Mengapa Zahid tunduk sepenuhnya dengan sebegitu pantas selepas 30 hari Game of Thrones ala Malaysia?

Kejadian-kejadian dalam tempoh minggu lepas telah mengesahkan apa yang telah saya katakan pada hari Khamis lalu, yang negara kita berada dalam ketidaktentuan politik, dengan plot, subplot, dan tindak balas yang muncul mengenai bentuk dan rupa kerajaan Malaysia -- memandangkan kerajaan pintu belakang Muhyiddin yang muncul daripada konspirasi Langkah Sheraton ini tidak mempunyai keabsahan, kebolehan, dan sumber untuk menjadi sebuah kerajaan yang berkesan.

Tetapi, secara tiba-tiba, dengan kenyataan daripada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang menegaskan semula sokongan UMNO terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional, Game of Thrones (Satu siri televisyen fantasi politik yang popular) Malaysia ini telah terhenti.

Bandingkan kenyataan Zahid pada 23 September yang mengatakan ramai ahli Parlimen UMNO dan BN telah menyatakan sokongan mereka kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dan beliau menghormati keputusan mereka ini, dengan kenyataan beliau semalam yang menyeru kepada satu “gencatan senjata” politik supaya mengekangan penularan wabak Covid-19 dan impak ekonominya terhadap rakyat dapat diberikan keutamaan.

Mengapakah Zahid telah tunduk sepenuhnya sebegitu pantas sekali, hanya selepas 30 hari Game of Thrones Malaysia, di mana buat pertama kalinya, rakyat Malaysia dapat melihat pelbagai plot dan subplot serta tindak balas yang rumit?

Dan semua ini berlaku pada hari di mana kita dapat melihat “cahaya di penghujung terowong”, selepas empat hari berhadapan dengan berita buruk dengan peningkatan harian melebihi 800 kes sehari, memandangkan peningkatan harian semalam mencatatkan 732 kes baharu Covid-19, menunjukkan harapan yang mungkin jumlah kes baharu gelombang ketiga wabak ini akan berada dalam trend menurun dan kita berjaya mengelakkan peningkatan harian pada tahap empat digit!

Mungkin bukan satu kebetulan yang kenyataan Zahid ini dikeluarkan hampir pada masa yang sama dengan mengumumkan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Pejabat Pendakwa Raya mengenai kes pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Khairudin Aman Razali selepas pulang ke tanah air daripada sebuah Turki, yang merupakan pusat utama penularan Covid-19 pada 7 Julai.

Mungkin pimpinan UMNO telah mendapati yang mereka tidak akan mendapat sokongan daripada PAS dalam Game of Thrones ini, dan jika perkara ini berlaku, mereka tidak boleh menjangka sokongan PAS mahupun blok Parlimen UMNO untuk bersatu teguh menyokong apa-apa sahaja keputusan Zahid dan Najib Razak secara membuta tuli.

Ataupun, adakah plot, subplot, dan tindak balas yang rumit ini hanya akan bertambah besar dan rumit?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri