Yang di Pertuan Agong patut mendapatkan pendapat pihak Kehakiman sama ada Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membenarkan perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen untuk membolehkan Perdana Menteri menyelesaikan masalah politik beliau

Sebelum semalam, tidak ada sesiapun membincangkan mengenai Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan mengenai Proklamasi Darurat sebagai penyelesaian wabak Covid-19.

Sebabnya mudah. Hanya Perdana Menteri yang paling terdesak dan lemah sahaja yang akan terfikir untuk menggunakan peruntukan Perkara 150 ini untuk mengisytiharkan darurat bagi melawan wabak Covid-19, memandangkan tidak ada perkara yang kerajaan tidak boleh lakukan sekarang ini untuk melawan wabak ini tanpa perisytiharan darurat.

Setakat semalam, Sabah mencatatkan 6,827 kes aktif Covid-19, diikuti dengan 960 kes di Selangor, 586 di Kedah, dan 372 kes di Pulau Pinang, manakala kesemua negeri-negeri lain mencatatkan kurang daripada 200 kes aktif, dengan Kelantan, Pahang, dan Perlis mencatatkan kurang daripada 10 kes aktif.

Adakah Proklamasi Darurat ini akan hanya digunapakai di Sabah?

Bagaimanakah perisytiharan darurat ini wajar untuk dilaksanakan di Sarawak, Melaka, Johor, Putrajaya, Terengganu, Kelantan, Pahang, dan Perlis sedangkan ke semua negeri-negeri ini mencatatkan kurang daripada 100 kes aktif Covid-19?

Adakah kerajaan telah hilang kawalan terhadap wabak Covid-19 di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, dan Negeri Sembilan sehingga ia merasakan wajar untuk mengisytiharkan darurat di bawah peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di negeri-negeri ini?

Ya, terdapat keperluan untuk satu tindakan yang lebih berkesan terhadap gelombang ketiga wabak Covid-19 ini, dan apa yang kita perlukan segera adalah untuk membentuk satu kempen dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan gelombang ketiga wabak ini.

Adakah proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen ini akan membentuk usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” ini?

Saya berani katakan, yang perkara berlawanan yang akan berlaku, memandangkan rakyat akan dapat melihat individu yang telah merendah-rendahkan usaha melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” adalah tidak lain tidak bukan daripada para menteri dan pemimpin Perikatan Nasional sendiri.

Tambahan lagi, mengapakah Parlimen perlu digantung dalam proklamasi darurat untuk melawan wabak Covid-19?

Adakah Kabinet telah membentangkan pilihan untuk mengisytiharkan darurat tanpa menggantung Parlimen kepada Yang di Pertuan Agong?

Dan adakah Malaysia akan mengisytiharkan darurat setiap kali berlakunya gelombang baharu penularan wabak Covid-19?

Mungkin Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong patut mendapatkan pendapat pihak Kehakiman, sama ada Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membenarkan perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen bagi membolehkan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah politik beliau.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri