Pembentukan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan dengan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen pembangkang perlu menjadi agenda pertama persidangan Dewan Rakyat selama 27 hari yang akan berlangsung bermula 2 November ini untuk membolehkan penelitian isu-isu kesihatan awam, ekonomi, dan pembinaan negara dalam berhadapan dengan krisis Covid-19

Dalam persidangan Dewan Rakyat dua bulan lepas, saya telah menanyakan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba sama ada mereka bersedia untuk menjadikan pembentukan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 sebagai agenda utama bagi membolehkan pemantauan perkembangan semasa isu kesihatan awam, ekonomi, dan pembinaan negara yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Kegagalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan dalam melaksanakan perkara ini adalah satu pengabaian tugas yang serius, yang kemudiannya menyebabkan berlakunya kelompongan dalam kepimpinan negara dan ketiadaan kepercayaan serta keyakinan rakyat daripada pelbagai latar belakang parti politik untuk bersatu padu melawan wabak Covid-19. Kegagalan ini membantutkan usaha menjaga kesihatan awam rakyat dan juga usaha-usaha untuk melonjakkan semula ekonomi negara secara mampan selepas terjejas teruk selama tujuh bulan akibat wabak Covid-19. Lebih penting lagi, untuk memastikan proses pembinaan negara dapat diberikan keutamaan tertinggi.

Pada masa itu, jumlah kes terkumpul jangkitan Covid-19 berada di paras 20 juta kes.

Hari ini, jumlah kes terkumpul telah meningkat berkali ganda kepada 36.4 juta kes terkumpul, dengan lebih daripada sejuta kematian.

Pada hari ini juga, statistik global Covid-19 telah melakarkan satu lagi rekod baharu, dengan peningkatan harian tertinggi sebanyak 343,517 kes.

Semasa Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac 2020, lebih daripada 118,000 kes Covid-19 dicatatkan di 114 buah negara, dengan 4,291 korban nyawa.

Semalam, jumlah peningkatan harian sahaja sudah hampir tiga kali ganda jumlah kes Covid-19 semasa wabak ini dikategorikan sebagai pandemik tujuh bulan lalu -- di mana virus ini mengorbankan 4,291 nyawa, berbanding dengan 1,060,427 setakat semalam.

Di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hari ini, Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan yang kira-kira seorang dalam sepuluh orang mungkin telah dijangkiti oleh koronavirus ini, mendedahkan sejumlah besar populasi dunia kepada risiko jangkitan Covid-19.

Angka ini amatlah merisaukan, memandangkan perkara ini bermakna hampir 780 juta orang telah dijangkiti wabak ini, 10 peratus daripada populasi dunia sebanyak 7.8 bilion orang -- jumlah yang sangat berbeza dengan jangkaan semasa Covid-19.

Negara-negara di seluruh dunia sedang bimbang dengan kemungkinan gelombang kedua wabak Covid-19, kecuali Amerika Syarikat yang masih lagi belum keluar daripada gelombang pertama penularan wabak ini walaupun negara tersebut sedang mendahului dengan 7.8 juta kes dan lebih daripada 216,000 kematian.

Manakala kita di Malaysia pula sedang berhadapan dengan gelombang ketiga penularan wabak ini, yang disebabkan oleh Pilihan Raya Negeri Sabah, dengan peningkatan harian tiga angka untuk 11 hari yang lalu kecuali sehari selepas berlangsungnya hari pengundian -- hasil kelalaian tidak bertanggungjawab akibat konspirasi golongan yang tidak bertanggungjawab yang cuba merampas kerajaan negeri Sabah.

Hasilnya, negara kita melepasi paras 10,000 kes pada hari Malaysia, dengan 10,147 kes dan 128 kematian.

Sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Sabah yang bermula pada 12 September sehingga 26 September, jumlah terkumpul kes Covid-19 meningkat sebanyak 900 kes, dan jumlah kes Covid-19 sejak hari penamaan calon PRN Sabah sehingga hari ini telah mencatatkan peningkatan mendadak dengan 4,125 kes dan 13 kematian.

Pemulihan terhadap kelompongan dalam kepimpinan negara perlu menjadi keutamaan kerajaan bagi memberikan inspirasi kepada rakyat untuk bersatu padu, tanpa mengira latar belakang politik, kaum, agama, kelas, jantina, mahupun umur, untuk melawan dan memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

Persoalannya, adakah Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan bersedia untuk bersetuju yang agenda pertama persidangan Dewan Rakyat selama 27 hari yang akan datang ini adalah penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen pembangkang, untuk mengikuti perkembangan terkini isu-isu kesihatan awam, ekonomi, dan pembinaan negara dalam menghadapi cabaran Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri