mereka bersalah.

Dalam kenyataan media saya semalam, saya telah merujuk kepada pertuduhan yang dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dalam satu Muktamar PAS di Ipoh pada minggu lepas, di mana beliau mengatakan Khairuddin sepatutnya dijulang sebagai seorang wira kerana kononnya, walaupun beliau melanggar SOP kuarantin Covid-19, lawatan beliau ke Turki itu telah membawa manfaat kepada sektor perladangan kelapa sawit.

“Dia langgar peraturan, tapi dia bawa berita baik, berita baik yang membawa manfaat untuk negara. Dia seorang herolah, macam burung hud-hud yang nak kena hukum tapi sebenarnya hero,” kata beliau.

Senator Aiman Athirah Sabu daripada Parti Amanah telah mengatakan tindakan Hashim yang cuba mempertahankan Khairuddin dengan membandingkan beliau dan pelanggaran SOP yang dilakukannya dengan kisah burung hud-hud yang dinyatakan di dalam Al-Quran ini adalah satu tindakan yang “melulu dan keterlaluan”.

Dan saya percaya beliau betul, jika tidak, pastinya Presiden PAS Datuk Hadi Awang sudah menyorak dan memulakan kempen di seluruh negara untuk menyambut kepulangan Khairuddin sebagai seorang “wira negara yang menyelamatkan Malaysia” dan bukannya cuba untuk mengelak persoalan media mengenai pengingkaran SOP kuarantin Covid-19 Khairuddin ini dengan mengeluarkan kenyataan mengenai kepentingan moral dalam PAS, dengan mengatakan “Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral maka akan kita pecat dia”.

Hadi telah mengatakan dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional: “Dalam PAS, (kesalahan) yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang kedua kalau ada salah laku itu, kita serah kepada undang-undang.”

Amat malang sekali, tidak ada seorang pun wartawan yang menanyakan soalan susulan sama ada Hadi percaya yang keseluruhan Kabinet sedia ada sekarang terdiri daripada mereka yang mempunyai moral dan sama ada pimpinan PAS menganggap penipuan dan fitnah sebagai dosa yang bermoral?

Hashim Jasin bukan sahaja telah menyerang Kementerian Kesihatan, tetapi juga Kementerian Luar Negeri, menyalahkan mereka terhadap serangan yang diterima Khairuddin akibat pelanggaran SOP kuarantin beliau.

Kerana ini jugalah saya telah menanyakan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein sama ada mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan PAS yang Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri telah “cuai” dan mengakibatkan pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 yang dilakukan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, dan jika perkara ini tidak benar, mengapa mereka berdiam diri dalam tempoh dua minggu yang lalu?

Saya menyatakan sekali lagi, perkara di mana rakyat Malaysia masih tidak diberikan gambaran sepenuhnya mengenai skandal pengingkaran SOP oleh Khairuddin ini, mahupun laporan siasatan polis ataupun status pelbagai penipuan yang dikeluarkan semasa isu ini masih panas adalah sesuatu yang amat pelik dan luar biasa.

Adakah kita akan dapat melihat satu pendedahan penuh yang bertanggungjawab dan telus terhadap isu berkepentingan awam ini?

Adakah Khairuddin akan menjelaskan dengan jujur dan telus, perkara sebenar mengenai lawatan beliau dan rombongan beliau ke Turki berserta satu penjelasan mengenai keengganan beliau untuk menjelaskan perkara ini kepada rakyat Malaysia dengan lebih awal lagi?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri