Mengapakah Muhyiddin bertindak seperti seorang pencuri di waktu malam, memanggil mesyuarat khas Kabinet untuk meletakkan negara kita dalam darurat tanpa sebarang akauntabiliti mahupun ketelusan?

Mengapakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertindak seperti seorang pencuri di waktu malam, memanggil mesyuarat khas Kabinet untuk meletakkan negara kita dalam darurat tanpa sebarang akauntabiliti mahupun ketelusan?

Bilakah Muhyiddin memutuskan yang perintah darurat adalah solusi terbaik terhadap masalah kelangsungan kerjaya politik beliau sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia, yang mungkin akan menjadi lebih pendek daripada tempoh berkhidmat Perdana Menteri ketujuh selama 22 bulan?

Memandangkan beliau telah mengadakan mesyuarat Kabinet melalui Zoom pada hari Rabu, kelihatan seperti keputusan ini hanya dicapai selepas atau pada hari Rabu. Siapakah mereka yang meyakinkan beliau untuk berbuat demikian?

Jika Muhyiddin berjaya dalam plotnya untuk meletakkan negara kita dalam keadaan darurat, ini bererti beliau telah mengikuti jejak langkah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mengeksploit wabak Covid-19 untuk kepentingan politik sendiri, biarpun hanya untuk sementara waktu.

Perkara ini amatlah ironik, memandangkan wabak Covid-19 ini dijangka akan menuntut mangsa politik terbesarnya dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dijangkakan oleh ramai orang akan kalah dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 3 November depan -- bukan kerana dikalahkan Joe Biden, tetapi dikalahkan Covid-19.

Ini adalah kerana pilihan raya presiden ini telah dijadikan satu referendum terhadap cara Trump mengendalikan wabak ini dengan sebegitu teruk sekali, membawa kepada lebih daripada 8.8 juta jangkitan Covid-19 dan lebih daripada 230,000 kematian di AS -- walaupun angka ini sebenarnya dijangkakan lebih tinggi oleh sesetengah pihak!

Terdapat tiga jenis pemimpin negara dalam berhadapan wabak Covid-19 ini. Pertamanya, mereka yang seperti Donald Trump, yang menafikan keseriusan wabak ini walaupun lebih daripada 230,000 rakyat Amerika Syarikat telah terkorban akibatnya -- lebih daripada jumlah korban dalam perang Vietnam yang dijangkakan pada kadar 210,000 kematian.

Pemimpin lain yang berada dalam acuan ini adalah Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dan Presiden Mexico, Lopez Obrador, dan mereka berdua telah membawa Brazil dan Mexico menjadi di antara sepuluh negara yang mempunyai jumlah jangkitan tertinggi di dunia

Kumpulan kedua pula adalah mereka yang mengeksploit wabak ini demi kepentingan dan kelangsungan kerjaya politik mereka, kumpulan ini diketuai oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Kebanyakan pemimpin negara di dunia berada dalam kumpulan ketiga, yang cuba untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 tanpa mempolitikkan isu ini, dengan menyatu-padukan rakyat mereka dan menggunakan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Para pemimpin negara dalam dua kumpulan pertama tadi sedang bergerak ke arah diingati dengan tindakan buruk mereka, dan saya menyeru kepada Muhyiddin untuk keluar daripada kumpulan kedua tadi dan menyertai kumpulan ketiga.

Malaysia tidak boleh diletakkan di bawah perintah darurat semata-mata untuk memberikan bantuan hayat kepada kelangsungan kerjaya politik Muhyiddin.

Sehingga hari ini, Muhyiddin belum berkongsikan rancangan beliau untuk menggantung Parlimen dan meletakkan negara kita di bawah perintah darurat kepada rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia terpaksa bergantung kepada kilang khabar angin -- yang berkerja keras sejak hari Jumaat lepas -- dan media sosial untuk cuba memahami apakah yang sedang berlaku dengan negara kita.

Apa yang paling pelik lagi, rakyat Malaysia mendapati lebih banyak maklumat secara terus daripada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, berbanding dengan daripada Perdana Menteri mereka sendiri mengenai cadangan Perdana Menteri ini.

Semalam contohnya, Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menasihati rakyat untuk tidak membuat spekulasi yang boleh menyebabkan kekeliruan serta kerisauan yang boleh mengganggu keharmonian rakyat.

Perkara ini berlaku susulan selepas Muhyiddin bersama dengan beberapa menteri utama menghadap Baginda Yang di Pertuan Agong di Kuantan selepas mesyuarat khas Kabinet pada hari Jumaat.

Tidak pernah lagi cadangan daripada Perdana Menteri untuk mengumumkan perintah darurat dan menggantungkan Parlimen untuk melawan wabak Covid-19 ini menerima bantahan secara universal daripada semua pihak dalam negara sejak negara kita merdeka pada tahun 1957.

Pakar Perlembagaan, peguam, penganalisis politik, dan ahli akademik universiti hampir semuanya bersetuju dengan pandangan yang perintah darurat tidak bersesuaian dan tidak diperlukan di Malaysia untuk melawan wabak Covid-19 dan tidak ada sebarang sebab untuk Parlimen digantung fungsinya.

Malah, pemimpin daripada kalangan kerajaan Perikatan Nasional sendiri juga telah bersuara membantah cadangan ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Hasan telah menyeru supaya kerajaan untuk menggunakan cara yang demokratik dan saintifik untuk melawan wabak Covid-19 dalam negara kita, memandangkan sistem ekonomi, kesihatan, dan keselematan di Malaysia masih belum lumpuh.

Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah telah memberikan amaran yang perintah darurat ini akan menjadi “paku terakhir keranda” ekonomi negara, manakala mantan menteri Tan Sri Rafidah Aziz telah menyamakan pengisytiharan darurat ini seakan-akan mencuba untuk “membunuh beberapa ekor tikus menggunakan bom”.

Malah, mantan Peguam Negara Tommy Thomas, yang telah mengenakan “kuarantin kendiri” sejak Langkah Sheraton pada bulan Februari lalu telah mengeluarkan kenyataan dan memberikan amaran yang proklamasi darurat oleh pihak eksekutif ini boleh dicabar dan disemak semula oleh pihak mahkamah.

Memandangkan terdapat bantahan yang hampir universal terhadap cadangan pengisytiharan darurat untuk melawan Covid-19 dan penggantungan Parlimen ini, Muhyiddin perlu memanggil satu lagi mesyuarat khas Kabinet untuk memperluaskan pilihan-pilihan yang ada untuk melawan penularan wabak Covid-19 tanpa (i) mengisytiharkan darurat; dan (ii) menggantung Parlimen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, semasa meminta pengkritik untuk memberikan cadangan alternatif, mengatakan 32 buat negara lain telah mengisytiharkan darurat untuk melawan wabak Covid-19, tetapi beliau tidak mengatakan sama ada 32 negara ini juga menggantung fungsi Parlimen mereka.

Seluruh dunia sedang berhadapan dengan peningkatan jangkitan dan kematian akibat Covid-19, tetapi ini bukanlah alasan untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen di negara kita.

Semasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan yang wabak Covid-19 ini adalah satu pandemik pada 11 Mac 2020, terdapat lebih daripada 118,000 kes Covid di sekitar 114 buah negara, dan 4,291 orang telah terkorban semasa itu.

Hari ini, peningkatan harian kes Covid-19 di seluruh dunia sahaja berada pada tahap tiga kali ganda jumlah kes terkumpul pada 11 Mac. Satu rekod yang menyayat hari dicatatkan pada 23 Oktober, apabila jumlah peningkatan kes harian di seluruh dunia mencecah 490,021 kes, rekod tertinggi dalam sejarah.

Dari segi kadar jangkitan, Malaysia berada pada tempat ke-89, senarai negara dengan jumlah jangkitan tertinggi ini didahului oleh Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, Sepanyol, Argentina, Perancis, Colombia, Peru. Mexico, United Kingdom, Afrika Selatan, Iran, Chile, Itali, Iraq, Jerman, Bangladesh, Indonesia dan Filipina.

Semasa berhadapan dengan gelombang kedua penularan wabak ini pada bulan Mac, negara kita berada di tempat ke-18.

Kita telah berjaya melakukan yang terbaik di peringkat antarabangsa dari segi kematian akibat Covid-19, memandangkan kita berada di tempat ke-33 pada bulan Mac dan kini berada di tempat ke-103 dari segi kematian akibat Covid-19.

Kita perlu mengiktiraf kejutan dan kegelisahan yang Malaysia kini mencatatkan 214 kematian akibat Covid-19. Tetapi, kita tidak berada dalam liga yang sama seperti sepuluh negara dengan kematian tertinggi seperti Amerika Syarikat, Brazil, India, Mexico, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Peru dan Iran yang mencatatkan di antara 32,320 sehingga 230,060 kematian.

Ahli-ahli Parlimen seperti Anthony Loke dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penganalisis politik seperti Wong Chin Huat telah mencadangkan salah satu cara untuk keluar daripada kebuntuan politik semasa adalah dengan membuat satu perjanjian “keyakinan dan perbekalan” untuk membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan bagi membolehkan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” digunakan untuk melawan wabak Covid-19.

Semua Ahli Parlimen, tanpa mengira latar belakang parti politik, mahu peperangan melawan wabak Covid-19 ini untuk berjaya.

Belanjawan 2021 ini akan dibentangkan kepada Parlimen pada hari Jumaat, 6 November 2020, dan undian pertama terhadap belanjawan ini akan berlangsung pada pengakhiran perbahasan peringkat dasar di Dewan Rakyat pada hari Isnin, 23 November 2020.

Saya cadangkan Muhyiddin diberikan masa sehingga hari Belanjawan pada 6 November untuk menentukan sama ada boleh untuk beliau memastikan kestabilan politik melalui satu cadangan perjanjian “keyakinan dan perbekalan” ini ataupun cara lain supaya satu pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dapat diambil dalam perang melawan wabak Covid-19 dengan pimpinan kesemua 222 Ahli Parlimen.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri