Masanya telah tiba untuk Muhyiddin memenuhi janji pilihan raya negeri Sabah beliau dan menggerakkan semua sumber untuk membantu Sabah yang merupakan pusat penularan utama gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia

Saya kecewa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih belum lagi memanggil satu mesyuarat tergempar Kabinet beliau melalui Zoom untuk berbincang mengenai situasi semasa gelombang ketiga Covid-19 yang sedang melanda negara walaupun beliau sedang menjalani kuarantin di rumah sehingga 16 Oktober.

Semalam, seorang doktor pakar Kementerian Kesihatan Malaysia telah menulis sepucuk surat ke Malaysiakini, meratapi “usaha kerja keras selama berbulan sejak perintah kawalan pergerakan pertama telah dipandang enteng dan disia-siakan”.

Surat ini mendapat respons daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, yang tidak lari daripada mesej utama surat kepada Perdana Menteri itu, iaitu; Bangun, cukup dengan kata-kata, masa untuk bertindak!

Perdana Menteri mestinya sedang malu, dan beliau perlu bertindak segera dan tidak boleh terus menyorok di belakang Ketua Pengarah Kesihatan.

Beliau perlu memimpin di hadapan, dan menyampaikan janji-janji pilihan raya yang dibuatnya dalam pilihan raya negeri Sabah yang baru sahaja berlangsung pada bulan lepas.

Semasa tempoh kempen PRN Sabah, Muhyiddin telah melawat Sabah sebanyak tiga kali dalam tempoh 14 hari dan berjanji yang Sabah akan menerima lebih banyak bantuan kerajaan persekutuan jika negeri tersebut memilih untuk berada sejajar dengan kerajaan persekutuan dan Sabah perlukan sebuah kerajaan negeri yang boleh membantu meringankan beban rakyat, terutamanya dalam berhadapan dengan wabak Covid-19.

Muhyiddin telah memungkiri janji ini apabila beliau membiarkan Sabah untuk terjunam kepada gelombang ketiga wabak Covid-19 ini.

Daripada 1 September sehingga 11 Oktober, Sabah telah mencatatkan 3,921 kes Covid-19 -- yang merupakan 25 peratus daripada 15,657 kes Covid-19 di seluruh negara. Terdapat juga 33 kematian daripada Sabah, 21 peratus daripada sejumlah 157 kematian di seluruh negara setakat ini.

Daripada negeri termiskin di Malaysia, Sabah kini menjadi negeri yang paling terjejas dengan Covid-19.

Adakah ini yang dijanjikan oleh Muhyiddin kepada rakyat Sabah?

Keseriusan gelombang ketiga wabak ini dapat dilihat dengan jelas apabila dibandingkan dengan sejumlah 790 kes di seluruh negara, dengan 117 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam semasa PKP mula dilaksanakan.

Keadaan di Sabah berkali ganda lebih teruk kini, mencatatkan peningkatan tiga angka sejak 1 Oktober, daripada peningkatan harian terendah 113 kes sehari, sehingga ke 488 kes sehari yang dicatatkan semalam.

788 kes Covid-19 telah dicatatkan di Sabah dalam tempoh 12 hari berkempen PRN Sabah yang berlangsung di antara 12 sehingga 26 September, yang kemudiannya terus berlipat ganda, mengumpulkan sehingga 2,783 kes dalam tempoh 15 hari selepas hari pengundian.

Walaupun perintah kuarantin dari rumah Muhyiddin bakal tamat pada 16 Oktober ini, saya ingin mengulangi seruan saya supaya beliau memanggil satu mesyuarat khas Kabinet beliau melalui Zoom untuk menggerakkan semua sumber untuk membantu Sabah melawan wabak Covid-19.

Saya menyokong seruan doktor pakar KKM yang menyeru Muhyiddin untuk “bangun” dan berhenti mengabaikan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan memastikan semua menteri dan pegawai kanan terus mematuhi SOP Covid-19, serta memastikan mana-mana VIP yang mengingkari SOP ini dibuang daripada jawatan mereka.

Adakah Muhyiddin akan mula dengan membuang Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairudin Aman Razali?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri