Adakah Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dan Menteri Luar, Hishamuddin Hussein mengakui dakwaan PAS bahawa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri harus dipersalahkan atas tindakan Khairuddin Razali melanggar SOP kuarantin Covid-19?
Jika tidak, mengapa mereka berdiam diri sehingga kini berhubung dakwaan oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin itu?
Pada Muktamar PAS yang berlangsung hujung minggu lalu, Hashim Jasin berkata Khairuddin perlu diangkat sebagai seorang hero walaupun beliau bertindak melanggar SOP kuarantin wajib Covid-19 atas alasan kononnya Menteri PAS itu membawa pelaburan yang besar kepada industri sawit negara selepas mengadakan lawatan kerja ke Turki.
Hashim Jasin berkata:
“Dia langgar peraturan tapi dia bawa berita baik, berita yang bawa faedah. Dia ini hero, umpama burung hud hud yang hendak dikenakan hukuman, sedangkan dia sebenarnya hero.”
Mursyidul Am PAS itu berkata Khairuddin teruk diserang oleh Ahli Parlimen pembangkang, sedangkan menurutnya kesalahan harus ditujukan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri kerana gagal memastikan Menteri PAS itu mematuhi SOP kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Beliau mendakwa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri “lalai” dan kesalahan tidak harus diletakkan di bahu Khairuddin.
Adakah ini pendirian Kabinet Perikatan Nasional, atau hanya pandangan PAS yang tidak disokong oleh Kerajaan Perikatan Nasional?
Amatlah pelik dan luar biasa, meskipun sudah dua minggu berlalu, rakyat Malaysia masih tidak mendapat gambaran sebenar tentang lawatan kerja Khairuddin dan rombongannya ke Turki dan tentang pelanggaran SOP kuarantin Covid-19, hasil siasatan polis dan segala penipuan yang diceritakan, sebagai contoh: Turki kononnya diisytiharkan sebagai “negara zon hijau” ketika mereka mengadakan lawatan ke negara itu, sedangkan Turki adalah antara negara yang mencatatkan angka tertinggi kes pandemik berkenaan.
Terdapat juga cakap-cakap yang mendakwa Khairuddin juga mengadakan lawatan ke negara lain selain Turki - adakah dakwaan ini benar atau tidak?
Perlu ada pendedahan penuh, sikap kebertanggungjawaban dan ketelusan berhubung isu ini dan isu lain yang melibatkan kepentingan awam.