Najib merungut mengatakan yang UMNO dipersalahkan kerana gelombang ketiga Covid-19 sedangkan perkara itu adalah salah Bersatu

Malaysia sedang mengharungi satu puting beliung politik.

Dalam tempoh enam dan setengah minggu yang akan datang, kita akan dapat melihat pelbagai plot, komplot, plot berbalas yang bakal muncul dari pelbagai sudut mengenai bentuk dan rupa kerajaan Malaysia -- memandangkan kerajaan Muhyiddin sedia ada ini, yang muncul daripada konspirasi rumit Langkah Sheraton tidak memunyai keabsahan, kebolehan, dan sumber untuk menjadi sebuah kerajaan yang berkesan.

Kerana inilah, dalam pengumuman pertama daripada seorang mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sejak kerajaan beliau ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, menjelaskan sebab-sebab UMNO perlu menarik balik sokongannya terhadap Bersatu, beliau merungut yang UMNO telah dipersalahkan di atas kemunculan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang terjadi akibat daripada Pilihan Raya Negeri Sabah, sedangkan perkara ini adalah salah Bersatu.

Beliau telah menyalahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana menolak cadangan daripada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dari UMNO, yang mencadangkan supaya kuarantin mandatori dilaksanakan kepada mereka yang pulang daripada Sabah sebelum PRN negeri tersebut.

Tetapi, individu yang menolak cadangan Adham yang pada mulanya diumumkan pada Hari Pencalonan PRN Sabah itu adalah Naib Presiden UMNO sendiri yang merupakan Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob, yang menolak dakwaan sebarang laporan mengenai perintah kuarantin mandatori kepada rakyat Malaysia yang pulang dari Sabah ke semenanjung sebagai "berita palsu" dan mengisytiharkan yang beliau bertanggungjawab untuk mengumumkan sebarang keputusan mengenai sebarang sekatan perjalanan berkaitan Covid-19, berdasarkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Najib juga telah menyalahkan Menteri Dalam Negeri Bersatu, Hamzah Zainuddin kerana tidak mengasingkan para banduan secara betul atau mematuhi prosedur operasi standard yang mengakibatkan berlakunya beberapa kluster penularan di Kedah, Perak, dan Pulau Pinang.

Najib berkata: “Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid ini di Malaysia.”

Jelas sekali, Najib tidak bersetuju dengan Hamzah yang mengatakan “PN” adalah singkatan kepada “Penyelamat Negara” seperti yang didakwa Hamzah di Sabah.

Pemimpin UMNO, Nazri Abdul Aziz menjelaskan keadaan semasa dengan tepat sekali apabila beliau mengatakan yang pendakwaan berpilih adalah salah satu perkara yang menyebabkan para pimpinan UMNO marah dan mempertimbangkan untuk menarik sokongan mereka kepada kerajaan PN.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, membantah keras dalam menafikan yang keputusan UMNO untuk mempertimbangkan semula sokongan mereka kepada kerajaan PN ini mempunyai kaitan dengan kes mahkamah Najib, Zahid, dan pemimpin UMNO yang lain.

Apa yang pastinya lagi mengecewakan adalah pelepasan mantan Pengerusi UMNO Sabah dan Ketua Menteri Sabah daripada kesemua 46 dakwaan rasuah beliau, untuk mencetuskan satu konspirasi jahat untuk menjatuhkan kerajaan Warisan Plus negeri Sabah -- yang kemudiannya membawa gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia -- sedangkan pemimpin UMNO yang lain seperti Najib dan Zahid terpaksa melalui perbicaraan mereka di mahkamah.

Apa-apa pun, Malaysia kini berada dalam satu waktu yang tidak menentu.

Parlimen akan bersidang pada 2 November ini, dan tidak kiralah apa pun hasil usaha Tengku Razaleigh Hamzah untuk memastikan usul tidak percaya daripada Tun Dr Mahathir dapat diundi dalam Dewan Rakyat, 23 November adalah satu tarikh yang tidak dapat dielakkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin -- memandangkan tarikh tersebut adalah hari di mana Belanjawan 2021 kerajaan akan diundi di Parlimen.

Sehingga hari itu tiba, rakyat Malaysia akan dapat melihat pelbagai helah dan tindakan politik dalam “Game of Thrones” Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri