Seruan untuk satu pakej bantuan bencana kemanusiaan khas untuk Sabah sekarang, memandangkan 29 orang mungkin akan terkorban akibat Covid-19 di Sabah jika kita mahu menunggu pembentangan Belanjawan 2021 pada hari Jumaat depan
Terdapat satu keperluan mendesak untuk mengumumkan satu pakej bantuan bencana kemanusiaan khas untuk Sabah sekarang, memandangkan 29 orang mungkin akan terkorban akibat Covid-19 di Sabah jika kita mahu menunggu pembentangan Belanjawan 2021 yang hanya akan berlangsung pada hari 6 November, Jumaat depan.
Gelombang ketiga wabak Covid-19 ini telah mengorbankan 102 nyawa di Sabah dalam 28 hari pertama bulan Oktober, secara purata, 3.64 kematian sehari -- dan jika menunggu untuk lapan hari lagi sehingga 6 November, kita mungkin akan melihat sebanyak 29.12 kematian baharu.
Sebagai perbandingan, hanya lapan nyawa sahaja yang terkorban di keseluruhan Malaysia dalam tempoh empat minggu yang lepas.
Di seluruh Malaysia, terdapat 30 kematian dalam tempoh lima bulan di antara 28 April, semasa wabak ini mengorbankan nyawa keseratusnya sehingga 22 September apabila jumlah kematian mencecah genap 130.
Keadaan Sabah yang amat terdedah kepada bencana yang dibawa Covid-19 ini adalah tidak boleh diterima sama sekali dan berlawanan dengan segala janji-janji yang telah dibuat semasa kempen PRN Sabah yang berlangsung pada bulan lepas untuk memberikan perhatian yang serius terhadap masalah dan keperluan rakyat Sabah.
Gambaran, terutamanya kepada rakyat Sabah, seakan-akan mereka dibiarkan untuk mempertahankan diri mereka sendiri dalam melawan gelombang ketiga wabak ini -- yang telah dicetuskan oleh ketamakan kerajaan Perikatan Nasional di Putrajaya yang cuba merampas kerajaan negeri Sabah -- tidak boleh dibiarkan berterusan.
Gelombang ketiga ini secara rasmi dikira sebagai bermula pada 20 September, walaupun ia mungkin telah bermula lebih awal lagi semasa berlangsungnya pilihan raya negeri Sabah dengan hari penamaan calon pada 12 September.
Menjadi satu perkara yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral untuk menafikan rakyat Sabah bantuan khas bencana kemanusiaan sesegera yang mungkin, memandangkan Putrajaya perlu bertanggungjawab terhadap peningkatan kes mendadak daripada 426 kes dan lapan kematian di Sabah pada 1 September, kepada 13,701 kes dan 114 kematian setakat semalam -- peningkatan kes jangkitan 32 kali ganda dan 14 kali ganda kematian.
Krisis kemanusiaan di Sabah dalam gelombang ketiga wabak Covid-19 ini juga berlaku kerana pengabaian kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah yang menyebabkan Sabah menjadi negeri termiskin di Malaysia dengan pembangunan infrastruktur termundur.
Masanya telah tiba untuk Putrajaya memberikan bantuan kecemasan kepada rakyat Sabah yang sedang berhadapan dengan krisis kemanusiaan, janganlah kita lupa yang hasil minyak dan gas Sabah telah menyumbangkan berbilion ringgit kepada pendapatan negara.