Mampukah parti-parti Perikatan Nasional untuk mengetepikan politik sempit perkauman dan keagamaan untuk membentuk satu visi Malaysia yang lebih luas untuk menjunjung seruan Yang di Pertuan Agong untuk membentuk usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19?

Kita berada dalam satu era yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Lima hari telah dibazirkan sejak daripada titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-raja Melayu yang menolak cadangan Kabinet Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat sembilan bulan selepas bermulanya epidemik Covid-19. Namun parti-parti Perikatan Nasional masih belum berjaya membuktikan yang mereka mampu untuk mengetepikan politik sempit perkauman dan keagamaan untuk membentuk satu visi Malaysia yang lebih luas untuk menjunjung seruan Yang di Pertuan Agong untuk membentuk usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19.

Wabak Covid-19 ini telah mencatatkan 30,090 kes jangkitan dan mengorbankan sejumlah 246 nyawa di Malaysia, meletakkan negara kita di tempat ke-87 dari segi jumlah kes jangkitan dan ke-103 dari segi korban akibat Covid-19 di dunia.

Perisytiharan darurat bukanlah jawapan kepada epidemik Covid-19 ini. Penyelesaian kepada epidemik ini boleh dicapai dengan membentuk usaha kerjasama dan bersatu padu tanpa mengira latar belakang kaum, agama, kawasan, kelas, mahupun politik, untuk melawan wabak ini sebagai satu negara dan bukannya dengan menyebarkan perpecahan dan polarisasi dalam negara kita.

Sekarang adalah masa untuk meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan politik kepartian dan diri sendiri, dan sekarang bukanlah masanya untuk mendapatkan jawatan dan kepentingan politik.

Kita tidak berada di dalam liga yang sama seperti lapan negara teratas yang mencatatkan lebih daripada sejuta kes Covid-19, terutamanya tiga negara di tempat teratas seperti Amerika Syarikat yang mencatatkan 9.2 juta kes Covid-19, disusuli oleh India yang baru sahaja melepasi paras 8 juta kes, mahupun Brazil yang mencatatkan hampir 5.5 juta kes Covid-19.

Kita juga bukanlah berada di antara negara-negara yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi, yang didahului oleh Amerika Syarikat dengan lebih daripada 232,000 kematian, diikuti oleh Brazil dengan hampir 160,000 kematian, India dengan lebih daripada 120,000 kematian, Mexico dengan 89,000 kematian, dan United Kingdom yang mencatatkan 45,000 kematian akibat Covid-19.

Tetapi keadaan negara dan ekonomi kita tidaklah baik dan kita perlu menggerakkan solidariti dan perpaduan kebangsaan dalam kalangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan budaya untuk mengawal wabak ini.

Malaysia kini berada dalam satu era yang baharu, yang tidak pernah dilalui sebelum ini, di mana kita tidak mempunyai seorang pemimpin yang mempunyai majoriti di Parlimen semasa negara kita sedang berhadapan dengan wabak Covid-19, yang dijangkakan oleh sesetengah pakar untuk terus melanda dunia sehingga 2022.

Apakah yang boleh kita buat dalam situasi seperti ini?

Mereka yang menyokong idea untuk mengisytiharkan darurat mengatakan walaupun kita mempunyai undang-undang yang memadai untuk mengendalikan wabak ini, -- sama ada untuk melaksanakan kawalan pergerakan, mahupun untuk bertindak terhadap pendatang tanpa izin yang cuba untuk menyelinap masuk ke dalam negara -- darurat adalah satu-satunya cara untuk menangguhkan sebarang pilihan raya selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang terbukti menjadi satu kejadian penyebaran meluas.

Ini adalah satu hujah yang lemah.

Kita bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada 5 Disember 2020 ini.

Saya telah cadangkan, sebagai langkah pertama untuk mencapai usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan gelombang ketiga Covid-19 untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia, semua rakyat Malaysia dan parti-parti politik harus mencapai satu konsensus kebangsaan bahawa Warisan perlu diberikan ruang untuk menang tanpa bertanding di Batu Sapi, memandangkan kekosongan ini berlaku kerana pemergian mantan menteri Liew Vui Keong.

Terdapat juga PRN Sarawak dan PRU-15. Perkara ini boelh diselesaikan melalui perjanjian di antara semua parti politik untuk tidak mengadakan pilihan raya, sama ada di peringkat negeri ataupun kebangsaan, sehingga keadaan pandemik Covid-19 ini terkawal.

Perkara ini boleh dicapai melalui pindaan berpatutan undang-undang berkaitan yang memerlukan pilihan raya, termasuklah pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

Persoalannya sekarang, adakah parti-parti politik yang membentuk kerajaan persekutuan ataupun negeri ini boleh mengetepikan politik sempit perkauman dan keagamaan untuk membentuk visi Malaysia yang lebih luas untuk menjunjung seruan Yang di Pertuan Agong untuk membentuk usaha yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19.

Parti-parti Pembangkang bersedia untuk memberikan respons positif jika parti-parti dalam kerajaan mampu untuk membentangkan visi perpaduan dan solidariti, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, kelas, mahupun latar belakang politik, untuk bersatu melawan Covid-19.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bersetuju untuk menyokong cadangan “Perjanjian Perbekalan dan Keyakinan” untuk membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan dan PH terus menunggu cadangan daripada pihak Kerajaan.

Bagaimanapun, pihak kerajaan tidak boleh menjangkakan satu cek kosong untuk mengabaikan pandangan dan keperluan rakyat, tetapi perlu menyertai satu perbincangan yang positif dan konstruktif dengan para pemimpin Pakatan Harapan untuk mencapai persetujuan perjanjian perbekalan dan keyakinan ini supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan dalam Parlimen.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri