Isunya adalah sama ada Art Harun bersedia untuk menunjukkan keberanian terhadap apa yang beliau percaya dan meletakkan jawatan Speaker beliau sebagai taruhannya

Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, kini sedang berada dalam situasi sempit.

Salah satu perkara yang hangat diperkatakan di media sosial adalah satu keratan rancangan bual bicara 2015 yang bertajuk “Art of the Matter: How to Overthrow a Government (Legally)”, di mana Azhar yang juga dikenali sebagai Art Harun mengatakan yang sebarang usul tidak percaya kepada kerajaan, “melalui konvensyen atau amalan berpelembagaan, dan bukan melalui undang-undang”, haruslah menjadi perkara pertama urusan mesyuarat Parlimen.

Namun, sebagai seorang Speaker, Azhar telah mengatakan yang mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sebarang usul dan urusan bukan kerajaan hanya boleh dibawa ke hadapan dalam aturan urusan mesyuarat jika mendapat sokongan seorang menteri.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah cuba mendapatkan jaminan daripada Azhar dalam sepucuk surat yang bertarikh 25 September supaya Speaker akan membenarkan satu usul tidak percaya untuk dibentangkan kepada Dewan, menekankan yang sebarang keengganan berbuat demikian bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh mengatakan: “Usul tidak percaya amat penting atas beberapa sebab keperlembagaan, termasuklah kesahihan kerajaan sekarang bawah pimpinan perdana menteri. Sekiranya usul itu disokong sebahagian besar ahli Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong.

“Tanpa kepercayaan oleh Dewan Rakyat, perdana menteri tidak berhak menuntut kesahihan terhadap jawatannya, dan pengelakan terhadap hakikat ini merupakan niat buruk dan penipuan terhadap Perlembagaan.”

Azhar telah mengatakan yang sebagai Tuan Yang di Pertua, beliau terikat dengan Perkara 15 Peraturan Mesyuarat yang mengatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan-urusan lain dan urusan kerajaan ini akan disusun sebagaimana yang difikirkan patut oleh kerajaan, satu pandangan yang bertentangan dengan pandangan beliau pada tahun 2015.

Adakah Art Harun telah berubah?

Saya percaya isunya adalah sama ada Art Harun bersedia untuk menunjukkan keberanian beliau terhadap apa yang beliau percaya dan meletakkan jawatan Speaker beliau sebagai taruhan, memandangkan beliau mungkin akan dibuang daripada jawatan ini jika beliau cuba melawan kepentingan mereka yang berkuasa.

Jika Art Harun mempunyai keberanian dengan apa yang beliau percaya dan bersedia untuk mempertaruhkan jawatan beliau, beliau boleh bertindak di bawah Perkara 90 Peraturan Mesyuarat yang berkenaan dengan pemberhentian Peraturan Mesyuarat, yang berbunyi:

90. (1) Kecuali dengan persetujuan Tuan Yang di-Pertua, Majlis tidak boleh membincangkan apa-apa Rang Undang-undang, pindaan, usul, atau rayuan yang difikirkan oleh Tuan Yang di-Pertua akan merentikan kuat kuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat atau mana-mana jua daripadanya.

(2) Sesuatu masalah yang bertujuan hendak merentikan kuat kuasa mana-mana Peraturan Mesyuarat atau harus menyebabkan boleh terhenti kuat kuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat, boleh dicadangkan hanya selepas dikeluarkan pemberitahu atau dengan persetujuan Tuan Yang di-Pertua yang hendaklah dengan serta-merta mengemukakan untuk diputuskan tanpa dibenarkan apa-apa perbahasan.

Seperti yang dituliskan oleh Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir, dalam “Perlembagaan mestilah dipatuhi walaupun semasa waktu krisis”:

“Persoalan yang timbul sekarang adalah bagaimana ketiadaan kepercayaan kepada Perdana Menteri dapat diukur dan dizahirkan. Salah satu pilihan utama adalah melalui undian di Dewan Rakyat. Walaupun Yang di Pertua Dewan yang akan memutuskan aturan urusan mesyuarat Dewan, suatu usul tidak percaya yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen, mengikut peruntukan Perkara 26 dan 27 Peraturan Mesyuarat, selepas diberikan notis selama 14 hari, perlu diberikan keutamaan mengikut konvensyen. Usul sebegini adalah tersirat dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukan situasi di mana Perdana Menteri telah hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan.”

Mantan Tuan Yang di Pertua Dewan Undangan Negeri Perak, Ngeh Koo Ham berkata:

“Peraturan Mesyuarat tidak boleh digunakan untuk mengawal perkara yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara kita.

“Suatu usul tidak percaya kepada Perdana Menteri tidak boleh dilayan seperti usul persendirian Ahli Parlimen, yang berada di belakang rusan-urusan kerajaan, tetapi harus dilihat sebagai perkara penting yang menentukan sama ada sesebuah kerajaan itu masih boleh menjadi kerajaan.”

Tuan Yang di Pertua boleh bertindak di bawah peruntukan Perkara 90(1) Peraturan Mesyuarat untuk membenarkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dibentangkan sebagai urusan pertama mesyuarat Dewan, dan pada hari pertama persidangan, membenarkan usul daripada pencadang usul tidak percaya ini untuk menggantung mana-mana Peraturan Mesyuarat, dan membentangkan masalah ini untuk diputuskan tanpa dibahas.

Namun, Azhar perlu bersedia untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat yang berkhidmat untuk tempoh yang lebih pendek berbanding dengan Speaker sebelumnya, Mohamad Ariff Md Yusoff.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri