Seruan kepada Ahli yang dilantik Dewan Undangan Negeri Sabah untuk meletakkan jawatan bagi memberikan laluan kepada golongan wanita patut dipertimbangkan dengan serius

Seruan daripada Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO) kepada ahli lantik Dewan Undangan Negeri Sabah untuk meletakkan jawatan bagi memberikan ruang kepada golongan wanita patut dipertimbangkan secara serius.

SAWO mempunyai kes yang kuat untuk seruan mereka ini, mengeluh mengatakan “Hari ini menandakan satu lagi hari yang gelap untuk wanita di Sabah, memandangkan status dan kedudukan mereka dalam negeri ini telah mencapai tahap terendah”, menzahirkan kemarahan dan kekecewaan mereka kepada hakikat yang tidak ada seorang pun menteri wanita dalam Kabinet baharu Sabah.

Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan SAWO:

“Perwakilan golongan wanita dalam Dewan Undangan Negeri telah menurun sejak bertahun-tahun dan kini berada di paras bawah 10 peratus. SAWO, bersama dengan kumpulan-kumpulan lain, menggesa kerajaan untuk memperbetulkan keadaan yang menyedihkan dan tidak adil ini dengan melantik wanita ke dalam keenam-enam jawatan ahli lantikan Dewan Undangan Negeri Sabah…

“Mesej yang disampaikan oleh kerajaan pimpinan GRS ini jelas. Mereka fikir yang wanita Sabah tidak cukup bagus ataupun mampu untuk mendapatkan tempat duduk mereka di meja perbincangan bersama-sama dengan pemimpin lelaki untuk mentadbir negeri ini.”

Memang memalukan dan menjadi langkah terkebelakang, sedangkan di negara lain, wanita mengambil tempat mereka dan memainkan peranan yang lebih penting dalam hal ehwal pentadbiran, seperti Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, Perdana Menteri Iceland, Katrin Jakodsdottir, Perdana Menteri Finland, Sanna Marin, dan Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen, di Sabah pula, wanita dinafikan jawatan menteri.

Tetapi ini bukanlah satu-satunya kekurangan Kabinet Sabah.

Sepertimana SOP harus dipatuhi untuk memenangi peperangan melawan Covid-19, terdapat juga SOP untuk membina sebuah negeri Sabah yang berjaya -- berasaskan perpaduan dan keterangkuman semua, dan bukannya politik beracun dan negatif perkauman dan keagamaan yang menggunakan penyebaran berita palsu dan fitnah untuk mencipta ketakutan dan kebencian dalam masyarakat.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, Warisan Plus mempunyai manifesto yang menggariskan SOP Sabah Baharu ini, di mana Sabah:

  • meninggalkan reputasinya sebagai negeri termiskin dalam negara selepas 57 Malaysia ditubuhkan -- dengan kedudukan yang lebih buruk berbanding dengan Kelantan, negeri termiskin di Semenanjung Malaysia;
  • di mana hasil kaya negeri Sabah digunakan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur di Sabah untuk menghapuskan kemunduran di kawasan-kawasan yang paling terpencil sekalipun -- supaya tidak perlu lagi terjadinya insiden Veveonah Mosibin yang terpaksa menghabiskan 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang baik bagi membolehkan beliau menduduki peperiksaan di atas talian -- dan bukannya digunakan untuk mengayakan poket mereka yang korup dan berkuasa;
  • di mana terdapatnya perpaduan dan harmoni di antara pelbagai kumpulan etnik kaum, bahasa, agama, dan budaya dalam negara; dan
  • di mana tidak ada sebarang diskriminasi, baik di antara jantina mahupun umur.

Kabinet negeri Sabah ini menjadi bukti yang ia adalah satu batu halangan kepada Sabah dan Malaysia, di mana kempen pemimpin Warisan Plus, Shafie Apdal, yang menggunakan slogan perpaduan dan inklusif seperti: “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti” dan “Marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama” gagal untuk memenangi pilihan raya.

Hasilnya, seperti yang dikatakan oleh Ketua DAPSY Sabah yang juga merupakan ADUN Luyang, Ginger Phoong, terdapat kelompongan kepelbagaian dalam Kabinet baharu Sabah memandangkan Kabinet ini tidak mempunyai sebarang perwakilan daripada golongan muda, wanita, dan komuniti Cina.

Amat menyedihkan apabila umur purata Kabinet Sabah ini adalah 60 tahun -- satu langkah kebelakang berbanding dengan Kabinet Shafie Apdal dan juga trend global yang melihat peningkatan penglibatan golongan belia dan wanita dalam kedudukan kepimpinan. Ginger Phoong telah dilantik sebagai Menteri Beliau dan Sukan dalam Kabinet Shafie semasa beliau berumur 29 tahun.

Apa yang lebih menonjol adalah ketiadaan seorang Menteri Kesihatan, terutamanya ketika negeri Sabah sedang menjadi pusat utama penularan wabak Covid-19 dalam negara, dengan Sabah mencatatkan lebih daripada separuh daripada kesemua kes aktif Covid-19, 1,944 kes daripada 3,703 kes aktif di Malaysia.

Tidak ada sesiapa pun yang akan tidak bersetuju jika Kabinet Sabah ini dikatakan sebagai Kabinet paling teruk dalam sejarah Sabah.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri