Gelombang ketiga Covid-19 ini adalah serius dan membimbangkan, tetapi kita perlu bertindak dengan berpatutan memandangkan wabak ini belum mencapai tahap sehingga memerlukan pengisytiharan darurat dan penggantungan sidang Parlimen

Terdapat seruan supaya Yang di Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di bawah peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan menggantung Parlimen akibat penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia.

Gelombang ketiga di Malaysia ini serius dan membimbangkan, tetapi kita perlu bertindak dengan berpatutan memandangkan wabak ini belum mencapai tahap yang memerlukan perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen.

Jika tidak, Malaysia akan terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai kerajaan pintu belakang -- yang menumbangkan sebuah kerajaan yang diundi dengan sah dalam satu pilihan raya umum selepas 22 bulan mentadbir, semasa negara dilanda Covid-19, menyebabkan berlakunya gelombang kedua wabak ini di Malaysia. Gelombang kedua wabak Covid-19 ini kemudiannya digunakan oleh kerajaan ini sebagai satu alat untuk menggambarkan mereka sebagai penyelamat negara memandangkan perhatian seluruh rakyat Malaysia tertumpu kepada usaha melawan Covid-19, sedangkan perkara ini gagal dikendalikan dengan baik oleh pimpinan politik kerajaan pintu belakang ini. Perkara ini kemudiannya disusuli oleh gelombang ketiga wabak Covid-19 yang disebabkan oleh nafsu tamak kuasa untuk merampas kerajaan negeri Sabah -- dan kemudiannya mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen untuk membolehkannya mengukuhkan kuasa dan majoriti Parlimennya.

Di bawah peruntukan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di Pertuan Agong perlu bertindak dengan nasihat Kabinet untuk mengisytiharkan darurat di bawah peruntukan Perkara 150, memandangkan Perlembagaan hanya memperuntukan tiga keadaan di mana Yang di Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara baginda, iaitu:

(a) pelantikan Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu.

Kerana keseriusan dan keadaan membimbangkan gelombang ketiga Covid-19 inilah saya telah membuat seruan sebanyak tiga kali kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau sedang menjalani kuarantin dari rumah selama 14 hari, untuk memanggil satu mesyuarat khas Kabinet melalui Zoom untuk menyalurkan semua sumber yang ada bagi membantu usaha melawan Covid-19 di Sabah, tetapi seruan ini telah diabaikan.

Berdasarkan statistik terkini, jumlah kes kematian akibat Covid-19 di Sabah sahaja, untuk tempoh 30 hari yang lepas, telah mencecah 58 kematian, berbanding dengan lima kematian yang dilaporkan di negeri-negeri lain (Kedah 2, Selangor 1, Kuala Lumpur 1, dan Perak 1).

Keseriusan keadaan Covid-19 di Sabah ini boleh difahami dengan lebih jelas apabila dibandingkan dengan statistik semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan di Malaysia pada 18 Mac -- sejumlah 790 kes positif dengan dua kematian!

Sabah mencatatkan sejumlah terkumpul kes Covid-19 setakat 8.755 jangkitan, sebelas kali ganda jumlah jangkitan di Malaysia pada 18 Mac; sedangkan jumlah kematian di Sabah berada pada tahap 33.5 kali ganda jumlah dua kematian semasa PKP mula dilaksanakan.

Sabah kini mencatatkan 78.6% daripada keseluruhan kes aktif, iaitu 6,033 daripada 7,681 kes aktif.

Kabinet Muhyiddin tetap bersalah kerana kegagalannya untuk menyalurkan semua sumber yang ada ke Sabah untuk membantu negeri tersebut melawan Covid-19, satu kecuaian yang diulangi oleh kerajaan negeri Sabah yang enggan untuk melantik seorang Menteri Kesihatan Negeri untuk memimpin usaha melawan gelombang ketiga Covid-19 dalam negeri tersebut.

Kecuaian dan kelalaian ini perlu diperbaiki segera oleh Kabinet Muhyiddin dan Kabinet Negeri Hajiji, tetapi tidak ada sebab mengapa Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk Yang di Pertuan Agong mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen perlu digunakan.

Mari kita lihat statistik wabak Covid-19 di peringkat global. Menurut laman web World-o-meter, lebih daripada 41 juta kes dan 1.1 juta kematian telah dicatatkan, dengan 20 negara teratas disenaraikan seperti berikut:

Negara Jumlah kes/strong> Jumlah kematian
1. AS 8,519,648 226,137
2. India 7,649,158 115,950
3. Brazil 5,274,817 154,888
4. Rusia 1,431,635 24,635
5. Sepanyol 1,029,668 34,210
6. Argentina 1,018,999 27,100
7. Colombia 974,139 29,272
8. Perancis 930,745 33,885
9. Peru 874,118 33,875
10. Mexico 854,926 86,338
11. UK 762,542 43,967
12. Africa Selatan 706,304 18,656
13. Iran 539,670 31,034
14. Chile 494,478 13,702
15. Iraq 434,598 10,366
16. Itali 434,449 36,705
17. Bangladesh 391,586 5,699
18. Jerman 380,898 9,955
19. Indonesia 368,842l 12,734
20. Filipina 360,775 6,690

Malaysia kini berada di tempat ke-88 dari segi jumlah kes terkumpul Covid-19 dan di tempat ke-96 dari segi jumlah kematian -- yang menunjukkan situasi kita berada jauh daripada memerlukan perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri