Seruan kepada semua rakyat Malaysia dan parti-parti politik untuk bersetuju yang seorang calon Warisan dibenarkan menang tanpa bertanding dalam PRK Batu Sapi sebagai langkah pertama perang melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”
Sebagai langkah pertama perang melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan di Malaysia, saya seru semua rakyat Malaysia dan parti-parti politik untuk mencapai persetujuan bahawa seorang calon Warisan patut diberikan laluan untuk memenangi pilihan raya kecil Batu Sapi yang telah kosong selepas pemergian mendiang mantan menteri Liew Vui Keong.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan yang hari penamaan calon akan berlangsung pada 23 November dan hari pengundian akan berlangsung pada 5 Disember.
Perkara ini akan mengekalkan status quo di Parlimen.
Mesyuarat khas Kabinet hari ini perlu menjadi pelancaran peperangan melawan gelombang ketiga Covid-19 yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” sebagai agenda pertamanya dengan membentuk penyatuan dan solidariti di Parlimen dan membawa agenda ini ke persidangan Belanjawan yang akan berlangsung selama 27 hari, bermula 2 November.
Pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” ini perlulah berasaskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara; Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaa, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Negara kita perlu bergerak ke hadapan dan bukannya ke belakang untuk memastikan kelima-lima prinsip Rukun Negara ini menjadi asas setiap keputusan dan langkah yang diambil dalam peperangan melawan wabak Covid-19 dan usaha-usaha untuk mendatarkan lekuk penularan jangkitan wabak ini.
Perkara kedua yang harus dibincangkan Kabinet hari ini adalah situasi semasa di Sabah, bagaimana untuk menyelesaikan masalah di mana Sabah kini menjadi pusat penularan utama wabak Covid-19.
Angka 823 kes jangkitan baharu Covid-19 semalam memberikan sedikit kelegaan berbanding dengan kadar empat angka hari sebelumnya yang mencatatkan 1,228 kes. Marilah kita terus berdoa dan berharap yang kes Covid-19 di negara kita ini hanya mencecah empat angka buat satu kali ini sahaja dan semoga kita dapat melihat perkembangan yang baik terhadap usaha untuk mendatarkan lekuk penularan wabak ini.
Jumlah kes terkumpul kes Covid-19 dalam negara kita kini berada pada kadar 26,565 kes, mengatasi Korea Selatan, daripada tempat ke-89 di seluruh dunia ke tempat ke-88.
Kita tidak boleh terus lalai. Malah, tidak ada sebab untuk kita gagal melakukan yang lebih baik berbanding dengan Thailand dalam peperangan melawan wabak Covid-19 ini memandangkan Thailand mempunyai dua kali ganda jumlah penduduk berbanding Malaysia. Thailand kini berada di tempat ke-146 dengan 3,766 kes terkumpul Covid-19 dan 59 kematian berbanding dengan 26,565 kes dan 229 kematian di Malaysia.
Rakyat Malaysia berhak untuk mendapat yang lebih baik dan kita perlukan berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam usaha melawan wabak Covid-19.