Sokongan terhadap cadangan Andrew Khoo, memandangkan keadaan semasa penularan wabak Covid-19, calon Warisan patut diberi laluan untuk menang tanpa bertanding

Saya menyokong cadangan daripada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo, yang menggesa parti politik untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi dan memberikan laluan kepada seorang calon Warisan untuk menang tanpa bertanding dalam PRK tersebut demi kesihatan dan keselamatan para pengundi di kawasan tersebut yang berada di Sandakan, dan juga demi kesihatan dan keselamatan rakyat Sabah dan Malaysia.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan tersebut mengatakan kemenangan tanpa bertanding calon Warisan dalam PRK tersebut akan mengekalkan status quo sedia ada dalam Parlimen.

Khoo berkata, ahli politik daripada kedua belah pihak patut meletakkan perbezaan mereka buat sementara waktu untuk menunjukkan yang mereka peduli dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 yang dihadapi rakyat.

“Dengan tidak bertanding di kerusi tersebut, tidak perlulah berlakunya kempen dan pengundian, yang besar kemungkinannya akan membantu menghalang penularan Covid-19.

“Ini juga boleh menjadi satu cara untuk rakyat Malaysia, terutamanya yang berada di Sabah, untuk memberikan penghormatan kepada kehidupan dan segala usaha dan sumbangan mendiang Liew Vui Keong kepada negara.”

Saya bersetuju sepenuhnya dengan Andrew Khoo memandangkan pilihan raya negeri Sabah yang baru sahaja berlangsung telah memulakan gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia dan menjadikan Sabah sebuah negeri utama yang terkesan, sehinggakan sempadan Sabah terpaksa ditutup antara 12 Oktober sehingga 25 Oktober, di mana perjalanan hanya dibenarkan atas sebab-sebab mustahak sahaja.

Gelombang kedua Covid-19 telah disebabkan oleh Langkah Sheraton yang membawa kepada penubuhan kerajaan pintu belakang pada bulan Mac lalu, manakala gelombang ketiga pula disebabkan oleh ahli politik pintu belakang yang cuba membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Sabah yang telah merekayasa pengguguran kesemua 46 kes pertuduhan rasuah terhadap mantan Ketua Menteri Sabah dan pelompatan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.

Marilah kita tunjukkan kepada seluruh dunia, yang pemimpin politik di Malaysia juga mampu untuk belajar daripada kesilapan masa lalu dan boleh menjadi inspirasi serta tauladan baik untuk menggerakkan semua rakyat, tanpa mengira latar belakang parti politik, kepada usaha memenangi peperangan melawan wabak Covid-19, dengan bersetuju untuk memberikan laluan kepada seorang calon daripada Warisan untuk menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

Bola kini berada di dalam gelanggang Perikatan Nasional, Barisan Nasional, dan PBS.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri