Tindakan menghadkan liputan media Parlimen kepada hanya 15 organisasi media bersifat sembarangan, mendiskriminasi, dan bertentangan dengan semangat reformasi Parlimen
Tindakan menghadkan liputan media sesi Parlimen Belanjawan November ini kepada hanya 15 organisasi media adalah satu tindakan yang bersifat sembarangan, mendiskriminasi, dan bertentangan dengan semangat reformasi Parlimen yang sepatutnya menjadi asas semua keputusan berkaitan dengan Parlimen.
Keputusan ini sangatlah tidak boleh diterima, memandangkan 15 organisasi media ini bukan pun 15 badan media yang tertinggi, jika rakyat Malaysia diberikan peluang untuk memilih mereka.
Apa-apa pun, keputusan ini tidak sepatutnya dibuat oleh pihak pentadbiran Parlimen, tetapi sepatutnya diputuskan oleh Jawatankuasa Dewan Dewan Rakyat, yang diamanahkan dengan tanggungjawab “untuk menimbangkan dan menasihatkan Tuan Yang di-Pertua atas segala perkara berkaitan dengan kesenangan dan kemudahan serta khidmat-khidmat dan kenikmatan-kenikmatan yang terdapat bagi ahli-ahli Majlis” seperti yang tertakluk di dalam perkara 79(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Mengapakah Jawatankuasa Dewan Dewan Rakyat dikecualikan sama sekali daripada mempertimbangkan keputusan ini, seakan-akan liputan media di Parlimen ini bukanlah salah satu “kemudahan serta khidmat-khidmat yang terdapat bagi ahli-ahli Majlis”!
Walaupun wabak Covid-19 ini memang perlu diambil serius (dan jika benar wabak ini diambil serius, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sudah tentunya telah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengingkari SOP kuarantin Covid-19 serta membahayakan nyawa dan kesihatan para menteri dan ahli-ahli Parlimen), adakah menyediakan ruang yang lebih besar di Parlimen, untuk membolehkan peraturan penjarakan fizikal dipatuhi, suatu perkara yang berada di luar kemampuan pihak Parlimen?
Keputusan untuk menghadkan liputan media ini perlu disemak semula segera, dan dalam menyemak semula keputusan ini, Jawatankuasa Dewan serta wakil-wakil media haruslah diberi peluang untuk memberikan input serta cadangan mereka.
Situasi semasa di mana semua Jawatankuasa-jawatankuas Dewan Rakyat berada dalam keadaan hibernasi dan tidak bersidang ini adalah satu skandal besar.