Muhyiddin pastinya telah berjaya menarik jumlah penonton tertinggi dalam Perutusan Khas melalui Facebook beliau semalam, tetapi perutusan beliau semalam adalah perutusan terburuk yang pernah beliau buat sejak menjadi Perdana Menteri “pintu belakang” pada 1 Mac

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya berjaya menarik jumlah penonton tertinggi dalam Perutusan Khas melalui Facebook beliau semalam, tetapi perutusan beliau semalam adalah perutusan terburuk yang pernah beliau buat sejak menjadi Perdana Menteri “pintu belakang” pada 1 Mac.

Reaksi negatif, cemas, dan marah membanjiri media sosial selepas beliau menggelarkan diri beliau sebagai “Abah” dan secara berseloroh mengugut untuk “menggunakan rotan” jika rakyat tidak mematuhi SOP kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 -- kerana rakyat dapat melihat dengan jelas, layanan berbeza yang diamalkan kerajaan beliau dalam melaksanakan SOP ini sedangkan beliau baru sahaja mendakwa yang kerajaan tidak memberikan layanan berbeza kepada mana-mana orang.

Kemarahan rakyat ini dapat difahami, memandangkan seorang kanak-kanak yang berusia setahun baru sahaja dilaporkan menjadi korban terkini wabak ini, mangsa termuda Covid-19 dalam negara kita.

Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, yang rakyat Malaysia tidak boleh mensia-siakan usaha para petugas barisan hadapan dan kita semua harus bersatu padu untuk melawan wabak ini dan tidak terus “menangisi nasi yang telah menjadi bubur”.

Tetapi apa yang dilakukan terhadap “bubur” ini akan menjadi kayu ukur terhadap kesediaan kerajaan untuk belajar daripada kesilapannya dan mula menguruskan defisit kepercayaan yang dihadapi mereka dalam negara serta menjadi tauladan yang baik untuk menyatu padukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19.

Syukurlah kita tidak mempunyai Donald Trump sebagai Perdana Menteri kita. Beliau telah meninggalkan Pusat Rawatan Ketenteraan Walter Reed semalam, memberitahu para pengikut beliau yang virus -- yang telah menyekat pernafasan beliau dan memerlukan beliau dihospitalkan selama 72 jam -- ini tidak perlu ditakuti sebelum mencabut topeng muka beliau di balkoni White House. Perkara ini telah membuatkan seorang wartawan mengatakan: “Bukan sahaja beliau tidak takut dengan Covid-19, tetapi beliau tidak takut untuk menyebarkannya kepada orang lain di sekitar beliau. Ini bukan keberanian, ini adalah sosiopati.”

Agak tragik apabila satu-satunya orang yang dipercayai ramai dalam kerajaan berkenaan dengan isu Covid-19 ini adalah Ketua Pengarah Kesihatan, yang terpaksa terus menjalankan tugas beliau dan melakukan sidang media secara langsung daripada rumah beliau semasa menjalani kuarantin -- memandangkan Menteri Kesihatan kita telah memusnahkan kredibiliti beliau sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai menteri pada bulan Mac lalu.

Noor Hisham menulis di Facebook, diterjemahkan:

“Di manakah kita mahu berada? Kita perlu memilih, sama ada kita mahu bersama, bersatu padu, dan menjadi lebih kuat untuk melawan musuh bersama kita, ataupun untuk terus berterusan menangisi susu yang telah pun tumpah sedangkan angkanya terus meningkat. Para petugas barisan hadapan kita telah berada di lapangan, dengan keringat dan air mata.”

Dr Noor Hisham juga telah mengatakan, dalam Malaysia memasuki bulan kesepuluh sejak kes pertama Covid-19 dicatatkan, “mengawal penularan berskala besar dalam komuniti menjadi keutamaan semasa negara”.

“Kita perlukan semangat solidariti dan perpaduan yang kuat, bersama, kita boleh melawan musuh ini.”

Noor Hisham tepat, terutamanya semasa negara kita berhadapan dengan peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh negara, dengan negara kita mencatatkan rekod baharu 691 kes semalam, membawa jumlah kes aktif di dalam negara kepada 2,936 kes -- keadaan terburuk sejak 5 April di mana kita berhadapan dengan 2,595 kes aktif.

Tetapi, rakyat Malaysia berhak untuk menuntut prestasi yang lebih baik daripada para menteri kita, walaupun Kabinet kini telah dilumpuhkan oleh wabak ini.

Muhyiddin harus menggerakkan menteri beliau untuk segera mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk melawan virus Covid-19 dan pemimpin kerajaan harus berhenti berhenti mengamalkan sikap menasihati rakyat mematuhi SOP Covid-19 sambil melanggarinya.

Sebagai langkah pertama, Muhyiddin perlu memastikan Ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar daripada negeri-negeri Pakatan Harapan, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan tidak dikecualikan lagi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 yang akan datang!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri