Menteri yang berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah perlu mendesak Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Kabinet untuk menyalurkan semua sumber yang ada dalam membantu Sabah melawan gelombang ketiga Covid-19

Kisah di Sabah kini amat menyayat hati.

Pesakit kini terpaksa menunggu beberapa hari untuk menerima keputusan ujian saringan dan kemudiannya beberapa hari lagi sebelum diterima ke hospital ataupun ke pusat kuarantin dan pemerhatian gejala ringan memandangkan jumlah katil rawatan rapi di Sabah semakin berkurangan dengan peningkatan berterusan kes Covid-19 di negeri tersebut.

Zainuddin Abdul Khalic dari Kinarut terpaksa menunggu lima hari untuk mendapatkan keputusan ujian saringan beliau dan dua hari lagi sebelum beliau dan isteri dibawa ke pusat kuarantin dan pemerhatian gejala ringan.

Beliau bernasib baik kerana berjaya menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, selepas meninggalkan mesej di laman Facebook Dr Hisham, meminta bantuan selepas mengalami sesak nafas.

Zainuddin berterima kasih di atas respons pantas yang diberikan oleh KPK dan pasukan beliau, tetapi perkara ini menunjukkan mengapa Sabah memerlukan seorang Menteri Kesihatan, yang bertanggungjawab untuk memastikan nasib Sabah terbela dalam menghadapi gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia, di mana sudah terdapat 49 kematian dicatatkan sejak hari pengundian pada 26 September lepas, ataupun 53 kematian jika dihitung sejak 31 Ogos yang lepas.

Pada Hari Merdeka, 31 Ogos yang lepas, Sabah yang mencatatkan sejumlah 426 kes Covid-19 dan 8 korban nyawa, berada di tempat keenam dalam negara. Tetapi hari ini, kurang daripada tujuh minggu kemudian, jumlah kes terkumpul di Sabah telah meningkat 17 kali ganda, menjadikan Sabah negeri dengan jumlah kes tertinggi dalam negara, dengan 7,439 kes dan 61 kematian.

Sabah telah mengatasi Kuala Lumpur dan Selangor -- yang sebelum ini merupakan negeri di tempat pertama dan kedua dari segi jumlah kes terkumpul -- bukan sahaja dari segi peningkatan jumlah terkumpul, tetapi juga dari segi peratusan peningkatan kes.

Jumlah kes di Kuala Lumpur meningkat 10 peratus daripada 31 Ogos ke 17 Oktober, daripada 2,587 kes pada 31 Ogos kepada 2,846 kes pada 17 Oktober; manakala Selangor pula mencatatkan peningkatan yang lebih besar pada kadar 49.5%, daripada 2,174 kes kepada 3,250 kes untuk tempoh masa yang sama. Tetapi jumlah kes di Sabah telah meningkat 17 kali ganda dalam tempoh di antara 31 Ogos ke 17 Oktober.

Dari segi jumlah kematian pula, pada 31 Ogos, Sabah bersama dengan Negeri Sembilan berada di tempat kelima dengan lapan kematian (6.5% daripada jumlah kematian di seluruh negara), selepas Selangor yang mencatatkan 24 kematian (18.75%), Johor (21 atau 16.4%), Sarawak (19 atau 14.8%), dan Kuala Lumpur (18 atau 14%) daripada sejumlah 128 kematian di seluruh negara.

Kini, Sabah mencatatkan 61 kematian, yang merupakan 32.5% daripada sejumlah 187 kematian di seluruh negara, diikuti oleh Selangor (25 kematian, 13.3%), Johor (21 kematian, 11.2%), KL dan Sarawak (19 kematian masing-masing, 10.2%).

Saya ucapkan tahniah kepada Hajiji Mohd Noor kerana telah sembuh daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan untuk keluar daripada Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu semalam.

Tugas pertama beliau perlulah untuk memberikan keutamaan tertinggi dalam menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat di Sabah dalam berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia dan melantik seorang Menteri Kesihatan untuk Sabah.

Pelbagai sebab telah diberikan untuk tidak melantik seorang Menteri Kesihatan Sabah, walaupun hal ehwal kesihatan awam ini adalah perkara di bawah Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Gelombang ketiga ini adalah sebab terkuat mengapa pemberi alasan ini salah. Malah, pelantikan Menteri Kesihatan Sabah ini, jika dilantik, akan memberikan beliau tugas yang penting untuk memastikan Sabah, dengan sumber hasil negerinya yang kaya, tidak berterusan sebagai negeri termiskin di Malaysia daripada segi pembangunan infrastruktur dan sumber dalam pelbagai bidang kritikal.

Situasi memalukan di mana seorang pelajar, Veveonah Mosibin terpaksa memanjat dan meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang baik bagi menduduki satu peperiksaan di atas talian tidak boleh berulang lagi, dah seorang Menteri Kesihatan Sabah perlu memastikan Sabah mendapat haknya yang adil dari segi infrastruktur dan sumber kesihatan negara.

Tiga seruan saya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memanggil satu mesyuarat khas Kabinet melalui Zoom untuk menyalurkan semua sumber bagi membantu Sabah melawan wabak Covid-19 ini telah diabaikan.

Tetapi para menteri PN, yang telah berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah pada bulan lepas, menjanjikan rakyat Sabah yang mereka akan dibantu oleh Putrajaya jika mereka mengundi sebuah kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan, perlu mengotakan janji mereka dengan menggesa Muhyiddin untuk memanggil mesyuarat khas untuk menyalurkan semua sumber yang ada ke Sabah untuk membantu usaha melawan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia.

Masanya juga telah tiba untuk seorang Menteri Kesihatan yang baru yang bersedia untuk memberikan keutamaan kepada keperluan di Sabah.

Adakah para menteri PN bersedia untuk berbuat demikian, ataupun mereka terlalu sibuk memandangkan agenda terpenting mereka adalah “Game of Thrones” Malaysia dan mereka tidak mempunyai masa untuk rakyat Sabah?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri